Cetus minat membaca di kalangan pelajar – Sinar Harian


Cetus minat membaca di kalangan pelajar

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Oktober 2012
Saadiah (kanan) dan Ungku Noorakmal (kiri) bersama peserta Read 2012.
Saadiah (kanan) dan Ungku Noorakmal (kiri) bersama peserta Read 2012.

JOHOR BAHRU – Seramai 123,905 pelajar daripada 266 sekolah di Johor menyertai Program Read 2012 (Satu Negara Membaca Bersama) yang dilakukan serentak di semua sekolah di negara ini dalam percubaan Buku Rekod Malaysia (Malaysian Book Of Records).

Program bermula jam 9.30 pagi itu berakhir kira-kira 35 minit kemudian dengan sasaran mencatatkan lebih sejuta pembaca.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Johor, Saadiah Said berkata, tujuan program itu adalah menyediakan platform kepada pelajar mengisi masa terluang khasnya murid yang baru habis menduduki peperiksaan.

“Jika sebelum ini, program ini berjalan serentak di semua sekolah di mana semua pelajar akan membaca di dewan atau perpustakaan sekolah, namun tahun ini kita membawa 400 pelajar daripada 123,905 pelajar di Johor untuk turut serta dalam program ini di Perpustakaan Awam Johor, Jalan Yahya Awal.

“Tujuan kita, mewujudkan suasana membaca dalam keadaan yang lebih menyeronokkan dimana disini, pelajar dibenarkan berbaring dan membaca pelbagai buku yang ditawarkan,” katanya selepas majlis pelancaran Program Read 2012.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman berkata, pelbagai aktiviti dianjurkan di situ dalam usaha mencetuskan minat pelajar dan masyarakat membaca.

“Kita mahu menanam minat membaca dengan suasana yang ceria dan menyeronokkan agar mereka tidak jemu.

“Kita sasarkan 40 peratus daripada penduduk di negeri ini menjadi ahli dan aktif membaca,” katanya.

Sementara itu, pelajar tahun enam, Shazleen Mohd Yasin, 12, berkata kerap datang ke perpustakaan untuk mendapatkan pelbagai bahan bacaan.

“Di perpustakaan ada banyak bahan bacaan dan rujukan, kerana tidak semua buku mampu kita beli,” katanya.