Aksi si cilik di gelanggang bola – Kosmo


Aksi si cilik di gelanggang bola

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

 

SEBELUM memulakan aksi, kumpulan kanak-kanak ini sempat merakam gambar bersama barisan jurulatih dan pihak penganjur, Samsung diwakili Elaine (tengah depan).

 

PENUH bersemangat. Itu yang dapat dilihat pada aksi sekumpulan kanak-kanak yang berpeluang mengikuti Kem Bola Sepak Remaja Samsung-Chelsea baru-baru ini.

Seramai 180 kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 13 tahun terpilih menyertai program tersebut yang berlangsung di Pusat Sukan NPNG di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Ini termasuklah anak-anak kurang bernasib baik dari Rumah Sayangan, ahli Little League Malaysia dan Kelab Bola Sepak Remaja Kuala Lumpur.

Ketua Penjenamaan dan Komunikasi Korporat Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd., Elaine Soh berkata, aktiviti tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan mereka dalam usaha memupuk semangat kanak-kanak serta belia melalui sukan dan gaya hidup sihat.

“Sebagai pemimpin global dalam media digital dan teknologi penumpuan digital, program ini adalah sebahagian daripada kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Samsung yang telah dilaksanakan buat kali ketiga.

“Apabila melihat keceriaan yang terpamer pada wajah kanak-kanak yang menyertai program ini, kami rasa puas dan berharap ia mampu memberi pengalaman berguna kepada mereka,” ujar Elaine ketika ditemui Kosmo! di Pusat Sukan NPNG.

KEMAHIRAN taktikal bermain bola sepak turut dipelajari para peserta dalam program kali ini.

 

Kesemua kanak-kanak tersebut menerima tunjuk ajar daripada empat jurulatih remaja kelab bola sepak terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea atau The Blues.

Walaupun tidak pernah mengikuti latihan formal dalam sukan bola sepak, tetapi masing-masing berjaya menampilkan aksi menarik dan tersendiri ketika berada di gelanggang.

Perkara itu diakui oleh ketua jurulatih, Steven Allan Winnet, 31, yang datang ke Malaysia buat kali ketiga bagi mengikuti program anjuran Samsung itu.

“Semua peserta cilik kem bola sepak ini sentiasa bersemangat menjalani latihan sama ada dalam aspek teknikal mahupun taktikal. Saya sendiri teruja melihat kesungguhan mereka.

“Mereka ada bakat, cuma ia perlu diasah secara berterusan jika mahu menjadi pemain bola sepak yang berjaya apabila dewasa kelak,” luah Allan Winnet yang berpengalaman sebagai jurulatih selama 12 tahun.

Selain Allan Winnet, tiga lagi jurulatih yang terlibat dalam kem bola sepak itu ialah Jack Colin West, Steven Leonard Shipp dan David Michael Stewart. Walaupun daripada latar belakang berbeza, kesemua jurulatih tersebut tidak lokek berkongsi keghairahan tentang sukan yang diminati di seluruh dunia itu.

Pengalaman bermakna

GOL belon gergasi turut dibina di tepi padang untuk memberi peluang kepada para peserta membuat sepakan.

 

Seorang peserta, Looi Kok Chin, 11, memberitahu, dia seronok kerana dapat menimba ilmu daripada jurulatih profesional yang telah melatih pasukan remaja Chelsea.

“Saya rasa sangat bangga kerana bukan semua orang berpeluang melakukan perkara ini. Justeru, saya tidak akan melupakan pengalaman hingga saya dewasa kelak.

“Kalau boleh, saya mahu menjadi pemain bola sepak terkenal seperti Didier Drogba,” tutur Kok Chin yang merupakan pelajar tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Naam Kheung, Cheras.

Bagi rakannya, Jordan Johnson, 10, pula mengakui banyak taktik dan teknik bermain bola sepak yang diketahui apabila mengikuti kem tersebut.

“Sebelum ini, saya hanya bermain mengikut diri sendiri. Kalau rasa nak sepak, saya akan sepak tanpa memikirkan apa-apa. Namun, selepas menerima tunjuk ajar daripada barisan jurulatih yang berkaliber, saya rasa semakin seronok untuk bermain bola sepak,” jelas Jordan sambil tersenyum lebar.

