Pesara terima pencen, bayaran khas 16 Disember – Bernama


Pesara terima pencen, bayaran khas 16 Disember

2011/12/09

KUALA LUMPUR: Pembayaran pencen dan Bayaran Khas Pesara kali kedua akan dibuat pada 16 Disember ini sempena sambutan Krismas.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhdimatan Awam, hari ini, penerima yang dibayar melalui bank boleh menuntut pembayaran pencen dan bayaran khas berkenaan di bank-bank yang terbabit pada tarikh berkenaan.

Bayaran khas sebanyak RM500 itu pula akan dikredit terus ke akaun bank
penerima pencen termasuk penerima di bawah Skim B.

“Dengan itu, penerima pencen di bawah Skim B tidak perlu mengisi borang
tuntutan pencen di kaunter bank bagi mengeluarkan RM500 itu,” kata kenyataan itu.

Bayaran Khas Pesara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika beliau membentangkan Belanjawan 2012, Oktober lalu.
Penerima pencen yang menerima waran pencen bertarikh 17 hingga 31 Disember boleh
menunaikan waran mereka mulai 16 Disember.

Maklumat lanjut boleh didapati daripada Pusat Panggilan Setempat di talian
03-88854906/4475/4476/4478/4479. – BERNAMA