Sekolah vernakular: NGO cadang tambah bahasa lain – Sinar Harian


Sekolah vernakular: NGO cadang tambah bahasa lain
WARTAWAN SINAR HARIAN
7 September 2013
  • Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM)
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam Gabungan mencadangkan supaya bahasa lain seperti bahasa Cina, India, Arab ataupun Perancis juga seharusnya diajar sebagai mata pelajaran wajib di sekolah.

Jurucakapnya, Nadzim Johan berkata, beberapa pakar dan ahli utama gabungan ini akan mengadakan perbincangan tergempar berkaitan isu ini memandangkan tuntutan yang dibuat kumpulan ini adalah dari sudut peruntukan Perlembagaan Negara.

“Kami juga berhasrat dan bercita-cita untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, faham-memahami, hormat-menghormati melalui sistem pendidikan sealiran yang memberi peluang anak-anak bangsa berinteraksi bersama di sekolah.

“Sesungguhnya sistem pendidikan sealiran juga boleh dilaksanakan tanpa mengenepikan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Semalam, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa sekolah vernakular mempunyai hak untuk terus wujud dan akan dipertahankan di bawah rangka dasar pendidikan nasional yang dilancarkan.

Timbalan perdana menteri juga berkata, hak bagi sekolah Cina dan Tamil menggunakan bahasa pertuturan masing-masing sebagai medium pengajaran dijamin bawah Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28).

Tambah Muhyiddin, kementerian tidak berniat menghapuskan mana-mana aliran persekolahan yang wujud dan kewujudannya tidak pernah dinafikan.

Sementara itu, tambah Nadzim yang juga selaku Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), pihaknya menghormati kenyataan yang dibuat Muhyiddin dalam kapasiti sebagai Menteri Pendidikan.

Sehubungan itu katanya lagi, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan minggu hadapan setelah perbincangan dengan pakar-pakar perlembagaan dan juga barisan peguam dalam menghadapi persoalan ini minggu hadapan.

Ibu bapa perlu awasi kegiatan anak-anak elak terjebak pertaruhan siber – Metro


Ibu bapa perlu awasi kegiatan anak-anak elak terjebak pertaruhan siber

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Judi Internet biasanya berselindung di sebalik pusat siber. Oleh itu, ibu bapa perlu berhati-hati serta mengawasi pergerakan anak yang meminta kebenaran ke pusat siber,” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, mengenai kegiatan judi siber yang semakin berleluasa.

Menurutnya, taktik pusat judi berselindung atas nama pusat siber menyebabkan ramai remaja terjerumus dalam kegiatan judi itu sehingga kerugian mencecah ribuan ringgit.
“Kebanyakan pusat judi siber menawarkan pertaruhan serendah RM1. Jadi remaja terbabit berjudi secara kecil-kecilan antara RM5 hingga RM10.

 

“Walaupun ada ketikanya mereka menang, kekerapan itu terlalu sedikit dan tanpa sedar, mereka sudah berbelanja ribuan ringgit,” katanya.
Nadzim berkata, taktik pusat siber juga sangat licik berikutan tidak membayar wang kemenangan jika nilainya bawah RM100.
Disebabkan itu, katanya, remaja terbabit akan terus mencuba nasib untuk mendapatkan kemenangan melebihi RM100.

 

 

“Ini sebahagian taktik digunakan kerana tidak mahu membayar wang kemenangan walaupun menang RM10.
“Mahu tak mahu, mereka terpaksa melabur wang kemenangan yang ditukar kepada percubaan sebanyak 10 kali lagi,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut mengakui menerima aduan daripada ibu bapa mengenai anak mereka bermain judi secara on-line.
Katanya, walaupun kes berkenaan terpencil dan tidak membabitkan nilai besar, ia perlu diberi perhatian.
“Walaupun aduan kita terima membabitkan nilai kecil, kita berharap pemantauan terhadap remaja terbabit diberi perhatian serius.
“Ini kerana kita khuatir ia mendorong mereka mencuba judi dengan taruhan lebih besar. Lebih merisaukan, remaja terbabit mungkin mencuri dan merompak untuk memenuhi kehendak berjudi,” katanya.