Sempena kem itu juga, Samsung turut menjemput chef selebriti, Anis Nabilah untuk melakukan demonstrasi memasak makanan sihat.

Program CSR Samsung untuk belia itu telah dimulakan sejak tahun 2007. Sejak itu, lebih 1,650 kanak-kanak dari seluruh dunia telah merasai pengalaman bermain bola sepak bersama kelab Chelsea.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm#ixzz2Kx68LsKV
Hakcipta terpelihara

Tuntut RM59.8 juta elaun prasekolah – Kosmo


Tuntut RM59.8 juta elaun prasekolah

 

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

 

SAID ANUAR (barisan depan, tiga dari kanan) bersama ahli BTR Selangor dan orang-ramai mengadakan demonstrasi aman menuntut elaun RM50 sebulan kepada murid prasekolah di Petaling Jaya semalam.

 

PETALING JAYA – Selangor didakwa gagal memenuhi janji semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) untuk menyediakan elaun sebanyak RM50 sebulan kepada 115,000 kanak-kanak yang memasuki prasekolah melibatkan tuntutan RM59.8 juta sejak tahun 2008.

Pengerusi Badan Bertindak Rakyat (BTR) Selangor, Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata, jumlah itu termasuk seramai 23,945 kanak-kanak yang memasuki prasekolah sepanjang tahun lepas.

“Kita akan buat tuntutan secara berperingkat bagi memudahkan kes ini dibicarakan di mahkamah pada kadar segera,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyertai demonstrasi aman melibatkan lebih 40 penduduk pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini yang menuntut elaun murid prasekolah seperti yang dijanjikan kerajaan negeri pada 2008.

Menurut Said Anuar, satu memorandum akan dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada minggu depan meminta penjelasan kenapa kerajaan negeri gagal menepati janji.

Sebelum itu, kerajaan negeri berjanji akan memberikan elaun sebanyak RM50 sebulan kepada setiap kanak-kanak prasekolah di Selangor sekiranya berjaya mentadbir negeri tersebut pada tahun 2008.

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Kamil Ahmad Nazri, 33, berkata, tuntutan yang diminta rakyat adalah wajar kerana selama ini mereka diperdaya demi meraih undi.

“Kami menuntut hak kami seperti apa yang telah dijanjikan sebelum ini dan tidak salah kami meminta dengan cara baik,” katanya.

Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Datuk Abdul Halim Samad.

Selain itu, BTR Selangor juga pernah menuntut elaun ibu tunggal RM100 sebulan, caj air percuma bagi penggunaan RM20 ke bawah bagi perumahan bertingkat, menuntut kerajaan negeri Selangor ambil alih hutang rumah PKNS dan pengecualian cukai terhadap mana-mana premis yang tidak didiami atau disewa.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2J86uzkYP
Hakcipta terpelihara

Belajar bahasa Inggeris guna telefon – Kosmo


Belajar bahasa Inggeris guna telefon

 

Oleh ALIF ABU BAKAR

 


 

SEGALA-GALANYA bermula di meja makan rumahnya yang terletak di SS3, Petaling Jaya, Selangor. Ketika itu, Rani Wemel, 50, sedang melayari internet bagi mengisi masa lapang selepas anak-anaknya ke tempat belajar.

Daripada situ, dia dapat mengesan betapa besarnya pengaruh telefon bimbit dalam kehidupan manusia walaupun pada waktu itu telefon bimbit sangat ringkas dan bersifat asas iaitu hanya boleh membuat panggilan serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Kemudian, atas inisiatif membantu orang ramai dalam perbualan bahasa Inggeris, Rani dan suaminya, Wemel C.V., 60, yang merupakan seorang usahawan mengadakan pembelajaran mobil yang dikenali sebagai SMS-Me-English pada tahun 2004.

“Kaedah yang digunakan ketika itu sangat asas iaitu dengan menggunakan platform SMS, pengguna menerima satu SMS yang mengandungi perkataan Inggeris setiap hari,” kata Rani yang bertugas sebagai Pengarah Eksekutif LTT Global Communications.

