Bapa harap kehilangan 3 beradik beri pengajaran kepada semua – Utusan


Bapa harap kehilangan 3 beradik beri pengajaran kepada semua

 

TIGA beradik dari kiri, Sharafuddin Syazwan Rizauddin, Syahir Syafi dan Syauratul Syafiyah duduk dalam kenderaan polis bersama ibu mereka, Safarila Azwa Ishak untuk dibawa pulang ke Ipoh selepas dipertemukan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selayang, Selangor, semalam.

IPOH 15 Ogos – Bapa tiga kanak-kanak yang didakwa hilang di rumah mereka di Taman Meru 2B di sini petang kelmarin sebelum ditemui di Gombak, Selangor malam tadi, berharap kejadian menimpa tiga anaknya itu dapat memberi pengajaran kepada semua pihak.

Rizauddin Md. Zain, 38, menjelaskan kehilangan Sharafuddin Syazwan, 11, Syahir Syafi, 8, dan Syauratul Syafiyah, 6, bukan berpunca daripada kecuaian mana-mana pihak termasuk bekas isterinya, Safarila Azwa Ishak, 36.

Sebaliknya, kata Rizauddin, perkara itu berlaku disebabkan salah faham melibatkan beberapa ahli keluarga mereka.

Walau bagaimanapun, katanya, dia tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak terhadap apa yang terjadi namun meminta polis menjalankan siasatan terperinci bagaimana anak-anaknya boleh berada di Gombak.

“Sejujurnya, saya sehingga kini masih buntu dan tidak tahu bagaimana mereka dibawa dan siapa yang telah membawa mereka ke sana. Saya serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasat.

“Apa yang paling penting sekarang anak-anak saya selamat. Syukur alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada pihak polis, media dan orang awam yang tidak putus-putus berdoa agar mereka ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rizauddin berkata, ketika ini ketiga-tiga anaknya itu sudah pun dibawa pulang ke rumah bekas isterinya di sini dan berada dalam keadaan baik.

Katanya, mereka juga disahkan sihat selepas menjalani pemeriksaan perubatan di Gombak sebelum dihantar ke Ipoh dan kini perlu berehat.

Sementara itu, usaha menemubual tiga kanak-kanak berkenaan di rumah mereka di Taman Meru 2B hari ini, gagal apabila ibunya memaklumkan mereka masih tidur akibat kepenatan.

Menurut Safarila Azwa, dia tiba ke rumah bersama anak-anaknya kira-kira pukul 8 pagi ini selepas menemui mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada pukul 12 tengah malam tadi.

“Saya bersyukur kerana ketiga-tiga anak saya ditemui dalam keadaan selamat. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu mencari anak-anak saya sejak berita kehilangan mereka disebarkan kelmarin (Selasa).

“Ketiga-tiga mereka ditemui oleh orang awam sebelum dihantar ke IPD Gombak kira-kira pukul 11 malam tadi,” katanya.

Difahamkan polis telah mengambil keterangan daripada tiga adik-beradik berkenaan, ibu dan bapa mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130816/dn_27/Bapa-harap-kehilangan-3-beradik-beri-pengajaran-kepada-semua#ixzz2c5Xqg4DQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kakitangan perubatan lakukan seks oral dengan pesakit – Sinar Harian


Kakitangan perubatan lakukan seks oral dengan pesakit

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mac 2012

PAKA – Seorang kakitangan perubatan di salah sebuah klinik dekat sini, dipercayai melakukan seks oral terhadap pesakitnya.

Kejadian berkenaan dikatakan berlaku beberapa hari lalu di dalam bilik rawatan di klinik terbabit, ketika pesakitnya yang merupakan seorang pelajar lelaki di salah sebuah sekolah menengah berdekatan, datang untuk mendapatkan rawatan setelah mengadu sakit pada bahagian dada.

Sebaik tiba gilirannya, mangsa dipanggil ke dalam bilik rawatan dan kakitangan perubatan itu melakukan pemeriksaan pada bahagian dada, sebelum mengeluarkan resit agar mangsa mendapatkan ubat.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan empat itu diarahkan masuk semula ke dalam bilik rawatan, sebelum diarah menyelak baju untuk melakukan pemeriksaan semula.

Mangsa turut diarahkan menanggalkan seluar, sebelum kakitangan perubatan berusia 20-an itu memegang kemaluan pelajar lelaki itu, dan melakukan seks oral selama beberapa minit.

