9 berhimpit bilik sempit – Metro


9 berhimpit bilik sempit

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Kami sembilan beranak terpaksa tidur berhimpit di bilik sempit ini pada waktu malam setiap kali air hujan menitis menerusi siling yang bocor di ruang tamu.

“Kami bukan enggan berpindah dari kediaman usang yang hanya mempunyai sebuah bilik ini namun dengan pendapatan RM600 sebulan, ia tidak cukup bagi membayar sewa rumah,” kata Ruziah Marzuki, 40, ketika ditemui di kediamannya di Jalan Labu, Kampung Bendahara di sini, semalam.
Ruziah berkata, kesempitan wang dihadapi sejak bergelar ibu tunggal hampir setahun lalu mengakibatkan dia tidak mampu membaik pulih rumah papan yang dihuni lebih 20 tahun itu.

 

Menurutnya, dia yang mempunyai anak berusia setahun hingga 18 tahun terpaksa bekerja sambilan supaya dapat memberi perhatian lebih kepada mereka sejak memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Selain mengambil upah menjahit, saya juga membantu kenalan yang memiliki perniagaan katering selain mempromosikan mesin layan diri minuman keluaran sebuah syarikat bagi menambah pendapatan.
“Walaupun melakukan tiga kerja sambilan bermula petang hingga malam, pendapatan diperoleh hanya kira-kira RM600 sebulan.

 

 

“Menyedari beban dipikul, anak kedua, Nur Farah Amirah Hamdi yang berumur 16 tahun bekerja sambilan di sebuah gerai makan berhampiran kediaman dengan pendapatan RM200 sebulan, ia digunakan bagi menampung perbelanjaan persekolahan adiknya.
“Begitu juga dengan anak sulung berumur 18 tahun, Mohd Fariezth, dia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat lapan kredit dalam peperiksaan itu. Bagaimanapun, Fariezth menangguhkan hasrat melanjutkan pelajaran kerana bekerja sambilan sebagai jurujual di pusat beli-belah bagi membantu keluarga,” katanya.

 

Selain Fariezth dan Nur Farah, enam anak Ruziah yang lain ialah Firdaus, 15; Nurfatihah Natasya,12; Mohd Faiz, 10; Nurfarisha, 17; Nurfardiena Najwa, tiga tahun dan Nurfarina, setahun.
Ruziah berkata, dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini dan berharap ia diluluskan.
Menurut Ruziah, bagi memastikan pendapatan keluarganya mencukupi, dia juga berjimat dalam soal pemakanan di mana dia hanya memasak makanan sederhana bagi mengisi perut ahli keluarga.
“Ia juga bagi mengelakkan keluarga kami terputus bekalan makanan. Saya biasanya menyediakan lauk telur masak kicap bersama nasi selain mi segera untuk mengurangkan kos perbelanjaan dapur.
“Melihat kesusahan kami, ibu saya yang dimamah usia dan tinggal berjiran selain adik-beradik ada kalanya menyumbang bekalan makanan.
“Hingga kini, saya tidak pernah mendesak bekas suami menghulurkan bantuan memandangkan dia juga bukan hidup senang, namun saya berdoa mampu menaik taraf keadaan keluarga bagi membolehkan anak menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07