Kongsi suaminya yang bertindak sebagai Sekretariat Ahli Bersekutu Persatuan Untuk Pembelajaran Dalam Talian Dunia (WAOE), secara teori seseorang itu mampu berbual dalam bahasa Inggeris dengan hanya memahami dan tahu menggunakan 200 patah perkataan.

PORTAL web Dunia English memberi sokongan kepada para pelajar supaya dapat mempraktikkan bahasa Inggeris mengikut kesesuaian.

 

Seiring dengan perkembangan teknologi mobil, teknik pembelajaran dalam talian, SMS-Me-English turut membangun dengan memperkenalkan program Mobile English.

Kini, evolusi pembelajaran bahasa Inggeris tersebut dikenali sebagai DuniaEnglish pula dengan memberi penekanan pembelajaran melalui tiga kaedah berbeza.

Kaedah pertama adalah setiap pelajar akan mendapat satu SMS dalam sehari, sama seperti kaedah awal. Sekurang-kurangnya, para pelajar mampu mempelajari 250 perbendaharaan kata baharu dalam tempoh setahun.

Setiap perkataan baharu akan disertakan dengan maksud dan cara untuk mengaplikasikan satu set aksara dalam perbualan seharian.

Terdapat tiga tahap pengiriman perkataan berdasarkan kesukaran iaitu asas, pertengahan dan maju. Tahap maju, tiada perkataan bahasa Melayu digunakan bagi menerangkan kata yang dikirim.

“Kami menasihatkan setiap pelajar supaya menulis kembali perkataan yang dikirim supaya pembelajaran bawah sedar boleh berlaku melalui pergerakan tangan dan pandangan mata,” kata Rani ketika ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya.

DUNIA ENGLISH membantu orang ramai belajar bahasa Inggeris menggunakan laman web dan telefon bimbit.

 

SMS atau portal

Kaedah pembelajaran kedua Dunia English pula adalah melalui laman web yang beroperasi selama 24 jam sehari.

Dengan portal http://www.duniaenglish.com, para pelajar dapat mempraktikkan perkataan Inggeris yang dipelajari mengikut minat masing-masing.

Dengan menggunakan medium yang diminati seperti radio, surat khabar, sukan atau permainan video, pelajar dapat mempraktikkan sebutan, mendengar dan mengeja bahasa Inggeris.

Kata Rani, terdapat lebih kurang 11 cara yang berbeza untuk mempraktikkannya. Amat penting apabila belajar dengan menggunakan kaedah yang diminati sekali gus pembelajaran secara tidak langsung boleh berlaku.

Sebaik-baiknya, setiap pelajar disarankan supaya menggunakan bantuan laman portal itu antara 30 hingga 45 minit sehari bagi memaksimumkan pembelajaran.

Bukan sahaja ditujukan kepada para pelajar pada peringkat sekolah dan universiti, Dunia English turut menyasarkan kelompok para pekerja tanpa mengira tingkat pekerjaan.

Pembelajaran dua hala dan interaktif amat penting dalam menguasai bahasa Inggeris, malah bagi memastikan tiada orang mengalami keciciran, Dunia English mengadakan kelas tutorial secara langsung kepada pelajar setiap minggu.

Kelas yang diadakan sekali seminggu membolehkan setiap pelajar bertanyakan soalan yang tidak boleh dilakukan pada portal web kepada tutor yang bertugas.

Diadakan pada hari Rabu pada pukul 8.30 malam, ia boleh diakses dengan mudah menggunakan komputer yang mempunyai sambungan internet selain aksesori seperti fon kepala dan mikrofon.

WAKTU yang fleksibel mengikut kesesuaian para pelajar merupakan ciri utama Dunia English.

 

Kelas tutorial yang diadakan itu membolehkan pelajar berinteraksi dan bertanyakan soalan secara terus kepada tutor yang diajar sendiri oleh Rani.

“Setiap kelas tutorial akan diberi tajuk perbincangan yang seronok dan terkini bagi memastikan ia menarik perhatian semua pelajar untuk berinteraksi,” kata Rani yang memiliki tiga orang anak.

