Ghaib ditelan ombak – Metro


Ghaib ditelan ombak

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEMATAN: Aktiviti perkelahan 30 ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pantai Pueh, Kampung Siru Melayu, di sini, semalam berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas manakala seorang lagi dilaporkan hilang ditelan ombak besar.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, ketiga-tiga mangsa, Ling Chok Leong, 78, Ting Koo Leong, 63, dan Jasper Jong, 14, mandi kira-kira 50 meter dari pantai, tetapi ombak dan arus kuat menyebabkan mereka dihanyutkan ke tengah laut.

Kejadian itu disedari rakan mereka yang berada di tepi pantai dan sempat menarik Ling dan Ting yang terkapai-kapai meminta tolong manakala Jasper yang menggunakan pelampung terus dihanyutkan ombak.

Menurut saksi kejadian yang dikenali sebagai John, 25, ketika bermain di tepi pantai, mereka ternampak dua mangsa terkapai-kapai di tengah laut kira-kira 500 meter dari pantai.

 
Katanya, sebaik melihat mangsa tenggelam-timbul seperti meminta pertolongan, beberapa rakan lain berenang ke lokasi berkenaan dan berjaya membawa dua mangsa ke pantai.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31

Kaunselor sekolah perlu dalami ilmu cegah LGBT – Berita Harian


Kaunselor sekolah perlu dalami ilmu cegah LGBT

2012/10/17 – 07:05:17 AMCetakEmel Kawan
Kota Bharu: Kementerian Pelajaran bimbang kegagalan kaunselor di sekolah menangani kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) akan menyebabkan gejala itu menjadi satu penyakit dalam kalangan pelajar negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata walaupun tiada data tepat wujudnya LGBT di sekolah, tidak mustahil ia boleh menjadi isu membimbangkan, tambahan pula kegiatan itu mula mendapat sokongan pemimpin tertentu yang mempertahankannya seperti sokongan kepada sambutan Seksualiti Merdeka sebelum ini.

Cegah LGBT

Saya berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membantu dengan menambah kaunselor bertauliah bagi menangani masalah ini,” – Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran

“Saya minta kaunselor di sekolah mendalami ilmu pencegahan LGBT kerana keadaan di luar sekolah sudah menunjukkan peningkatan dalam kegiatan ini.
“Pihak sekolah menjadi landasan terbaik untuk mencegah melalui pendidikan,” katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan (Menangani isu LGBT) Peringkat Negeri Kelantan, di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hussain Awang.

Seminar siri ke-14 ini dihadiri 1,800 peserta, manakala siri sebelum ini yang diadakan di seluruh negara sudah dihadiri 12,500 peserta.
Program sama bakal dianjurkan di Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh terdekat.

Beri perhatian

Puad berkata, gejala itu perlu diberi perhatian kerana selama ini negara lebih banyak menumpukan perhatian kepada isu berkaitan dadah, mat rempit, ponteng sekolah atau ragut, sedangkan LGBT juga perlu ditangani dengan tegas.

“Saya berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membantu dengan memperbanyakkan kaunselor bertauliah bagi menangani masalah ini, manakala kerajaan pula berusaha melahirkan lebih ramai kaunselor bertauliah supaya mereka yang terjebak dalam gejala LGBT ada tempat mengadu atau mendapat rawatan sewajarnya tanpa rasa tersisih dan terus hanyut,” katanya.

Mappim tolak usul benar pelajar bawa iPad, telefon – Sinar Harian


Mappim tolak usul benar pelajar bawa iPad, telefon
WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Julai 2012

Sekadar gambar hiasan.
SHAH ALAM – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Islam (Mappim) menolak usul Kementerian Pelajaran mengenai cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Presidennya, Misswadi Sarvini berkata, sekiranya usul tersebut diluluskan, ia akan mengundang risiko kepada pelajar melibatkan pergaduhan, kecurian dan fitnah.

“Perkara tersebut pernah dilaksanakan beberapa tahun lalu, namun mendapat tentangan hebat daripada ibu bapa, pihak sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sebagai salah satu NGO yang memantau kecemerlangan pelajar, kami tidak bersetuju jika usul ini dilaksanakan memandangkan pelbagai komplikasi dan impak kepada pembelajaran murid,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan Jawatankuasa Disiplin untuk membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah menerusi Draf Peraturan Pendidikan Disiplin Murid 2012.

