Sekolah tidak aktif KPBPNB ditamat keahlian – Utusan


Sekolah tidak aktif KPBPNB ditamat keahlian

PONTIAN 18 Feb. – Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui Kelab Pelaburan Bijak PNB (KPBPNB) akan menamatkan keahlian sekolah yang didapati tidak menunjukkan prestasi memuaskan selain tidak aktif menjalankan aktiviti kelab berkenaan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, jumlah sekolah yang aktif telah meningkat daripada tujuh buah sekolah pada 2010 kepada 57 buah sekolah pada tahun lalu manakala sekolah yang kurang aktif turun kepada 47 berbanding 93 buah bagi tempoh yang sama.

“Selain memberi pengiktirafan kepada sekolah yang cemerlang, PNB juga berkemungkinan menamatkan keahlian sekolah yang terus menerus menunjukkan prestasi rendah dan tidak aktif.

”Sekolah-sekolah tersebut akan digantikan dengan sekolah-sekolah lain yang dikenal pasti berkelayakan dan berminat untuk menyertai kelab,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kelab Pelaburan Bijak PNB di SMK Dato’ Penggawa Barat di sini semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Md. Hasidin Zaini dan Pengetua sekolah tersebut, Hashim Mohd. Dom.

Menurut Hamad Kama Piah, sehingga kini sebanyak 104 buah sekolah sudah menubuhkan kelab tersebut yang bertujuan mewujudkan kesedaran dan memberi pendidikan pelaburan serta perancangan kewangan kepada masyarakat ke arah celik pelaburan.

”Pelbagai aktiviti telah dianjurkan bagi mencapai usaha tersebut seperti pertandingan pidato, kuiz pelaburan, menulis esei dan seminar perancangan kewangan.

”Seramai 62,000 pelajar telah terlibat dalam aktiviti tersebut pada tahun lalu berbanding 37,000 pada tahun sebelumnya dan kita menyasarkan penyertaan 130,000 pelajar setiap tahun pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Khas Kecemerlangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Barat yang berjaya mengungguli pelbagai program anjuran PNB, sekali gus menerima piala khas dan insentif berjumlah RM20,000.

Lima sekolah menerima Anugerah Kecemerlangan Kelab Pelaburan Bijak PNB 2011 iaitu SMK Dato’ Penggawa Barat; SMK Nenasi, Pekan; SMK Abaka, Tawau serta SMK Batu 10, Manjung dan SMK Alor Pongsu, Krian.