Lelaki sedang menunggu dalam kereta maut ditembak – Bernama


Lelaki sedang menunggu dalam kereta maut ditembak
2012/06/29
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang sedang menunggu dalam kereta di luar sekolah anaknya, Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan dekat sini, maut selepas ditembak dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Abd Razak Elias berkata, ketika kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa berumur 32 tahun sedang menunggu isterinya yang menghantar anak lelaki tunggal mereka berusia lapan tahun masuk ke dalam sekolah.
“Mangsa yang duduk di tempat pemandu dalam kereta jenis Perodua Myvi, tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal dan bertopi keledar penuh sebelum seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan ke arahnya dari jarak dekat.
“Tembakan itu terkena rusuk kanan dan menembusi bahu kirinya. Mangsa yang juga seorang peniaga kedai runcit kemudian dihantar ke Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia pukul 9 pagi,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Abd Razak berkata, hasil siasatan mendapati suspek menunggang motosikal jenis Yamaha LC bewarna merah dan menggunakan pistol jenis semi auto.

“Siasatan lanjut juga mendapati mangsa yang tinggal di Sungai Chua, Kajang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan menurut isteri mangsa, suaminya tidak mempunyai musuh,” katanya.

Abd Razak berkata, polis dalam pada itu tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam dan dirancang rapi oleh suspek terbabit.
“Di sekolah itu tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup. Sehubungan itu kami meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan,” katanya. – BERNAMA

Padah ponteng sekolah, pelajar Tingkatan Empat kena rogol – Berita Harian


Padah ponteng sekolah, pelajar Tingkatan Empat kena rogol

2012/05/21

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Kemaman yang mengikut rakannya ponteng sekolah membawa padah, apabila menjadi mangsa rogol selepas dipukau seorang lelaki.

Sumber berkata, mangsa berusia 16 tahun dikatakan tidak sedarkan diri selepas bertentang mata dengan seorang lelaki yang juga kenalan rakannya itu, sebelum mendapati dirinya dalam keadaan tidak berpakaian dan kesakitan di rumah sewa lelaki berkenaan di Kampung Kijal, Rabu minggu lalu.

Katanya, mangsa pada mulanya memasuki kawasan sekolah seperti biasa pada jam 7.45 pagi, sebelum seorang rakan sebaya mengajaknya ke sebuah kedai barangan runcit berdekatan kawasan sekolahnya itu.

Sumber berkata, suspek yang juga rakan kepada teman lelaki rakan mangsa kemudian datang dan menyuruh mangsa merenung matanya dan tidak lama kemudian mangsa mendakwa seperti dipukau dan mengikut arahan suspek.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa mengikut rakannya bertemu teman lelakinya yang datang ke kedai berkenaan menaiki sebuah kereta PERODUA MyVi.

“Mangsa kemudian diajak bersiar-siar dan menaiki kenderaan itu bersama rakannya dan pada masa sama ada seorang lagi lelaki dalam kenderaan berkenaan.

“Mereka berempat kemudian menaiki kenderaan berkenaan dan bersiar-siar sebelum mangsa dan rakannya dibawa ke sebuah rumah sewa di kawasan Kijal kira-kira jam 10 pagi.

“Sebaik memasuki rumah itu, mangsa disuruh menonton televisyen, manakala rakannya bersama teman lelaki sudah tiada di ruang tamu rumah itu,” katanya.
Sumber berkata, suspek yang juga rakan kepada teman lelaki rakan mangsa kemudian datang dan menyuruh mangsa merenung matanya dan tidak lama kemudian mangsa mendakwa seperti dipukau dan mengikut arahan suspek.

Katanya, apabila mangsa sedar setengah jam kemudian, dia mendapati tidak berpakaian serta mengalami kesakitan di kemaluan.

Katanya mangsa yang terkejut bertanyakan suspek yang kemudian mengaku sudah memperkosa mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abdul Marlik Hakim Johar, yang mengesahkan kejadian berkata mangsa yang trauma dengan keadaan itu membuat laporan di Balai Polis Kijal pada jam 11 pagi hari sama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan polis kini menjalankan operasi memburu suspek.

Guru wanita selamat Myvi terbabas – Sinar Harian


Guru wanita selamat Myvi terbabas

SHAHFUL BAKRI ABD RAZAK
15 Mei 2012

ALOR SETAR – Seorang guru wanita terselamat dalam kejadian kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas dan merempuh penghadang di KM47.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Palza Tol Alor Setar Utara malam tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 malam apabila pemandu kenderaan itu seorang diri dalam perjalanan dari Pulau Pinang memuju Jitra.

Seorang saksi kejadian berkata, dia dikejutkan dengan satu dentuman yang kuat dari arah belakang ketika menghampiri susur keluar plaza tol berkenaan.

“Saya terkejut apabila mendapati sebuah Myvi remuk teruk di bahagian hadapan selepas terbabas dan melanggar penghadang lebuh raya.