Selepas itu, pesakit berkenaan yang berasal dari sebuah taman dekat sini diarahkan memakai semula seluarnya dan meninggalkan bilik rawatan itu.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Paka mengenai kejadian itu. Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan menerima laporan dan suspek telah ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

ILI: 67 pelajar dikuarantin – Utusan


ILI: 67 pelajar dikuarantin

 

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
pengarang@utusan.com.my

 

SEBAHAGIAN daripada 67 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah dikuarantin di bangunan berasingan sekolah berasrama penuh tersebut kerana dijangkiti penyakit serupa influenza (ILI) di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

 

MELAKA 23 Feb. – Sebanyak 67 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Ayer Keroh di sini dikuarantin di bangunan berasingan di sekolah berasrama penuh itu kerana dijangkiti penyakit serupa influenza (ILI).

Mereka terdiri daripada 29 pelajar perempuan dan 38 lelaki dikuarantin setelah dikesan dijangkiti penyakit itu malam Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo berkata, keadaan di sekolah terbabit terkawal dan setakat ini semua pelajar yang dijangkiti menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.

“Malah, pada awalnya sebanyak 77 pelajar dijangkiti, namun semalam 10 daripada mereka iaitu lapan perempuan dan dua lelaki dibenarkan pulang ke asrama.

“Manakala 67 lagi pelajar yang masih mengalami ILI diasingkan di sebuah bangunan dengan rawatan dan pemantauan kesihatan dijalankan oleh para doktor dan kakitangan Jabatan Kesihatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat sekolah tersebut di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik membawa keluar anak masing-masing dari sekolah tersebut kerana pengurusan kesihatan ILI adalah lebih baik dijalankan di situ.

“Di sini, terdapat doktor dan kakitangan perubatan yang bertugas secara berjadual bagi memberi rawatan dan ubat di samping kebersihan sekolah yang terjamin,” katanya.

Tian Loo menambah, punca bagaimana jangkitan tersebut boleh merebak juga masih belum diketahui dan sedang disiasat.

“Kita sedang menunggu laporan daripada hospital. Saya sudah tubuhkan satu unit khas untuk pantau perkembangan penyakit setiap hari,” katanya.

Mahu tingkat stamina anak – Metro


Mahu tingkat stamina anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KULAIJAYA: Enam pendaki termasuk remaja dan kanak-kanak terkandas selama enam jam di dalam Hutan Rekreasi Gunung Pulai di sini, dalam kejadian pada jam 5.30 petang kelmarin, selepas gagal mencari jalan keluar.

Semua mangsa mempunyai talian keluarga itu ditemui pada jam 9.30 malam oleh pasukan penyelamat dan dibawa keluar ke kaki gunung dua jam kemudian. Terdahulu, mangsa bersama keluarga dari Taman Adda Heights, di sini, ke lokasi untuk beriadah dan latihan stamina sebagai persediaan menghadapi pertandingan berenang.
Bagaimanapun, mereka memilih menggunakan denai di dalam hutan berkenaan dan bukan trek berturap seperti digunakan pendaki lain menyebabkan mereka tersesat.

 

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata, ketika kejadian, mangsa, Gan Kock Kiong, 42, bersama tiga anaknya, Gan Jie En, 16, Gan Jie Ying, 12, Gan Hong Jun, 10 serta dua anak saudaranya, Gan Kai Boon, 15 dan Gan kai Qi, 9, menggunakan laluan hutan kerana dianggap lebih mencabar.
“Kami menerima panggilan daripada mangsa berhubung kejadian itu kira-kira jam 6 petang dan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Beliau berkata, maklumat diberikan mangsa selepas berjaya menghubungi talian kecemasan 999 dan ia memudahkan anggota penyelamat mengesan kedudukan mereka iaitu hanya kira-kita 700 meter dari trek utama.

 

 

Laluan trek berbukit dan agak curam dipercayai menyebabkan mangsa keliru serta gagal mencari jalan keluar walaupun beberapa kali melalui kawasan sama. “Selain itu keadaan gelap di dalam hutan menyebabkan pergerakan mangsa terhad kerana jarak penglihatan amat rendah tanpa menggunakan lampu suluh dan terpaksa menunggu bantuan pasukan penyelamat untuk dibawa keluar.
“Pemeriksaan mendapati semua mangsa selamat dan hanya mengalami kesan calar kecil dan tidak serius serta dibenarkan pulang selepas diperiksa pasukan perubatan di lokasi,” katanya.

 

Kedudukan mangsa berjaya di kesan pasukan penyelamat menggunakan sistem penentu arah (GPS) yang digunakan dalam operasi berkenaan. Gerakan menyelamat dijalankan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Berikutan itu, Zulkefly berkata, orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika menggunakan kawasan denai bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.