IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN DI SEKOLAH DALAM HOSPITAL (SDH)


IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN DI SEKOLAH DALAM HOSPITAL (SDH)

20 September 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia mempelawa permohonan bagi mengisi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 dan Pembantu Pengurusan Murid Gred N17 di Sekolah Dalam Hospital (SDH) berikut:

  1. SDH Pusat Perubatan Universiti Malaya
  2. SDH Hospital Selayang
  3. SDH Hospital Tuanku Jaafar, Seremban

Sila klik di sini untuk maklumat lanjut

Dua Parah Van Bawa Murid Sekolah Terbalik Dirempuh Kereta – Bernama


Dua Parah Van Bawa Murid Sekolah Terbalik Dirempuh Kereta

PETALING JAYA: Dua murid berumur 10 dan 11 tahun cedera parah masing-masing di kepala dan kaki, apabila van persendirian yang membawa mereka ke sekolah terbalik selepas dirempuh kereta di Bandar Utama di sini, Selasa.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, van yang membawa 10 murid berumur antara tujuh dan 12 tahun itu dalam perjalanan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Effingham, Bandar Utama.

Susulan kemalangan, sembilan murid termasuk dua yang parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala seorang lagi dirawat di Hospital Sungai Buluh.

Saksi kejadian berkata van yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an itu dirempuh dari belakang ketika melepasi persimpangan lampu isyarat menuruni jalan berbukit.

Ketika ditemui pemberita di PPUM, Penyelaras MIC Parlimen Subang A.Prakash Rao berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak sekolah sebelum bergegas ke PPUM.

“Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku, namun dua murid cedera parah dan yang lain cedera ringan…dua yang parah menjalani pembedahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed yang mengesahkan kejadian itu, memberitahu Bernama pemandu kereta terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara.

Menceritakan detik cemas itu, B. Lavanya, 11, yang cedera di lutut, berkata dia berada di bahagian tengah tempat duduk penumpang apabila van milik jirannya itu dirempuh di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Seorang guru lelaki yang enggan dikenali menamakan sembilan murid yang dibawa ke PPUM itu sebagai P.Kavilashini, D.Sineka, R.Suriaraja, K.Susan, A. Danushwaran, K.Melvin, A.Varsha, S.Sathia dan Lavanya.

Nama murid yang dibawa ke Hospital Sungai Buluh bagaimanapun belum dapat dikenal pasti.-BERNAMA

Bapa buntu fikir kos rawatan kanser dua anak – Sinar Harian


Bapa buntu fikir kos rawatan kanser dua anak

KU NOOR FAIZAH KU MUSTAFA
6 September 2012
kanser
Rosni bersama isteri menunjukkan surat kesihatan dua anaknya Muhammad Alif Irfan (kiri) dan Nur Ain Sakinah.

KUBUR PANJANG – Sepasang suami isteri di Kampung Lahar Tunjung Mukim Rambai di sini merayu supaya orang ramai dapat memberi bantuan kewangan untuk menampung kos rawatan dua anak mereka.

Nur Ain Sakinah Rosni, 9, dan Muhammad Alif Irfan Rosni, 8, menghidap kanser darah atau dikenali sebagai Relapsed Acute Lymphoblastic Leukaemia.

Oleh itu, mereka memerlukan kos rawatan dan pengangkutan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Universiti Malaya.

Sinar Harian difahamkan Muhammad Alif yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu menghidap penyakit itu sejak Mei 2011 manakala Nur Ain Sakinah menghidap penyakit terbabit pada Mac lalu.

Sejak itu dua beradik tersebut tidak dapat menghadiri persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang  kerana terpaksa memakai alat kemoterapi.

Rosni Shaari, 51, bersama isterinya, Faridah Abdul Rahman, 47, merayu bantuan kewangan daripada orang ramai supaya dapat membantu menampung kos rawatan dan pengangkutan anak mereka ke tempat rawatan.

Rosni berkata, dia tidak berkemampuan menanggung semua kos rawatan dan pengangkutan rawatan anak yang begitu tinggi memandangkan pendapatannya sebagai buruh kasar RM500 hingga RM700 sahaja tidak mencukupi.

“Anak bongsu saya masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala anak ke empat saya pula mendapatkan rawatan kemoterapi yang lebih intensif di Hospital Pulau Pinang setiap minggu.

“Semua kos termasuk kos rawatan untuk anak bongsu saya terpaksa ditanggung sendiri manakala kos Nur Ain Sakinah adalah percuma kerana menggunakan surat persekolahan, tetapi kos pengangkutan sebanyak RM400 sebulan terpaksa saya sediakan.

“Saya bingung memikirkan kos rawatan anak di Kuala Lumpur yang tertunggak kira-kira RM2,500 memandangkan sejak tahun ini saya tidak dapat melakukan kerja kerana sering membawa anak-anak mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Rosni berkata, anak bongsunya memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang sebanyak RM150 tetapi bantuan itu tidak mencukupi.

Dia turut juga memohon bantuan untuk seorang lagi anaknya itu namun sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas.

