Murid SK Kiabau belajar di bawah bangunan sekolah disebabkan kekurangan kelas – Kosmo


Murid SK Kiabau belajar di bawah bangunan sekolah disebabkan kekurangan kelas

 

19/09/2013 5:06pm

 

TELUPID – Sejumlah 27 murid Tahun Dua hingga Lima di Sekolah Kebangsaan Kiabau di sini terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa di bawah bangunan sekolah disebabkan masalah kekurangan kelas di sekolah itu.

Kelas tambahan di bawah bangunan papan setingkat itu dibina hasil inisiatif guru besar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan akibat pertambahan pelajar setiap tahun.

Pengerusi PIBG sekolah, Peter Anun berkata pertambahan guru sebelum ini daripada enam kepada 12 orang sejak 2011 mendorong pihak sekolah untuk mewujudkan sebuah kelas mengikut tahun pelajar.

Menurutnya, pada masa sekarang hanya terdapat sebuah kelas di bangunan sedia ada di sekolah berkenaan, bagaimanapun, kelas itu terpaksa dibahagikan kepada dua bagi pembelajaran murid tahun satu dan tahun enam berjumlah 15 orang.

Katanya, pelajar tahun dua hingga tahun lima terpaksa meneruskan sesi pembelajaran mereka dengan kurang selesa di dalam kelas yang diwujudkan di bawah bangunan sekolah berkenaan sejak tiga tahun lepas.

Peter berkata, dua lagi kelas di bangunan sedia ada telah dijadikan sebagai bilik guru, Pusat Sumber dan bilik Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

“Perhatian khusus daripada Kementerian Pendidikan untuk mengatasi masalah itu perlu disegerakan bagi memastikan semua pelajar dapat belajar dalam keadaan selesa,” katanya. – Bernama

Seorang bapa murid di sekolah itu Japari Oyah mahu kerajaan memandang serius masalah dialami sekolah berkenaan. Menurutnya kelas di bawah bangunan sekolah bukan sahaja tidak selesa untuk murid belajar malah apabila banjir semua kemudahan yang ada akan rosak.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz2fKa7t48S
Hakcipta terpelihara

Pokok besar bahayakan murid – Sinar Harian


Pokok besar bahayakan murid
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2013
  • Pokok besar bahayakan muridMohd Asrul dan seorang pengawal keselamatan sekolah menunjukkan salah satu pokok besar yang sudah tumbang.
< 1 / 1 >

TANJUNG TOKONG – Tiga pokok besar di sini dikatakan hanya menunggu masa untuk tumbang sekali gus mengancam keselamatan kira-kira 350 murid.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Kebangsaan Tanjung Tokong, Mohd Asrul Ismail berkata, kesemua pokok itu terletak dalam kawasan padang sekolah.

Menurutnya, lebih membimbangkan, kawasan berkenaan juga menjadi tempat murid menunggu ibu bapa mereka apabila pulang dari sekolah.

“Namun, buat masa ini kawasan berhampiran dengan pokok sudah pun ditutup kerana dikhuatiri tumbuhan berkenaan tumbang pada bila-bila masa.

“Ini kerana bahagian dalaman pokok sudah semakin reput dan kami yakin jika berlaku ribut, pokok berkenaan akan tumbang. Malahan aduan mengenai masalah itu telah dibuat sejak dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Seorang guru yang enggan nama disiarkan berkata, sebuah tempat letak kereta juga terpaksa dikosongkan akibat masalah itu.

Jelasnya, semua kakitangan sekolah bimbang jika pokok itu tumbang dan menghempap kereta guru di sini.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera bagi menangani  masalah berkenaan,” katanya.

Sekolah makin padat – Sinar Harian


Sekolah makin padat

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Julai 2013
Sekolah makin padat
Zulkefli Mohamed

RAWANG – Penduduk Bandar Tasik Puteri memohon supaya sekolah menengah kedua di bina dalam kadar segera sebagai mengatasi masalah kepadatan pelajar yang kini mencecah 2,550 orang.

Projek itu sepatutnya berjalan awal tahun namun ditunda penghujung tahun ini.

Pembinaannya dilihat perlu ke arah merealisasikan hasrat kerajaan yang mahukan setiap sekolah mempunyai satu sesi sahaja.

Pengerusi Yang Dipertua Persatuan Ibu-Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Puteri, Zulkefli Mohamed berkata, kepadatan jumlah pelajar dilihat ketara sejak lima tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, sebuah kelas kini menempatkan sekurang-kurangnya 50 pelajar dan beberapa kabin turut digunakan menampung tambahan 12 kelas.

