Tindakan juri dipertikai, dakwa tidak adil – Sinar Harian


Tindakan juri dipertikai, dakwa tidak adil

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Oktober 2012
Tindakan juri dipertikai, dakwa tidak adil
Mohd Azmi menunjukkan borang markah yang telah dipotong pihak juri pada pertandingan tersebut.

SEREMBAN – Pengerusi Tabika Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kampung Pianggu, Jelebu, di sini, mempertikaikan juri Pertandingan Pidato Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas peringkat negeri yang didakwanya bersikap tidak adil.

Mohd Azmi Abdul Aziz berkata, tindakan seorang juri pertandingan itu yang sengaja memotong markah salah seorang peserta yang sepatutnya layak menjadi juara menyebabkan peserta terbabit sekadar mendapat tempat saguhati sahaja.

Menurutnya, pertandingan selama dua hari bermula Isnin lalu diadakan di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut dan disertai lapan peserta mewakili parlimen masing-masing.

“Dua juri mengadili pertandingan ini yang bertanggungjawab bagi menentukan peserta layak menjadi juara.

“Namun saya kesal dengan tindakan seorang juri yang bertindak memotong markah peserta, Iman Nafisah Mohd Khairul Anuar, 6, dari Tabika Kemas Kampung Pianggu yang pada awalnya layak menjadi juara berikutan markah diperoleh tinggi, tetapi kemudiannya dipotong menyebabkan hanya layak mendapat tempat saguhati,” katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya, Iman Nafisah memperoleh markah penuh iaitu 100 tetapi pihak juri memotong markah tersebut kepada 90, menyebabkan dia tidak layak menjadi juara.

“Tindakannya menyebabkan pertandingan berkenaan dimenangi peserta dari Teluk Kemang, Port Dickson.

“Saya ada bukti salinan markah yang menunjukkan pihak juri memotong markah peserta sehingga menyebabkan Iman Nafisah kalah,” katanya.

Mohd Azmi berkata, ramai ibu bapa merungut dengan pemilihan juri yang terdiri daripada Pegawai Kemas kerana sepatutnya juri perlu dilantik daripada pihak berkecuali.

“Saya harap Kemas dapat melakukan penambahbaikan pertandingan tersebut pada masa akan datang bagi mengelak masalah sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kemas negeri, Norizan Muda berkata, tiada sebarang isu kecuaian pemarkahan berlaku pada pertandingan berkenaan.

“Juri adalah orang yang bertanggungjawab menentukan siapa yang layak menjadi juara dan keputusan adalah muktamad.

“Pelantikan juri juga adalah persetujuan ramai dan layak kerana kedua-dua mereka mempunyai latar belakang tinggi dalam bidang ilmu dan bahasa serta tiada kena mengena dengan tabika. Oleh itu, tidak timbul isu berat sebelah dan sebagainya,” katanya.

Norizan berkata, pihaknya juga bercadang untuk mengulang semula pertandingan tersebut dalam tempoh terdekat.

“Kita bercadang sama ada untuk mengadakan pertandingan ini semula atau menilai semula persembahan peserta bagi menyelesaikan isu berbangkit ini,” katanya.

Penilaian integriti pendidik berterusan – Metro


Penilaian integriti pendidik berterusan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Penilaian tahap integriti guru dan warga pendidik perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya kefahaman serta kesedaran kepentingan nilai mulia dalam perkhidmatan pendidikan dapat dipertingkatkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian itu turut akan membantu Kementerian Pelajaran mengenal pasti aspek yang boleh dilakukan penambahbaikan.
“Usaha ini perlu dilaksanakan untuk menyebar luas maklumat berkaitan amalan dan budaya integriti warga pendidik supaya tahap kefahaman serta kesedaran mengenai kepentingannya dapat dipertingkatkan,” katanya dalam ucapan perasmian penutup Pertandingan Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan Guru, Piala Menteri Pelajaran 2012, di sini, semalam.

 

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud dan Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, proses pemantapan integriti memerlukan pembabitan dan usaha bersungguh-sungguh semua peringkat pengurusan pendidikan.
“Justeru, strategi dan pelan tindakan berfokus diharap dapat dilaksanakan secara kolektif untuk memastikan tahap integriti warga pendidik sentiasa tinggi.