Misswadi berkata, terlalu banyak keburukan daripada kebaikan sekiranya usul tersebut dilaksanakan dan pihaknya berpendapat masih terdapat kaedah lain yang lebih sesuai untuk memantau pergerakan pelajar.

“Saya berharap kementerian mencari mekanisme yang berkesan dalam membantu ibu bapa agar anak-anak mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah atau sosial.

“Cadangan kami adalah setiap sekolah menyediakan bilik khas untuk berkomunikasi atau pondok telefon bagi memudahkan pelajar menghubungi keluarga,” katanya.

JMM dedah ada pihak promosi LGBT, seks bebas kepada pelajar – Utusan


JMM dedah ada pihak promosi LGBT, seks bebas kepada pelajar

Azwanddin Hamzah (duduk kanan bersama wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru Wilayah Persekutuan menunjukkan risalah memerangi lesbian, gay, biseksual dan transgender di Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini mendedahkan terdapat usaha pihak yang menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mempromosi pesta seks bebas dalam kalangan pelajar khususnya di kawasan Lembah Klang dan Selangor.

Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, maklumat itu diperolehi hasil hubungan baik pihaknya dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa sekolah sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, pihak terbabit bukan sahaja mempromosi seks bebas kepada pelajar, malah mereka sanggup menaja kegiatan jijik itu dengan turut menawarkan tempat, minuman keras percuma, pil khayal selain menggalakkan bertukar-tukar pasangan.

“Keadaan diburukkan lagi apabila pelajar-pelajar ini tidak hadir ke sekolah dan tidak pulang ke rumah beberapa hari.

“Oleh itu, tindakan yang menyokong LGBT serta seks songsang mengumpan pelajar-pelajar ke pesta seks bebas adalah satu tindakan berniat jahat dan bertujuan merosakkan masa depan pelajar dan sistem kekeluargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum bermulanya mesyuarat JMM bersama 10 PIBG bagi menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Menangani LGBT di Ampang dekat sini hari ini.

JMM merupakan salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang begitu aktif menentang aktiviti LGBT kerana jelas perbuatan tersebut amat dilarang oleh agama serta bertentangan dengan moral dan fitrah manusia.

Azwanddin berkata, perkembangan yang berlaku itu amat menggusarkan hati ibu bapa apatah lagi aktiviti serta kumpulan LGBT turut mendapat sokongan golongan profesional seperti Majlis Peguam termasuk bekas Presidennya, Datuk S. Ambiga.

“Ibu bapa berasa cemas apabila melihat kenyataan golongan menyokong program seksualiti merdeka (berkaitan LGBT). Kumpulan ini cuba memberi persepsi palsu mengenai kebaikan program itu.

“Hakikatnya, LGBT dan seks bebas bukan hak asasi manusia tetapi ia merupakan satu perbuatan paling jijik. Islam mengharamkan perbuatan itu. Ia bertentangan dengan akidah Islam.

“Agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu juga menolak perbuatan itu. Bukan itu sahaja, ada di antara perbuatan LGBT diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah antaranya liwat,” ujarnya.

Ekoran perkembangan itu, Azwanddin berkata, JMM mengorak langkah mengadakan kerjasama lebih erat dengan seberapa banyak PIBG di Lembah Klang dan Selangor bagi menyedarkan ibu bapa mengenai bahaya LGBT.

“Kita perlu menyedarkan ibu bapa bahawa LGBT membawa kemudaratan kepada masyarakat serta keluarga, lebih-lebih lagi Islam mengharamkan perbuatan jijik itu,” katanya.

Melalui kerjasama tersebut, katanya, JMM dan PIBG melakukan aktiviti di sekolah agar pelajar diberi pendedahan mengenai gejala LGBT yang kini dilihat semakin menular.

“Kita akan mengedarkan risalah serta mengadakan beberapa aktiviti bagi menerangkan kesan LGBT kepada agama, negara dan sosial jika perbuatan jijik itu dibiarkan begitu sahaja,” katanya.