SK Sultan Yussuf rugi RM57,000 dipecah masuk – Sinar Harian


SK Sultan Yussuf rugi RM57,000 dipecah masuk

SAIFULLAH AHMAD
2 Januari 2013
Sekolah pecah masuk
Keadaan SK Sultan Yussuf yang dipecah masuk mengakibatkan kerugian lebih RM57,000.

IPOH – Suasana hari pertama sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah, dekat sini bertukar muram selepas 12 komputer riba milik sekolah berkenaan dilarikan penjenayah.

Sekolah itu mengalami kerugian lebih RM57,000 dalam kejadian yang hanya disedari selepas seorang gurunya mendapati bilik guru dan pejabat diceroboh pada jam 7.30 pagi, 29 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kejadian dimaklumkan kepada guru besar sekolah berkenaan yang kemudiannya membuat laporan polis.

“Berdasarkan siasatan awal yang dibuat, suspek dipercayai masuk ke kawasan sekolah melalui pagar yang telah dipotong di bahagian belakang sekolah.

“Kemudian suspek naik ke tingkat satu bangunan tanpa kamera litar tertutup (CCTV) menempatkan kedua-dua bilik terbabit, melalui pintu gril tangga yang dipercayai tidak berkunci berikutan tiadak kesan dipecahkan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Shaharon Anuar, suspek dipercayai lebih dari seorang telah memecah masuk bilik guru dan menyelongkar beberapa meja guru berdasarkan keadaan bilik berselerak.

Katanya, bilik guru besar yang terletak dalam pejabat terbabit diumpil dan peti besi serta almari komputer riba di dalamnya turut dipecahkan.

“Suspek mengambil beberapa komputer riba yang berada di dalam almari itu. Peti besi juga dipecahkan bagaimanapun tiada barang berharga di dalam.

“Selepas mengambil barang-barang yang dikehendaki, suspek keluar melalui jalan yang sama seperti mereka masuk,” jelasnya.

Shaharon Anuar berkata, sebanyak 12 komputer riba yang dicuri dengan nilai keseluruhan berjumlah RM57,264.50.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai didatangi mana-mana individu mencurigakan untuk menjual komputer riba dengan harga yang murah diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Suriyantee Abd Hamid di talian 05-3629222 sambungan 9066 atau telefon bimbit 017-4000950.

“Jika ada mana-mana individu yang menjual komputer riba dengan harga rendah, pastikan nombor sirinya terlebih dahulu. Jika terdapat mana-mana jenis dan nombor siri seperti mana yang dinyatakan, hubungi segera pihak polis di balai polis berhampiran atau nombor yang dinyatakan.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Ahmad Damanhuri Ibrahim ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak mengganggu sesi persekolahan yang bermula hari ini.

Katanya, pihak sekolah telah diminta membuat laporan mengenai kejadian berkenaan bagi tindakan selanjutnya.

Ugut rogol, bunuh dua cucu – Sinar Harian


Ugut rogol, bunuh dua cucu

NUR FARHANA ABDUL MANAN
21 Oktober 2012
Ugut rogol, bunuh dua cucu
Suresh (kiri) menunjukkan kepada Hian Wah almari baju miliknya yang diselongkar suspek.

SERI KEMBANGAN – “Jangan cakap tipu, mana simpan barang kemas, kalau tidak saya akan bunuh dan rogol dua cucu awak,” kata salah seorang daripada lima suspek yang memecah masuk sebuah rumah di Taman Bukit Serdang di sini, awal pagi Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kehadiran suspek disedari seorang penghuni yang tidur di bilik tingkat bawah selepas terdengar pintu biliknya dibuka.

Mangsa, P Amrithal, 55, berkata, suspek dipercayai dua warga tempatan dan tiga warga asing itu terus memaksanya memberitahu kedudukan peti besi dan bertindak memukul serta mencekiknya.

Amrithal mendakwa, suspek kemudian mengoyak baju tidur cucu dan anak saudara perempuannya yang masing-masing berusia 11 dan 20 tahun.

Katanya, apabila memberitahu dia tidak tahu di mana peti besi itu, seorang suspek bertindak memijaknya dan menjadikan tubuh badannya seperti tangga untuk menyelongkar almari baju.

“Saya beritahu tidak tahu, tetapi penyamun itu ugut hendak bunuh saya , malah dia juga ugut hendak rogol cucu serta anak saudara. Tidak cukup dengan itu mereka dengan kasar mengugut hendak mencincang jari cucu lelaki saya yang berusia tujuh tahun.

“Dalam keadaan antara ingat dengan tidak, saya akhirnya terpaksa memberitahu nombor peti besi keselamatan yang ditemui mereka,” katanya ketika menceritakan detik hitam itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang mengunjungi rumahnya, semalam.

Seorang lagi penghuni rumah, A Suresh Naidu, 23 berkata, dia yang terjaga dari tidur terkejut melihat kelibat tiga lelaki tidak dikenali bersama beberapa bilah parang di dalam biliknya.

Katanya, kedua-dua suspek menghentak kepalanya dengan hulu parang, mengikat tangan dan kaki menggunakan wayar pengecas telefon serta menutup mulut dan matanya menggunakan baju .

Menurutnya, suspek mengarahkan dia diam dan membawanya ke tingkat atas menuju ke bilik tidur ibunya. Ketika itu ibunya sedang tidur bersama dua cucu dan seorang saudara perempuannya.

“Dua lelaki yang membawa pedang samurai mengangkat dan mencampakkan saya ke atas katil.

“Suspek kemudian terus mencekik, memijak dan memukul emak saya tanpa belas kasihan. Mereka juga mengikat tangan dan kaki emak saya serta mengarahkannya supaya diam,” katanya.

Menurutnya, suspek melarikan diri selepas memperoleh apa dihajati.

Suresh berkata, suspek yang beberapa kali mengugut menembak ibunya itu melarikan sebuah kereta Toyota Vios, dua komputer riba, televisyen LCD, pemain video, barang kemas, dokumen penting dan sejumlah wang tunai .

Katanya, kerugian dialami keluarga itu  dianggarkan hampir RM150,000.

Pecah peti besi PIBG – Metro


Pecah peti besi PIBG
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
Idayu@hmetro.com.my

LICIK…empat penyamun masuk melalui siling sekolah Cina di Puchong, semalam.
SUBANG JAYA: Empat lelaki bersenjatakan parang dan pistol mainan melarikan wang tunai RM30,000 dari sebuah sekolah Cina di Batu 14, Puchong, dekat sini, selepas memecahkan peti besi dalam bilik guru sekolah berkenaan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian antara jam 2 pagi dan 6 pagi itu, kumpulan penjenayah bertopeng terlebih dulu mengikat tangan 12 individu iaitu tiga pengawal keselamatan, seorang tauke kantin bersama enam pekerjanya serta dua penghantar surat khabar menggunakan kabel elektrik dan mengarahkan mereka baring atas rumput sebelum menggeledah bilik guru berkenaan.

Selain melarikan wang tunai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), penjenayah itu turut melarikan Toyota Camry milik tauke kantin serta lori akhbar.

Difahamkan, kumpulan penyamun terbabit dipercayai menceroboh masuk ke dalam bilik guru itu melalui siling tandas dipecahkan sebelum membuka peti besi mengandungi wang tunai.