“Pelajar kini belajar dalam keadaan tidak selesa dan guru tidak dapat memberikan perhatian penuh ke atas semua pelajar memandangkan jumlahnya yang melebihi daripada sepatutnya iaitu 30 hingga 35 orang sahaja dalam
satu kelas.

“Sekiranya pembinaan sekolah menengah kedua itu dilewatkan dibimbangi sekolah tidak mampu menampung keperluan pelajar memandangkan kawasan Bandar Tasik Puteri makin membangun,” katanya kepada Sinar Harian
ketika majlis makan amal SMK Bandar Tasik Puteri kelmarin.

Zulkefli berkata, dalam majlis tersebut, pihak PIBG menyasarkan kutipan dana sekurang-kurangnya RM60,000 melalui penjualan meja untuk digunakan dalam akademik pelajar-pelajar.

“PIBG banyak mengeluarkan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan serta saban tahun membeli meja dan kerusi tambahan berikutan pertambahan pelajar selain pembinaan kantin sekolah,” katanya.

Seorang ibu pelajar, Dayang Nafisah Adnin,40, berkata, pembinaan sekolah baru itu diharapkan dapat disegerakan sebagai memberi keselesaan kepada pelajar dan guru dalam proses pembelajaran.

“Kami tiada pilihan kerana hanya mempunyai sebuah sekolah di sini dan tidak boleh terlalu bersikap mendesak sekiranya pencapaian anak-anak kurang memberangsangkan memandangkan kepadatan pelajar.

Projek pembinaan sekolah itu perlu disegerakan memandangkan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk siap dan dalam tempoh itu sekolah ini akan berterusan menghadapi masalah kepadatan pelajar,” katanya.

Dilema SK Simpang Empat 80 tahun terpaksa ditutup – Sinar Harian


Dilema SK Simpang Empat 80 tahun terpaksa ditutup

SITI SAFA MOHD NOR
22 Oktober 2012
Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat.
Pemandangan dari luar Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat.

SITIAWAN – Ibu bapa dan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat di sini  berdepan dengan dilema apabila sekolah berusia 80 tahun itu akan ditutup bermula 1 Januari 2013.

Nasib 464 murid sekolah berkenaan masih belum dapat dipastikan. Dalam pada itu, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan masih berusaha membuat rayuan manakala Pejabat Pelajaran Daerah mengakui tidak mempunyai kuasa untuk menahan sekolah itu daripada ditutup.

* Dapatkan Sinar Harian esok untuk laporan penuh

Sekolah, Syarikat Pemaju Turut Terlibat Dalam NKRA Jenayah Fasa Kedua -Hishammuddin – Bernama


Sekolah, Syarikat Pemaju Turut Terlibat Dalam NKRA Jenayah Fasa Kedua -Hishammuddin

KAMPUNG GAJAH: Sekolah dan syarikat pemaju perumahan antara organisasi yang terlibat memerangi jenayah di bawah fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah yang akan dilancarkan hujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian itu akan mengumumkan pendekatan dan program fasa kedua bagi memenuhi matlamat NKRA.

“Pendekatan di bawah fasa kedua saya akan umumkan sekaligus tentang apa yang kita akan lakukan terhadap kanak-kanak jalanan, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru… yang mana semua ini ada hubung kait dengan agenda kita, sama juga bank-bank serta syarikat pemaju perumahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Pasir Salak di Dewan Besar Felcra di sini, Ahad.

Terdahulu, beliau menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Felcra Berhad Wilayah Perak di tapak perumahan generasi kedua peserta Felcra di sini. -BERNAMA

Kementerian serah kepada polis siasat kes serang sekolah – Berita Harian


Kementerian serah kepada polis siasat kes serang sekolah
2012/06/17

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menyiasat serta mengambil tindakan lanjut terhadap kejadian sekumpulan 10 pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana, dicederakan sekumpulan 30 remaja.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata beliau mendapat tahu mengenai insiden itu menerusi akhbar dan masih belum menerima maklumat daripada Jabatan Pelajaran Selangor.
Katanya, berikutan insiden berlaku di luar kawasan sekolah, siasatan terhadap kes itu secara automatik berada di bawah tanggungjawab polis.
“Kementerian tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana ia tidak berlaku dalam kawasan sekolah.

“Bagi kementerian, langkah seterusnya hanya boleh memberi penerangan kepada pelajar sekolah mengenai apa yang perlu dilakukan apabila berdepan situasi begini.

