UPSR: 3,052 dapat semua A di Pahang, naik 11 peratus – Sinar Harian


UPSR: 3,052 dapat semua A di Pahang, naik 11 peratus

ERMA YUSNIDA JUSOH
20 November 2012
UPSR: 3,052 dapat semua A di Pahang, naik 11 peratus
Rosdi menyampaikan sijil kepada murid SK Permatang Badak yang memperoleh 5A, di Kuantan, semalam.

KUANTAN – Seramai 3,052 calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Pahang mendapat semua A iaitu 5A dan 7A.

Pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11.30 peratus berbanding 2,977 tahun lalu iaitu bertambah seramai 52 murid.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Rosdi Ismail berkata, pencapaian tahun ini secara keseluruhan menunjukkan peningkatan dalam setiap aspek.

Menurutnya, sebanyak 30 sekolah mencapai seratus peratus Menguasai Semua Mata Pelajaran (MSMP).

“Peningkatan MSMP UPSR  tahun ini sebanyak 288 sekolah melibatkan 230 sekolah kebangsaan, 44 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 14 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Manakala pencapaian minimum sekurang-kurangnya gred C adalah sebanyak 19,152 atau 71.57 peratus,” katanya pada sidang media kepada pemberita sempena Pengumuman Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2012 Negeri Pahang, di Sekolah Kebangsaan  (SK) Permatang Badak, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Hashim Mohd Zayat dan Guru Besar SK Permatang Badak, Endun Sumin.

Rosdi berkata, prestasi sekolah kurang murid di negeri ini juga menunjukkan pencapaian membanggakan apabila 195 sekolah mencatatkan keputusan cemerlang antaranya SK Teh, Jerantut dan SK Raub Indah.

Selain itu katanya, pencapaian calon sekolah di Felda juga tidak terkecuali dan seramai 452 calon mendapat 5A.

“Kita juga berbangga dengan prestasi sekolah Orang Asli iaitu SK Chini, Pekan yang berjaya mengekalkan pencapaian seratus peratus tiga tahun berturut-turut,” katanya.

Rosdi berkata, SK Permatang Badak menjadi sekolah paling ramai calon mendapat 5A di negeri ini iaitu seramai 44 calon daripada 190 calon yang menduduki UPSR tahun ini.

Murid autisme, anak tukang masak peroleh 5A – Bernama


Murid autisme, anak tukang masak peroleh 5A

19 November 2012

PEKAN – Siapa sangka seorang murid yang mengidap sindrom autisme mampu melakar kejayaan dengan memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Murid istimewa itu, Muhammad Fikri Sabri, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Biram, dekat sini menjadikan kata-kata semangat ibu bapnya sebagai azimat untuknya mengejar kejayaan.

“Mak saya kata, kalau pergi sekolah, ada telinga dengar, ada mata pandang ada mulut diam. Ini rahsia besar tau. Tumpu perhatian masa guru tengah mengajar. Itu perkara biasa bagi murid. Lepas tu sentiasa ulang kaji,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Bapa Muhammad Fikri, Sabri Abdullah, 50, pula berkata kejayaan anak bongsu daripada empat beradik itu adalah hadiah terbesar dalam hidup mereka sekeluarga.

Katanya kejayaan yang diraih anaknya hari ini membuktikan kanak-kanak autisme juga boleh berjaya walaupun dipandang rendah oleh sesetengah pihak.

“Memang dari dulu saya dah cakap kat dia, kalau minat belajar saya nak dia naikkan nama sekolah ini. Alhamdulillah semua cita-cita dan doa saya Allah kabulkan,” katanya.

Katanya selain tunjuk ajar daripada guru, beliau sendiri turut menerapkan elemen keagamaan dalam diri anaknya itu dengan mengajarnya berzikir sejak kecil lagi.

Seorang lagi murid cemerlang, Nik Fahimah Nik Mohamad dari SK Permatang Badak dekat Kuantan yang kematian ayahnya sejak kecil membuktikan kesusahan hidup yang dialami keluarganya tidak menghalang dia mendapat keputusan 5A.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor berkata tanpa usaha, pengorbanan dan dorongan daripada anggota keluarga termasuk ibu tersayang kejayaan yang dikecapi hari ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

“Selain memberi tumpuan di dalam kelas, saya juga tidak pernah ketinggalan mengikuti kelas tambahan di sekolah dan menjelang UPSR saya juga tidak lagi menonton televisyen agar lebih fokus mengulang kaji pelajaran di rumah,” katanya menceritakan resepi kejayaannya.

Dalam pada itu, ibunya Che Som Hasan, 43, yang bekerja sebagai tukang masak nasi Arab bersyukur dengan kejayaan anak bongsunya itu kerana berjaya mengikut jejak langkah tiga lagi adik-beradiknya yang turut mendapat 5A dalam UPSR sebelum ini.

“Alhamdulillah..Allah telah memakbulkan doa saya.. ketika saya menunaikan umrah baru-baru ini saya turut mendoakan agar Nik Fahimah berjaya mendapat 5A dalam UPSR dan saya harap dengan kejayaan ini cita-citanya mahu menjadi seorang doktor kelak akan jadi kenyataan,” katanya dengan nada gembira. – Bernama

Abang angkat durjana rogol remaja bawah umur – Sinar Harian


Abang angkat durjana rogol remaja bawah umur
ROSILAWATI ROSEDI
6 Jun 2012
KUANTAN – Seorang remaja perempuan bawah umur menjadi mangsa serakah seorang abang angkat dan rakannya apabila dirogol serta dipaksa melakukan persetubuhan luar tabii di sebuah pantai rekreasi di sini pada 28 Mei lalu.
Kedua-dua tertuduh ditangkap sehari selepas kejadian.

Pelajar Tingkatan Tiga itu menjadi mangsa abang angkatnya yang hanya berusia 16 tahun 8 bulan, dari Jalan Gambang di sini manakala rakannya seorang penganggur, Akmal Hakim Abdul Rashid, 22, dari Permatang Badak Jaya telah dihadapkan di Mahkamah Trafik di sini, hari ini.

Akmal dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya di kawasan pantai berhampiran pantai Zoo Teruntuum, Jalan Tembeling Resort di sini kira-kira jam 9 hingga 10 malam.

Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripda seksaan tersebut jika sabit kesalahan.

Majistret Tuan Ruziani Tuan Lah mengenakan ikat jamin RM2,500 dan menetapkan 3 Julai ini untuk melantik peguam.