Siasatan Terhadap Guru Panggil Murid ‘Pelacur’ – mStar


Siasatan Terhadap Guru Panggil Murid ‘Pelacur’

Oleh YUEN MEIKENG

KUALA LUMPUR: Jabatan Pelajaran Melaka telah diarahkan untuk menyiasat dakwaan bahawa seorang guru disiplin telah memanggil seorang murid sekolah ‘pelacur’, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mary Yap.

“Jabatan itu boleh mengambil tindakan terhadap guru tersebut, jika benar dia melakukan kesalahan itu, di bawah Perintah Am Bab D,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Perintah Am Bab D di bawah Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada kelakuan dan tatatertib kakitangan kerajaan.

Di bawah perintah itu, mana-mana penjawat awam yang didapati bersalah atas suatu kesalahan tatatertib mungkin tertakluk kepada, antara lain, amaran, denda, dilucutkan hak emolumen, penurunan pangkat atau dipecat, bergantung kepada keseriusan kesalahan itu.

Dilaporkan bahawa seorang murid berusia 12 tahun dari Batu Berendam, Melaka mendakwa guru disiplinnya memanggilnya pelacur.

Dia mendakwa guru wanita itu telah tersalah anggap dia adalah sebahagian daripada sekumpulan rakan sekelas lelaki yang telah menimbulkan masalah kepada guru lain.

Jenamakan semula SJK Cina dan Tamil – Bekas hakim – Utusan


Jenamakan semula SJK Cina dan Tamil – Bekas hakim

 

KUALA LUMPUR 19 Jun – Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah mencadangkan agar sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dijenamakan semula sebagai sekolah pengajian bahasa.

Menurut beliau, sekolah berkenaan dijadikan pusat pengajian pembelajaran bahasa-bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris dan ia seharusnya terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

“Kalau kita bercakap tentang polisi pelajaran, kini ada tiga aliran iaitu sekolah swasta, sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Apa peranan sekolah jenis kebangsaan? Ada keperluan tentangnya?

“Kita tukarkan sekolah jenis kebangsaan ini kepada sekolah di mana kita boleh belajar bahasa. Apa sahaja yang telah sekolah kebangsaan sediakan, sekolah jenis kebangsaan tidak perlu lagi menyediakannya, semua orang akan pergi ke sekolah yang sama. Ini boleh memupuk perpaduan,” jelas beliau.

Mohd Noor berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan percambahan minda bertajuk “Kedudukan Sekolah Vernakular dari Perspektif Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan” di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130619/dn_26/Jenamakan-semula-SJK-Cina-dan-Tamil—-Bekas-hakim#ixzz2Wf7esRbu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pupuk Semangat Hargai & Hormati Kepelbagaian Budaya – Muhyiddin – Bernama


Pupuk Semangat Hargai & Hormati Kepelbagaian Budaya – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Semangat menghargai dan menghormati kepelbagaian budaya dan agama perlu sentiasa dipupuk di kalangan generasi muda khususnya mereka yang masih di bangku sekolah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata semangat itu penting untuk menjamin kestabilan dan keharmonian ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih baik serta mapan.

Beliau berkata menghargai dan menghormati kepelbagaian budaya dan agama adalah aset atau kelebihan penting yang patut dibanggakan dan terus dipertahankan.

“Maka wajarlah, generasi muda kita perlu sentiasa dipupuk dengan semangat menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan, memahami Rukunegara, memahami perbezaan budaya yang wujud, menghayati dan mengamalkan kesepakatan dan muhibah di kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia peringkat sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 3, Bandar Kinrara dekat sini, Jumaat. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif yang diambil dalam usaha memupuk kesefahaman dan perpaduan di kalangan generasi muda juga menampakkan hasil apabila Malaysia kini menjadi sebuah negara contoh hubungan antara kaum dan agama yang sukar ditandingi.

Katanya pihak sekolah dan institusi pendidikan perlu terus berusaha membangunkan persekitaran sosial yang kondusif serta menggalakkan komunikasi dan interaksi antara murid daripada pelbagai kaum, agama dan budaya agar satu identiti nasional Malaysia dapat direalisasikan. Justeru, beliau berkata pemimpin institusi pendidikan terutama guru-guru perlu mewujudkan perancangan strategik untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan dan patriotisme melalui aktiviti kurikulum, ko-kurikulum dan kesukanan di sekolah.

Muhyiddin berkata pembinaan bangsa bermaruah dan berdaulat adalah tanggungjawab seluruh anggota masyarakat, untuk meletakkan bangsa dan negara setanding dengan negara maju.

Sementara itu, beliau berkata program hari ini dapat merapatkan jurang keharmonian dan muhibbah antara rakyat terutama murid-murid sekolah. Katanya sekiranya generasi muda yang dianggap generasi pelapis tidak bersatu padu dan tidak mempunyai visi serta misi yang sehaluan, kestabilan yang sedang dinikmati akan tergugat.

“Kerenggangan antara kaum dan agama dalam kalangan generasi muda akan semakin meluas, jika kecenderungan ke arah perpaduan tidak dipupuk dari peringkat awal terutama di peringkat persekolahan. “Jika dibiarkan berterusan mereka akan terus membawa haluan masing-masing dan menjadi lebih parah lagi apabila nilai keharmonian yang sedia terjalin terungkai dan musnah,” katanya.

Turut sama pada majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia dimeriahkan lebih 1,000 pelajar sekolah yang mempersembahkan pelbagai permainan integrasi dan persembahan kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia adalah idea Raja Jordan, King Abdullah II yang diketengahkan menjadi resolusi yang diterimapakai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk disambut pada minggu pertama Februari setiap tahun di negara-negara anggota.

Malaysia buat pertama kalinya meraikan sambutan itu pada Februari 2011 seperti dianjur PBB. –BERNAMA