“Saya memberhentikan kenderaan dan berlari ke arah mangsa untuk menyelematkannya. Wanita itu hanya cedera ringan disebabkan beg udara kenderaannya berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, pemandu Myvi itu, Revathy Ramanida, 28, seorang guru di salah sebuah sekolah di Paya Kemunting dan penuntut pengajian jarak jauh di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.   Beliau dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan dan kenderaannya melintang di tengah lebuh raya.

Revathy hanya cerdera ringan dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar (HSBAS) untuk rawatan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Murid dilapor hilang lepas balik perkhemahan – Berita Harian


Murid dilapor hilang lepas balik perkhemahan

2012/05/02

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dilaporkan hilang selepas selesai menghadiri perkhemahan pasukan pakaian seragam di sekolahnya, pagi Ahad lalu.

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan St Micheal, Muhammad Norman Zahar, dilaporkan gagal dikesan oleh keluarganya ketika ingin mengambilnya di sekolah sebaik program itu berakhir.

Ibu mangsa, Sharifah Mustafa, 35, mempercayai anaknya diculik kerana kanak-kanak itu tidak pernah hilang dari rumah atau mempunyai masalah dengan keluarga.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan guru sekolah bahawa Muhammad Norman sudah pulang ke rumah selepas selesai program perkhemahan kira-kira jam 10 pagi, Ahad lalu.

“Namun, kami tidak menemuinya sepanjang hari. Kami membuat laporan polis pada malam Ahad lalu,” katanya ketika ditemui di Taman Tawas Indah, di sini, semalam.

Lebih menguatkan syak anaknya diculik apabila anak saudaranya, Fazli Bakhtiar, 22, yang sedang memandu lori terserempak dengan Muhamamad Norman dalam sebuah kereta Perodua MyVi di Jalan Silibin, di sini, kelmarin.

“Anak saudara saya memaklumkan Muhammad Norman melambaikan tangan dari dalam kereta berkenaan, namun gagal dijejaki dan lesap dalam kesesakan lalu lintas.
“Selang sejam kemudian, saya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan anak saya berada bersamanya dan akan menghantarnya pulang ke rumah,” katanya.

Sharifah berkata, dia menunggu kepulangan anaknya itu di rumah, namun kelibat Norman tidak muncul sebelum dia menyerahkan nombor telefon suspek kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Saya dan suami, Zahar Ahmad, 37, tidak menyangka kejadian itu akan menimpa keluarga kami. Kami percaya ada individu yang menyembunyikan anak kami,” katanya yang berusaha menjejaki mangsa, termasuk menerusi rakan sekolahnya dan sanak- saudara di Ipoh serta Taiping.

Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihak nya menerima laporan dibuat keluarga mangsa.

“Sehingga semalam, kami tidak dapat menemui sebarang petunjuk mengenai mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kereta rempuh pagar tadika – Berita Harian


Kereta rempuh pagar tadika
Oleh Nor Azizah Mokhtar

2011/08/09

PAGAR Tadika Smart Stars roboh akibat dirempuh kereta Perodua Myvi di Jalan Sungai Tua berhadapan SMK Taman Selayang, Gombak, semalam.

PAGAR Tadika Smart Stars roboh akibat dirempuh kereta Perodua Myvi di Jalan Sungai Tua berhadapan SMK Taman Selayang, Gombak, semalam.

Kenderaan dipandu remaja hilang kawalan

GOMBAK: Kira-kira 30 murid tadika di Taman Selayang di sini, trauma selepas sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang remaja hilang kawalan dan merempuh tembok pagar taman asuhan kanak-kanak itu beberapa minit sebelum sesi pembelajaran bermula, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, kenderaan terbabit turut merempuh dua pelajar perempuan Tingkatan Tiga dan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selayang yang berjalan kaki berhampiran tadika itu. Kedua-duanya cedera ringan.

Pemilik tadika Smart Stars, VR Ranee, 56, berkata mujur tadika belum sempat mengadakan perhimpunan seperti kebiasaannya kerana masih ada ibu bapa sedang menghantar anak mereka ketika kemalangan itu berlaku. “Ketika kejadian, saya dan pembantu sedang membawa masuk beberapa kanak-kanak yang dihantar ibu bapa mereka apabila saya terdengar bunyi dentuman kuat serta suara perempuan menjerit di hadapan tadika.
“Saya amat terkejut apabila mendapati sebuah kereta melanggar pagar tadika dan saya melihat seorang perempuan berpakaian sekolah menengah sedang menangis kerana kesakitan, manakala rakannya dalam keadaan terkejut,” katanya.

Ranee menganggarkan jumlah kerugian RM20,000 dan tembok pagar itu baru saja disiapkan menggantikan pagar lama selepas berlaku kejadian pecah masuk di tadika itu sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata ada kemungkinan Perodua Myvi dipandu remaja berusia 22 tahun itu dipandu laju menyebabkannya hilang kawalan dan melanggar dua pelajar sekolah menengah melalui lorong di hadapan tadika.
“Kedua-dua pelajar berusia 15 dan 17 tahun serta pemandu itu cedera ringan dan dihantar ke Hospital Selayang sebagai pesakit luar,” katanya.