Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula – Sinar Harian


Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula
NIZAM ZAIN
21 Ogos 2013
  •  Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – [Video] Subjek sejarah perlu diperkenalkan semula di sekolah bagi melahirkan perpaduan kaum yang dilihat semakin rapuh sejak akhir-akhir ini.
Malah dalam beberapa isu yang ditimbulkan beberapa pihak sebelum ini juga turut mengaitkannya dengan sensitiviti kaum negara ini.

Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, sejak subjek itu digantikan dengan Kajian Tempatan, anak-anak muda seolah-olah melupakan sejarah negara hingga sanggup menggadaikan perpaduan nasional dengan memuat naik kenyataan di internet yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

“Subjek Kajian Tempatan dengan Sejarah berbeza. Kajian Tempatan menggabungkan elemen-elemen ada hal ehwal semasa, sejarah, ilmu alam dan kemasyarakatan, namun gabungan itu hanya dipelajari secara umum.

“Sebab itu kita perlukan satu mekanisme atau saluran untuk melahirkan semangat berpadu itu di kalangan pelajar dari usia muda lagi supaya mereka merasakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang mempunyai inspirasi yang sama untuk menyayangi negaranya,”

“Kita perlu ajar sejarah di sekolah khususnya untuk mengenal tentang asal-usul negara, tamadun dunia sekali gus melahirkan perasaan patriotisme di kalangan pelajar kerana mata pelajaran itu akan diguna pakai semua kaum dan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sikap segelintir anak muda yang semakin melupakan sejarah negara dengan pelbagai cubaan menjejaskan keharmonian perpaduan nasional dengan memuat naik pelbagai kenyataan kontroversi termasuk menimbulkan ketegangan kaum di laman sosial mutakhir ini.

Tambah beliau yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, mata pelajaran sejarah itu juga akan turut memuatkan nilai-nilai murni dan membentuk jati diri supaya mereka bangga menjadi warganegara Malaysia.

“Dalam buku sejarah itu, kita semaikan perasaan sayangkan negara, semangat perpaduan, bekerjasama, toleransi, hormat-menghormati, seperti lapan tonggak dalam agenda 1Malaysia, kita masukkan semua elemen itu, apabila anak-anak baca buku itu, kita dapat didik hati dan fikiran mereka tentang perlunya perpaduan, tidak lagi dilihat seperti bermusuh.

“Mereka juga perlu berasa bangga kerana itu adalah identiti Malaysia yang kita hendak semaikan dalam diri anak-anak kita melalui silibus sejarah ini,” jelasnya sambil menambah generasi baru perlu dididik dengan sikap toleransi yang tinggi dan mengelakkan permusuhan antara kaum dan menggalakkan mereka bersaing untuk memajukan diri.

Katanya, sudah masanya mata pelajaran sejarah itu dikembalikan di sekolah bagi mengatasi sindrom golongan muda yang kian melupakan dan menghayati sejarah negara baik sebelum terbentuknya Malaysia ataupun selepas kemerdekaan negara dicapai.

ARTIKEL BERKAITAN

Pihak politikkan ‘kantin sekolah’ perlu didakwa – Bernama


Pihak politikkan ‘kantin sekolah’ perlu didakwa
26 Julai 2013
  • Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli NoordinNaib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang mempolitikkan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sebuah sekolah di Sungai Buloh.

Naib Presidennya Datuk Zulkifli Noordin berkata sesetengah pihak mengambil kesempatan memfitnah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Nor, dengan mendakwanya bersikap rasis kerana menempatkan murid bukan Islam makan di dalam tandas.

“Yang jelas perkara ini telah diputar belit dan disulami dengan pembohongan, sedangkan faktanya sekolah itu mempunyai kantin yang kecil dan hanya memuat 600 pelajar.

“Keputusan (menggunakan bilik persalinan) itu dibuat hasil perbincangan bersama guru dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), dan guru besar sekadar melaksanakan keputusan itu,” katanya ketika mengulas isu itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penubuhan Majlis Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antara Kaum Malaysia (Mirac) di sini.

Zulkifli turut menyatakan sokongan Perkasa untuk membela dan mempertahankan Mohamad Nasir.

Sementara itu Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda MIC P. Punithan turut memohon semua pihak supaya untuk tidak menjadikan perkara berkenaan sebagai isu perkauman.

