Selagi ajal belum tiba – Metro


Selagi ajal belum tiba

Oleh Shalfarina Shahriman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARAN: Seorang warga emas dan cucunya berusia 11 tahun parah selepas Perodua Kancil yang mereka naiki dirempuh sebelum diseret lebih 20 meter oleh lori tangki yang dipandu seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah, semalam.

Kejadian di Kilometer 102.8, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, berhampiran Kampung Jengka Batu 13, di sini, menyebabkan warga emas terbabit, Arsad Sidek, 73, patah kedua-dua kaki manakala cucunya, Danial Hakim Zainudin, 11, cedera di muka serta beberapa bahagian badan selepas dirempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

Kedua-duanya dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh dan dilaporkan stabil.

Pemandu lori berusia 20-an itu tidak cedera dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran selepas polis menemui peralatan menghisap syabu di dalam kenderaan berat berkenaan manakala ujian air kencing ke atas pemandu itu juga mendapati dia positif dadah.

 
Difahamkan, ketika kejadian jam 7.05 pagi itu, Arsad dalam perjalanan menghantar Danial Hakim ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jengka Batu 13 kerana cucunya dijadualkan menduduki peperiksaan akhir tahun yang bermula semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11

Dakap ayah kali terakhir – Metro


Dakap ayah kali terakhir
Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

DETIK PILU…anggota perubatan memberikan rawatan kecemasan kepada Muhammad Rizwan sebelum dia meninggal dunia sejam kemudian.
KUANTAN: Seorang bapa tidak menyangka pelukan erat anak sulungnya sebelum mereka bersiar-siar di bandar ini menjadi dakapan terakhir apabila kanak-kanak itu terbunuh dalam kemalangan di Jalan Teluk Sisek berdekatan Dewan Jubli Perak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Rizwan Idris, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Galing, di sini, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, sejam selepas kemalangan akibat cedera parah di badan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama bapanya, Idris Badar, 41, serta seorang adik lelakinya berusia dua tahun dalam perjalanan ke Teluk Chempedak untuk makan angin sempena cuti sekolah.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, Perodua Kancil dipandu Idris bergesel dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh dua pokok palma di kiri jalan.
Anak bongsu Idris kini dirawat di HTAA akibat cedera di kepala manakala Idris hanya cedera ringan.

 

Lari ikut lelaki kenal 3 hari – Metro


Lari ikut lelaki kenal 3 hari
ALOR GAJAH: Seorang gadis berusia 16 tahun yang melarikan diri dari rumah kira-kira sebulan lalu dipercayai mengikut seorang lelaki baru tiga hari dikenalinya di pekan Alor Gajah, dekat sini.

Nurul Shafikah Anuar, dipercayai menghilangkan diri selepas mengenali lelaki itu yang sering menjemput dan mengambilnya pulang selepas bekerja dan masih gagal dikesan sehingga kini.
Bapa tiri mangsa, Azraai Mohd Isa, 37, berkata Nurul Shafikah yang mesra disapa ‘kakak’ tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja di sebuah salun, jam 10 malam, pada 4 Mei lalu.

“Pada hari kejadian, majikannya menelefon saya supaya datang mengambil Nurul Shafikah kerana dia tidak dapat menghantarnya pulang atas urusan lain sebelum saya datang menjemputnya kira-kira jam 10.15 malam.
“Sebaik tiba di salun itu saya dapati tiada sesiapa di kawasan itu sebelum berpatah balik untuk menyambung kerja sebagai pembantu di kedai makan rakan.
“Saya sangka dia sudah balik ke rumah dihantar rakan sekerja, tetapi sebaik tiba di rumah, isteri saya, Suzalita Udari, 41, hairan dan bertanya mengapa saya tidak menjemput anak balik,” katanya di sini semalam.

Azraai berkata, dia yang bimbang kemudian keluar bersama isteri mencari anaknya di sekitar pekan Alor Gajah, tetapi tidak berjaya.
“Saya percaya Nurul tidur di rumah rakan kerana sebelum ini dia pernah dua hari tidak balik dan tidur di rumah seorang rakannya berdekatan rumah kami.

“Keesokannya sekali lagi saya ke tempat kerjanya namun majikannya terkejut sebaik saya memberitahu anak tidak pulang ke rumah sejak malam kejadian,” katanya.
Katanya, mereka berusaha mencari Nurul Shafikah di merata tempat sebelum diberitahu rakan anaknya itu yang melihat Nurul mengikut seorang lelaki menaiki kereta Perodua Kancil namun tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kereta itu.
“Rakannya nampak dia menaiki kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki, tetapi tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kereta itu yang dipandu laju.
“Saya juga diberitahu anak saya ada meminta nombor telefon seorang pelanggan lelaki yang berkunjung ke tempat kerjanya tiga hari sebelum dia menghilangkan diri.
“Saya minta lelaki yang membawa lari anak saya supaya menghantar semula kepada keluarganya. Malah, jika dia berniat ‘berniat baik’ pada anak saya, saya sedia berbincang mengenainya,” katanya.
Menurut Azraai, ada rakannya mendakwa terserempak anaknya itu kira-kira dua minggu lalu di sekitar bandar Melaka bersama dua rakan perempuan serta tiga lelaki tetapi tidak sempat menyapanya.
“Rakan saya kenal dengan anak saya itu tetapi tidak menyangka dia lari dari rumah. Katanya, anak gadisnya itu mempunyai ketinggian 165 sentimeter, berkulit hitam manis, mempunyai lekuk pada dagu dan berambut perang paras bahu dipercayai keluar memakai seluar jeans kelabu.
Menurutnya, sesiapa mengenali anaknya diminta hubungi balai polis berdekatan atau menghubunginya di talian 017-2396861.

Murid tahun satu terbunuh – Utusan


Murid tahun satu terbunuh

 

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusankota@utusan.com.my

 

ALOR GAJAH 15 Feb. – Seorang murid tahun satu maut manakala abangnya berusia 12 tahun parah setelah kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 213.2 arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan, di sini awal pagi ini.

Siti Nurnajwa Nordin, 7, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka manakala abangnya, Amir Haziq, 12 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setelah tercampak dari kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu bapanya.

Bapa dua beradik itu, Nordin Mohamad Shukor, 36, dan isterinya, Siti Aisyah Othman, 36, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, kereta dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terbabas dan terhumban ke dalam longkang.

“Dua beradik itu yang berada di tempat duduk belakang dipercayai tercampak keluar melalui tingkap menyebabkan mereka cedera parah di kepala.

“Siti Nurnajwa meninggal dunia sejam kemudian semasa dirawat di Hospital Melaka, manakala abangnya, Amir Haziq masih lagi dirawat di ICU,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, kedua ibu bapa mangsa bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jenazah dikebumikan di Parit Sulong,Johor, petang ini.