“Saya juga memohon bantuan kepada pejabat zakat dan wakil rakyat melalui pemimpin kampung ini tetapi tidak berjaya menyebabkan saya buntu memikirkan kepada pihak mana lagi masalah ini perlu dirujuk.

“Masalah kewangan yang dihadapi ini menyebabkan saya terpaksa berhutang dengan  rakan dan saudara mara,” katanya.

Sementara itu, Faridah berkata dia bimbang melihat keadaan dua anaknya itu ketika diserang penyakit terbabit badan mereka akan menjadi lemah sehingga tidak boleh berjalan, gusi berdarah dan badan  lebam.

Kepada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbangnya melalui akaun Agro Bank menerusi nombor 200902314006 atas nama Faridah Abdul Rahman.

Mahadzir bukan hanya tokoh politik malah penulis sejarah politik – Bernama


Mahadzir bukan hanya tokoh politik malah penulis sejarah politik

5 September 2012

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Mahadzir Mohd Khir, 67, yang meninggal dunia kerana angin ahmar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini, bukan hanya seorang tokoh politik tanah air, tetapi juga seorang penulis sejarah politik negara.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu yang pernah bertugas sebagai pensyarah dalam bidang Politik Malaysia dan Sejarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM) lebih dua dekad, telah menghasilkan banyak artikel dan buku mengenai politik tanah air.

Antara hasil penulisannya ialah Dinamika Politik Kepartian Melayu: Satu Persoalan Nilai (1997), Proses Transformasi Politik Malaysia: dari Raja ke Rakyat (1997), Sejarah Politik Melayu (1996), Pemuda Umno 1993-1996 Reaksioner, Proaktif atau Pengikut (1991).

Mahadzir yang dilahirkan di Kedah pada 16 Mei 1945, memulakan karier sebagai seorang guru telah melanjutkan pelajarannya ke UM, sebelum ke University of West Michigan dan University of Chicago, Amerika Syarikat.

Semasa di UM, Allahyarham pernah dipilih sebagai Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (KKAUM).

Mahadzir yang bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya umum 1999 untuk kerusi Parlimen Sungai Petani, telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan.

Pada Mac 2004, Allahyarham telah dilantik sebagai timbalan menteri di kementerian itu, dan dua tahun kemudian pada 14 Februari 2006, Mahadzir antara tiga timbalan menteri yang digugurkan oleh Perdana Menteri pada masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam rombakan Kabinet pertamanya selepas memegang tampuk pemerintahan dan menerajui Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2003.

Sebagai seorang yang suka membaca dan meminati buku, Mahadzir semasa memegang jawatan sebagai setiausaha Parlimen dan timbalan menteri, giat menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar dengan memperluaskan Pusat Bacaan Rakyat (PUBARA) ke seluruh Kedah, serta memberi perhatian yang lebih kepada perpustakaan sekolah rendah untuk memantapkan lagi kemudahan sedia ada. – Bernama

Wan Arif teruja ke sekolah – Sinar Harian


Wan Arif teruja ke sekolah

NORMAWATI ADNAN
21 April 2012
Wan Arif teruja ke sekolah

BATU GAJAH – Setelah hampir empat bulan ‘terpinggir’ daripada suasana sekolah, semalam, menjadi hari istimewa bagi Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy, 8, penghidap kanser tulang apabila dapat mengikuti sesi pembelajarannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Indera Wangsa Ahmad.

Ketika ditemui, Wan Arif, murid Tahun Dua Kreatif ini kelihatan ceria apabila dikelilingi 34 rakan sekelas yang lain.

Dia yang begitu teruja apabila ingin dibawa ke sekolah, sudah bersiap seawal jam 10 pagi meskipun sesi pembelajaran petang hanya bermula pada 12 tengah hari.

“Saya memang tak sabar untuk ke sekolah, rasa seronok sangat dapat jumpa kawan-kawan,” katanya.

Guru Besar, Dahlia Hassan berkata, kehadiran Wan Arif yang dikenali sebagai kanak-kanak ceria di sekolah itu adalah sesuatu yang ditunggu murid dan guru sekolah berkenaan.

“Walaupun dia bercuti, tetapi saya dimaklumkan dia tidak pernah lupa untuk mengulang kaji pelajaran di rumah dan selalu belajar sambil dibantu ibu bapanya, ini sesuatu yang perlu dicontohi semua murid.

“Di sebalik keperitannya menanggung kesakitan, dia masih menunjukkan minat untuk belajar dan mahu datang ke sekolah, sebagai guru, saya kagum melihat semangat yang ditunjukkan itu,” katanya.

Difahamkan, Wan Arif hanya sempat hadir ke sekolah berkenaan Januari lalu untuk sesi pendaftaran tahun dua.

Sesi pembelajaran kelas Dua Kreatif, semalam juga agak istimewa kerana ia dibuat di pekarangan Dewan al-Ghazali berbanding kelas asal di tingkat tiga bangunan sekolah.

Dahlia berkata, langkah itu dibuat bagi memberi ruang lebih besar kepada warga sekolah berkenaan bertemu dengan Wan Arif.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam proses melancarkan tabung bagi membantu membiayai kos rawatan Wan Arif.

Wan Arif dijadualkan akan mengikuti rawatan kemoterapi kali keempat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Isnin ini.