Kementerian sedia kaji isu penempatan guru berkahwin – Bernama


Kementerian sedia kaji isu penempatan guru berkahwin

2013/07/01 – 14:29:39 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan bersedia untuk mengkaji semula pertukaran guru yang sudah berkahwin atas faktor kemanusiaan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata adalah tidak sesuai bagi pasangan suami isteri, terutama yang baru berkahwin dipisahkan atas kekangan tugas.

“Bagi saya sebagai pendidik yang ada pengalaman sebagai seorang pengetua, sekiranya ada guru yang minta tukar atas sebab mereka berkahwin, saya beri sokongan penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Hasbulah Osman (BN-Gerik) yang bertanya mengenai permohonan pertukaran guru yang berkahwin.

“Ini atas dasar kemanusiaan… tidak sesuai atau tidak baik untuk suami isteri dipisahkan,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Hasbullah mengenai usaha yang dijalankan untuk memperkasa Institut Perguruan Malaysia (IPGM), Yap berkata, beberapa aktiviti dilaksanakan termasuk usaha untuk menarik 30 peratus pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai profesyen perguruan khususnya di IPG.

“Institut itu turut melaksanakan usaha ke arah memberi penarafan kepada semua 27 kampus IPG di seluruh negara selain kursus untuk pengukuhan latihan perguruan dan pembangunan profesionalisme.
“Bagi meningkatkan prestij IPG setanding institut pengajian tinggi awam (IPTA), satu pelan strategi dirangka untuk mencapai sasaran 33 peratus pensyarah IPG memiliki ijazah kedoktoran (PhD) menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata, pada 2012, daripada 3,947 pensyarah IPG, seramai 308 pensyarah adalah pemegang Ijazah Doktor Falsafah dan 3,057 Sarjana. – BERNAMA

Jawatankuasa khas tangani isu guru SJKC, SJKT – Bernama


Jawatankuasa khas tangani isu guru SJKC, SJKT

KUALA LUMPUR 21 Jun – Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan bagi menangani isu kekurangan guru terlatih di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata jawatankuasa khas bagi menangani isu kekurangan guru di kedua-dua sekolah itu dipengerusikan secara berasingan oleh dua Timbalan Menteri Pelajaran.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa itu turut dianggotai wakil persatuan dan pertubuhan bagi masyarakat Cina dan Tamil serta kesatuan guru bagi membincangkan secara terperinci isu berkenaan serta mengenal pasti pendekatan terbaik mengatasi masalah itu.

Bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran, beberapa langkah turut diambil, antaranya memastikan guru mempunyai kelayakan dwibahasa termasuk bahasa Cina atau Tamil untuk mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dan Inggeris Tahap 1.

“Selain memastikan guru kelas pemulihan mempunyai kelayakan dwibahasa, kementerian menempatkan 98 graduan pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mempunyai kepujian bahasa Cina ke SJKC dan 18 graduan yang mempunyai kepujian dalam bahasa Tamil ke SJKT pada 23 Mei lalu,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan M. Manogaran (DAP-Telok Intan) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. – BERNAMA

Semua Sekolah Dapat Bekalan Air Bersih, Elektrik Tahun Depan – Muhyiddin – Bernama


Semua Sekolah Dapat Bekalan Air Bersih, Elektrik Tahun Depan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Semua sekolah di seluruh negara akan mendapat bekalan air bersih dan elektrik yang sempurna serta mencukupi pada tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata buat masa ini sebanyak 46 projek bekalan air masih belum beroperasi kerana pelaksanaan projek bekalan elektrik belum siap sepenuhnya.

“Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kementerian merancang untuk melaksanakan projek bekalan air bersih bagi memastikan semua sekolah di seluruh negara dibekalkan dengan air bersih,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan Rakyat, Rabu.

Katanya sebanyak 570 buah projek bekalan elektrik di seluruh negara telah dilaksanakan di bawah RMK-9 dan RMK-10 membabitkan 42 projek di Semenanjung, Sabah (179) dan Sarawak (427).

Beliau berkata kementerian juga merancang untuk melaksanakan 1,605 projek penyelenggaraan di bawah program Pakej Ransangan Khas (PRK) 2012 di seluruh negara di bawah skop penyelenggaraan bangunan dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM435 juta. – BERNAMA