Sebagai contoh, topik sukan Olimpik London 2012 dipilih kerana ia mampu menarik perhatian ramai walaupun seseorang itu kurang berminat dengan sukan. Statusnya sebagai sukan Olimpik pertama yang dikuasai teknologi mobil menarik perhatian.

“Olimpik London 2012 membuktikan bahawa teknologi mobil boleh pergi lebih jauh berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Sijil pembelajaran

Kepada pelajar yang terlepas kelas tutorial tersebut mereka boleh mengikuti semula kerana semua pembelajaran langsung yang disimpan dalam arkib dan boleh dilayari semula pada bila-bila masa.

Barangkali ada beberapa individu yang bersifat sinikal mengatakan teknologi yang digunakan pada Dunia English agak ketinggalan.

Namun, matlamat untuk memberikan kaedah pembelajaran mampu milik dan berpatutan menjadi pegangan Rani dan Wemel.

“Mungkin kaedah yang sama sudah ada empat tahun dahulu, tetapi ketika itu sangat mahal dan tidak mungkin yuran berpatutan boleh dikenakan,” terang Rani lagi.

Setakat ini, kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya, Maktab Koperasi Malaysia, Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) Melaka dan Pusat Pengurusan Maklumat Bank Negara Malaysia sudah menyertai program tersebut.

Kata Wemel, Dunia English membolehkan para pelajar belajar bahasa Inggeris tanpa perlu meninggalkan tempat bekerja dan amat berpatutan.

Program Dunia English berharga RM20 sebulan dan berlangsung selama setahun. Selalunya, yuran dibayar secara kumulatif untuk setahun iaitu sebanyak RM240.

Secara kasarnya, program tersebut memaksimumkan fleksibiliti para pelajar, mengurangkan rasa malu dan mereka boleh mempelajari sesuatu bergantung kepada tahap kemampuan.

Sebaik tamat pembelajaran melalui program yang berlangsung selama setahun itu, para pelajar diberi pilihan untuk menduduki sebuah peperiksaan khas bagi mendapatkan sijil untuk Kemahiran bahasa Inggeris.

Sijil dianugerahkan oleh Sekolah Pembelajaran Sepanjang Hayat, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang bekerjasama dengan LTT Global Communication.

Projek inovasi guru tumpuan pengunjung – Utusan


Projek inovasi guru tumpuan pengunjung

Oleh AZMY MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 14 Mei – Pameran projek inovatif oleh guru Kementerian Pelajaran pada Festival Hari Guru Kebangsaan 2012 di sini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Pameran itu disertai pemenang yang meraih tempat pertama, kedua dan ketiga dalam empat kategori yang dipertandingkan pada Pertandingan Guru Inovatif Kementerian Pelajaran Malaysia 2012 baru-baru ini.

Sebanyak sembilan hasil inovasi guru dalam empat kategori iaitu kumpulan, individu menengah, individu rendah dan prasekolah dipamerkan.

Antara inovasi yang dipamerkan adalah laman sesawang http://www.geoandyou.com, Zap it With Lights, Miracle Fingers, Wazan Board, Terowong Cahaya, EZ Draw, Imaging Microscope danKacem Citegar.

Ia melibatkan inovasi guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari Sungai Sumun, Perak; SMK Sacred Heart, Sarawak; SMK Agama Kota Kinabalu, Sabah dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik Petaling Jaya, Selangor.

Waris kanak-kanak berusia enam tahun dicari – Utusan


Waris kanak-kanak berusia enam tahun dicari

Noorshaqiatina Aqira Sabarudin

 

ALOR SETAR 15 Mac – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Setar memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu kandung atau waris seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Noorshaqiatina Aqira Sabarudin.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Mat Isa Ahmad berkata, kanak-kanak itu diserahkan kepada penjaganya, Zamaliah Ahmad kira-kira lima tahun lalu tanpa sebarang dokumen.

“Ibu kandung kanak-kanak tersebut, Noor Lelah Mohd. Noor dipercayai berasal dari Petaling Jaya, Selangor menyerahkan Noorshaqiatina Aqira kepada Zamaliah.

“Zamaliah telah berusaha mengesan wanita itu sejak lebih tiga tahun lalu untuk mendapatkan dokumen kelahiran kanak-kanak ini, namun gagal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari in