Najib lulus RM530,000 untuk bola sepak sekolah Tamil
16:02:57 PM Cetak Emel Kawan
Tweet
KUALA SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan peruntukan RM530,000 untuk membiayai kejohanan bola sepak antara sekolah Tamil di seluruh negara, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G. Palanivel hari ini.
Beliau berkata, kejohanan dikenali sebagai ‘Road to England’ itu dijadual bermula lewat bulan ini dan membabitkan 10 venue serta 523 sekolah. Katanya, 11 pemain terbaik yang dikenalpasti melalui kejohanan ini akan dihantar berlatih dengan kelab bola sepak Manchester United (MU) di England akhir tahun ini.
“Objektif projek ini ialah untuk melahirkan rakyat Malaysia keturunan India yang mampu menjadikan bola sepak sebagai kerjaya dan mencapai standard permainan yang setanding dengan pemain England dalam jangka masa panjang.
“Mereka juga boleh menyumbang ke arah meningkatkan standard permainan bola sepak tempatan apabila pulang dan mewakili negara di kejohanan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan RM330,000 kepada 23 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India di Selangor di sebuah kuil berhampiran Bestari Jaya di sini.
Palanivel, yang juga Presiden MIC berkata, pemain terpilih daripada 10 venue perlawanan itu akan menjalani latihan singkat di Kuala Lumpur sebelum 11 pemain terbaik daripada mereka dihantar menjalani latihan dengan kelab MU.
Latihan dan pemilihan akhir akan dikendalikan bekas pemain antarabangsa England Peter Barnes.
‘Road to England’ adalah projek kerjasama antara Akademi Bola Sepak Peter Barnes dan Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Tamil Malaysia.
Pada sidang akhbar itu juga, Palanivel berkata, sejak tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM2.482 juta kepada 61 kuil Hindu dan 69 NGO India di seluruh Selangor.
Pada majlis berasingan kemudiannya, beliau menyampaikan peruntukan RM100,000 bagi membina sebuah gereja di Bestari Jaya. – BERNAMA