Beri keutamaan guru lama bertukar – KGMMB – Bernama


Beri keutamaan guru lama bertukar – KGMMB

 

KUALA LUMPUR 10 Julai – Penubuhan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk menangani masalah pertukaran guru diharap dapat memberi keutamaan kepada guru-guru yang lama berkhidmat selain memberi keadilan sama rata.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, permohonan pertukaran guru akan menjadi sukar sekiranya Kementerian Pendidikan mengisi penempatan bagi guru-guru yang baru sahaja menamatkan pengajian sebelum penempatan itu diisi oleh guru yang memohon pertukaran.

“Sekiranya kementerian mengisi dulu guru-guru yang baru keluar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) ataupun universiti, ia akan jadi masalah kerana guru-guru yang hendak ditukarkan tidak dapat masuk.

“Jadi saya sarankan guru-guru baharu ini hendaklah ditempatkan selepas pertukaran dibuat kepada guru-guru yang sudah lama memohon,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada Isnin lepas, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kementerian memandang serius isu berkenaan dan cuba menyelesaikannya dengan cara terbaik memandangkan permohonan pertukaran guru-guru mencecah sehingga 16,000 setahun sedangkan kekosongan hanya setakat 2,000 hinga 3,000 tempat.

Mohamed Sabri berkata, jawatankuasa itu juga harus berfungsi dengan memberi keadilan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat dalam agensi keselamatan seperti polis atau tentera tetapi juga dalam kalangan guru sesama guru yang turut sukar mendapatkan pertukaran.

“Ada guru yang ingin mengikut suami, tetapi mereka yang berkahwin dengan pegawai penting seperti polis dan tentera berpeluang untuk mengikut suami masing-masing kerana mereka perlu keluar dari kuaters, tetapi masalahnya di mana mereka akan ditempatkan,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar jawatankuasa itu turut dianggotai oleh persatuan dan kesatuan guru kerana mereka ini lebih memahami masalah yang dihadapi golongan guru.

Beliau berkata, masalah pertukaran guru semakin kritikal dan dilihat sukar menemui jalan penyelesaian kerana kekosongan yang terhad di kebanyakan sekolah di negeri-negeri.

“Kami dapati banyak sekolah sudah penuh gurunya, kalau kita tinjau masalah di Semenanjung, permohonan pertukaran kritikal dan sukar diluluskan, tetapi di Sabah dan Sarawak mungkin ada ruang khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula yang mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu berkata, diharapkan mekanisme yang akan digunakan oleh jawatankuasa itu dapat menarik nafas lega golongan guru yang sekian lama memohon untuk ditukarkan tetapi sehingga kini belum diluluskan.

“Kami mahu guru rasa selesa, gembira dalam kehidupan supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik, terpulang kepada jawatankuasa untuk tentukan mekanisme yang akan diguna pakai,” katanya.

Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, isu pertukaran merupakan suatu yang rumit kerana ia berdasarkan kepada dua keperluan iaitu keperluan sekolah untuk mendapatkan guru dan keperluan dari segi kekeluargaan. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130710/dn_43/Beri-keutamaan-guru-lama-bertukar—KGMMB#ixzz2YeMHgx5e
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tambah kuota guru pelatih Sabah, Sarawak – Berita Harian


Tambah kuota guru pelatih Sabah, Sarawak
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2012/01/11

Naik 30 peratus bagi atasi masalah permohonan perpindahan 

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (KGS) menuntut Kementerian Pelajaran menaikkan kuota pengambilan guru pelatih dari Sabah dan Sarawak sehingga 60 peratus bagi mengatasi masalah kekurangan guru anak tempatan.

Langkah menambah lagi 30 peratus kuota sedia ada itu perlu untuk manfaat jangka panjang selain mengatasi masalah permohonan perpindahan guru asal Semenanjung bertugas di dua negeri itu.

Hanya guru tempatan memahami sentimen serta perasaan penduduk Sarawak dan Sabah berbanding guru luar yang mungkin agak sukar bergaul dengan mereka. – William Ghani Bina, Presiden KGS

Presiden KGS, William Ghani Bina, berkata setiap tahun kerajaan terpaksa berdepan ribuan permohonan dari guru Semenanjung yang ditugaskan di Sabah serta Sarawak, yang hanya mampu diatasi jika jumlah guru anak tempatan mencukupi.

Katanya, lebih banyak guru pelatih dari Borneo perlu diambil dalam dua hingga tiga tahun akan datang sebelum kuota pengambilan boleh kembali kepada asal, selepas bilangan guru di dua negeri itu mencukupi.

“Saya tidak salahkan guru dari Semenanjung yang memohon dipindahkan keluar dari Sabah dan Sarawak. Jika saya ada anak yang bertugas di Semenanjung, saya juga akan menyuruh dia pulang ke Sarawak.

“Saya menegaskan hanya guru tempatan memahami sentimen serta perasaan penduduk Sarawak dan Sabah berbanding guru luar yang mungkin agak sukar bergaul dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan kuota pengambilan guru pelatih masing-masing dari Sabah dan Sarawak kekal 30 peratus, yang antaranya bertujuan mengurangkan jumlah permohonan pertukaran guru.

William berkata, kuota pengambilan sedia ada jelas tidak mencukupi kerana ia hanya menyelesaikan masalah kekurangan guru di dua negeri terbabit bagi jangka pendek saja.

“Saya katakan banyak kali, kementerian perlu mengambil ramai guru pedalaman terutama mengikut etnik seperti dari suku Penan, Orang Ulu serta masyarakat Melayu di sini juga.

“Secara tidak langsung apabila ramai masyarakat luar bandar diambil berkhidmat sebagai guru, taraf kehidupan mereka akan meningkat dengan kesedaran terhadap kepentingan pelajaran dapat ditingkatkan,” katanya.