“Maksudnya apabila pelajar diserang ‘orang luar’, apakah yang perlu mereka lakukan iaitu sama ada terus berada berada di luar kawasan sekolah ketika diserang atau cepat masuk ke perkarangan sekolah sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya tindakan boleh diambil kementerian terhadap penyerang antaranya dipercayai bekas pelajar sekolah itu, katanya tindakan disiplin membuang mereka sudah menggugurkan mereka dari status sebagai pelajar.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Cheras Perdana, Chin Choong Fuan menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu kes terpencil.

Katanya, insiden itu mungkin dicetuskan segelintir pelajar bermasalah yang kemudian mengheret pembabitan orang luar.

“Kita amat mengambil berat perkara ini kerana ia membabitkan keselamatan pelajar dan guru, namun kita percaya pihak sekolah sudah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan perkara ini tidak berulang pada masa depan.

“Buat masa ini, pihak PIBG masih belum tahu apakah punca sebenar pergaduhan itu. Justeru, kita serahkan pada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah berjumpa dengan pihak sekolah berhubung insiden terbaru itu bagi mencari jalan penyelesaian bersama.

JMM libatkan sekolah dalam kempen anti-LBGT – Bernama


JMM libatkan sekolah dalam kempen anti-LBGT

31 Mac 2012

KUALA LUMPUR – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) akan melibatkan sekolah-sekolah dalam kempen antiseks bebas lesbian, gay, bioseksual dan transeksual (LGBT) anjurannya.

Presiden JMM Azwanddin Hamzah berkata, sebanyak 30 sekolah di semenanjung bersetuju untuk turut serta dalam kempen menentang gejala LGBT yang semakin
menular di seluruh negara.

“Gerak kerja telah dilakukan hampir sebulan untuk melibatkan pihak sekolah dan ada PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) serta guru besar yang telah bersetuju
untuk menyertai program ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program anti LGBT di Sekolah Menengah Kebanghsaan Miharja, Cheras di sini.

Azwanddin berkata, SMK Miharja merupakan sekolah pertama yang berganding bahu dengan JMM dalam kempen anti LGBT dan menerusi program ini diharap dapat memberi kesedaran kepada pelajar sekolah ini mengenai gejala LBGT

Beliau berkata, selain itu ibu bapa juga harus disedarkan mengenai isu ini dan sentiasa mengambil tahu dan memandang berat berat kegiatan anak-anak mereka
dengan rakan sebaya. – Bernama

Bapa kesal anak hampir tertelan skru besi dalam roti – Utusan


Bapa kesal anak hampir tertelan skru besi dalam roti

PULAU PINANG 15 Feb. – Bapa seorang pelajar di sebuah sekolah menengah asrama penuh di sini mendakwa anaknya hampir tertelan sebatang skru besi ketika menikmati roti ban yang diedarkan sekolah berkenaan.

Anuar Abu Kassim, 49, berkata, kejadian berlaku pada 11 Februari lalu ketika sekolah itu mengadakan aktiviti merentas desa dan semua pelajar diberikan roti ban berkenaan sebelum acara bermula.

Menurut beliau, anaknya Nurul Ain telah memberitahu guru sekolah mengenai penemuan skru besi dalam roti itu.

“Sebagai seorang bapa, saya amat dukacita kerana kejadian ini boleh menyebabkan kehilangan nyawa anak saya.

“Saya bukan mahu meminta sebarang ganti rugi, namun sebagai seorang pengguna saya memandang serius pekara ini kerana ia melibatkan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan pengguna,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Anuar, dia telah dihubungi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dua hari lalu mengenai kedatangan wakil syarikat pengeluar roti tempatan ke sekolah berkenaan.

“Wakil syarikat terbabit dikatakan tidak mahu perkara ini diperbesarkan dan telah mengambil roti dan skru tersebut untuk tujuan penyelidikan. Keputusan penyelidikannya hanya dimaklumkan kepada pihak sekolah pada 20 Februari ini,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan sekolah yang tidak memaklumkan pertemuan tersebut dengannya.

Anuar berkata, dia berharap agar insiden seperti itu tidak berlaku pada masa hadapan dan berharap pengeluar roti berkenaan lebih bertanggungjawab.

Sementara itu, Nurul Ain memberitahu, ketika menikmati roti berperisa coklat itu, dia tergigit benda keras.

“Apabila diteliti saya mendapatinya ia sebatang skru. Saya bernasib baik tidak menelan skru itu kerana jika tertelan saya tidak tahu apa yang akan terjadi,” katanya.