Perkara itu tidak harus dipolitikkan dan dipolemikkan kerana mampu menggugat perpaduan kaum yang sedia terjalin, katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama

Jangan terlalu ghairah jaguhi isu pendidikan: Raja Muda Perak – Bernama


Jangan terlalu ghairah jaguhi isu pendidikan: Raja Muda Perak
15:20:19 PM Cetak Emel Kawan

SERI MANJUNG: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak terlalu ghairah menjaguhi isu-isu pendidikan sehingga meletakkan masa depan negara berakhir dengan situasi ‘satu negara-pelbagai warga’.

Baginda bertitah agenda pendidikan nasional perlu dicanai untuk mencapai matlamat berjaya menyatukan pelbagai kaum, hidup rukun dalam semangat ‘satu negara-satu warga’, selaras dengan semangat 1Malaysia. “Membina satu warga tidak bermakna menghapuskan mana-mana kaum, tidak bermakna menghapuskan mana-mana budaya, tidak bermakna menghapuskan mana-mana agama, tidak bermakna menghapuskan mana-mana bahasa,” titah baginda ketika merasmikan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera di sini hari ini.
Baginda bertitah sekolah perlu menjadi kawasan larangan kepada sebarang unsur politiking kerana peranan sekolah sebagai platform untuk menyatupadukan rakyat adalah satu kewajipan bukan satu opsyen.

Raja Dr Nazrin bertitah sekolah adalah ‘tapak semaian’ memastikan ‘benih-benih’ diberikan ruang untuk dapat ‘tumbuh segar’ dan dilindungi daripada menjadi mangsa kepada eksperimen dan permainan politik.

“Kerana itu semua pihak perlu menghormati batas sempadan penglibatan, perlu menjauhkan diri daripada campur tangan yang keterlaluan, semoga menjamin tidak berlakunya pencerobohan dalam perkara berkaitan sekolah dan pelajaran hingga akibatnya anak-anak di sekolah menjadi mangsa, dan hasrat untuk membina warga
yang bersatu tidak akan tercapai,” titah baginda.
Raja Dr Nazrin bertitah kesemua kumpulan politik tanpa mengira fahaman dan ideologi, pemimpin kaum dan agama serta seluruh rakyat perlu mendukung wawasan perpaduan bersama-sama dan wajib membantu memastikan sistem persekolahan berjaya memenuhi misi membina perpaduan kaum dalam semangat ‘satu negara-satu warga’.

Dalam titah itu baginda turut berkongsi pengalaman semasa melalui alam persekolahan rendah dan menengah rendah di sekolah yang terletak di bawah tadbiran Kementerian Pelajaran.

Baginda bertitah baginda sangat menghargainya kerana membantu baginda memperkayakan nilai sosial dan kemanusiaan di dalam diri selain mengalami suasana harmoni di kalangan murid, guru, tenaga pentadbir dan staf sokongan, merangkumi pengusaha kantin sekolah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Alam persekolahan ketika itu dipenuhi pelbagai aktiviti kokurikulum yang terbuka lagi liberal tanpa mempamerkan sifat dominan mana-mana kaum atau agama, malah memperimbangkan keperluan dan sensitiviti kumpulan etnik dan agama, titah baginda.

Baginda bertitah alam persekolahan semasa itu juga memperlihatkan interaksi harian dialami para pelajar berjaya mengeratkan silaturahim di kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama.

“Demikian mutiara berharga yang pada satu masa dahulu, terdapat di dasar lautan falsafah pendidikan negara. Di mana hilangnya mutiara berharga tersebut? Mengapakah mutiara berharga itu dibenarkan tertimbus?

“Jika ia masih belum hilang, jika ia sekadar tertimbus atau jika ia sekadar di bawa arus politiking yang keterlaluan, maka mutiara berharga itu perlu dikembalikan, supaya kekal berada di dasar sistem persekolahan nasional,” titah baginda.

Pada majlis itu baginda yang turut diiringi Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara turut melawat pameran kreatif hasil pembelajaran murid-murid SK Seri Samudera antaranya dalam mata pelajaran Sains, Kajian Tempatan, Matematik dan Bahasa Inggeris.

SK Seri Samudera yang mempunyai 18 bilik darjah dibina dengan kos RM11.37 juta itu mula dibuka pada 13 Jun tahun lepas dan kini mempunyai 580 murid, 43 guru dan dua kakitangan sokongan. – BERNAMA