 

 

“Saya yakin kerjasama pintar sedia terjalin antara Institut Pendidikan Guru dan IIM dikembangkan lagi untuk menyemarakkan amalan serta budaya integriti di kalangan warga pendidik di negara kita,” katanya.
Beliau berkata, krisis ekonomi di Barat dan kemunculan kembali pemikiran menekankan kepentingan amalan nilai moral dan etika dalam masyarakat menjadi peringatan semua pihak tidak sekali-kali mengabaikan fungsi asas pendidikan.

Semua pelajar 9A+ ke atas terima penajaan – Utusan


Semua pelajar 9A+ ke atas terima penajaan

MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan juara Pertandingan Pidato Integriti 2012 Piala Menteri Pelajaran, Mohd. Rafee Mohamad sambil memegang trofi selepas majlis penyampaian hadiah di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan pemenang ketiga, Mohd Fikri Mat Arit (kiri). – BERNAMA

 

KUALA LUMPUR 10 April – Semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2011 yang mendapat keputusan 9A+ dan ke atas ditawarkan penajaan kewangan Bursary secara automatik oleh Kementerian Pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penajaan kewangan tersebut yang bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan pelajar dibuat tanpa mengira etnik, kaum, keturunan serta latar belakang.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, seramai 1,609 pelajar lepasan SPM 2011 telah dikenal pasti layak mendapat penajaan Bursary iaitu 1,020 yang mendapat keputusan sembilan A+, 492 pelajar (10A+), 90 pelajar (11A+) dan tujuh pelajar (12A+).

Sekolah tidak aktif KPBPNB ditamat keahlian – Utusan


Sekolah tidak aktif KPBPNB ditamat keahlian

PONTIAN 18 Feb. – Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui Kelab Pelaburan Bijak PNB (KPBPNB) akan menamatkan keahlian sekolah yang didapati tidak menunjukkan prestasi memuaskan selain tidak aktif menjalankan aktiviti kelab berkenaan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, jumlah sekolah yang aktif telah meningkat daripada tujuh buah sekolah pada 2010 kepada 57 buah sekolah pada tahun lalu manakala sekolah yang kurang aktif turun kepada 47 berbanding 93 buah bagi tempoh yang sama.

“Selain memberi pengiktirafan kepada sekolah yang cemerlang, PNB juga berkemungkinan menamatkan keahlian sekolah yang terus menerus menunjukkan prestasi rendah dan tidak aktif.

”Sekolah-sekolah tersebut akan digantikan dengan sekolah-sekolah lain yang dikenal pasti berkelayakan dan berminat untuk menyertai kelab,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kelab Pelaburan Bijak PNB di SMK Dato’ Penggawa Barat di sini semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Md. Hasidin Zaini dan Pengetua sekolah tersebut, Hashim Mohd. Dom.

Menurut Hamad Kama Piah, sehingga kini sebanyak 104 buah sekolah sudah menubuhkan kelab tersebut yang bertujuan mewujudkan kesedaran dan memberi pendidikan pelaburan serta perancangan kewangan kepada masyarakat ke arah celik pelaburan.

”Pelbagai aktiviti telah dianjurkan bagi mencapai usaha tersebut seperti pertandingan pidato, kuiz pelaburan, menulis esei dan seminar perancangan kewangan.

”Seramai 62,000 pelajar telah terlibat dalam aktiviti tersebut pada tahun lalu berbanding 37,000 pada tahun sebelumnya dan kita menyasarkan penyertaan 130,000 pelajar setiap tahun pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Khas Kecemerlangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Barat yang berjaya mengungguli pelbagai program anjuran PNB, sekali gus menerima piala khas dan insentif berjumlah RM20,000.

Lima sekolah menerima Anugerah Kecemerlangan Kelab Pelaburan Bijak PNB 2011 iaitu SMK Dato’ Penggawa Barat; SMK Nenasi, Pekan; SMK Abaka, Tawau serta SMK Batu 10, Manjung dan SMK Alor Pongsu, Krian.