Sikap ultra kiasu isu makan di bilik persalinan – Berita Harian


Sikap ultra kiasu isu makan di bilik persalinan

2013/07/29 – 07:54:29 AM Ridhuan Tee AbdullahCetakEmel Kawan
PIBG mesti sanggah tuduhan terhadap Pengetua SK Seri Pristina, bukan diamkan diri

Apakah salah makan di bilik persalinan dan apakah isu atau masalah sebenarnya? Saya masih mencari-cari jawapan. Kenapa kita begitu cepat melatah?

Saya selalu menginap di hotel. Adalah perkara biasa di bilik persalinan diletakkan sinki untuk sesiapa saja makan dan minum di situ. Lebih teruk lagi bilik persalinan tidak diasing dengan tandas. Tandas berada bersama bilik persalinan. Adakah salah? Adakah tidak ada bau tandas? Kenapa tidak diprotes semua hotel yang berbuat demikian?

Apabila sekolah melakukannya buat sementara, bagai hendak kiamat Malaysia. Tanpa mendengar penjelasan pihak sekolah, kita terus mangsakan mereka. Adakah ini wajar?

Kenapa diam? Kenapa Kementerian Pelancongan tidak arahkan bilik persalinan diasing jauh dari tandas? Hanya kerana hotel itu mengikut cita rasa Barat. Kita pun setuju. Apabila sekolah melakukannya buat sementara, bagai hendak kiamat Malaysia. Tanpa mendengar penjelasan sekolah, kita terus mangsakan mereka. Adakah tindakan ini wajar?

Setelah dijelaskan pihak sekolah pun, ada yang tidak berpuas hati. Ada yang mendesak guru besar itu digantung tugas, dipindahkan dan sebagainya.

Kecualilah makan dalam tandas seperti berita yang mula-mula saya baca dalam laman web ultra kiasu. “Subhanallah, teruknya sekolah ni!” kata saya dalam hati. Apabila disiasat, rupa-rupanya makan minum dalam di bilik persalinan. Jauh bezanya, antara bilik persalinan dan tandas tetapi itu perangai ultra kiasu.

Mengapa tak pertikai hotel
Hatta, kalau makan minum dalam tandas sekalipun, pada saya itu perkara biasa, walaupun tidak beradab. Pergilah ke hotel atau spa. Selepas bersauna atau mengurut, kadangkala mereka akan bawa air masuk tandas minum. Begitu juga mereka yang merokok dalam tandas. Ini satu lumrah. Kenapa tidak dipertikaikan?

Saya tidak kata tindakan ini betul. Saya benci mereka yang merokok dalam tandas. Turut membahayakan orang lain. Kenapa perkara ini boleh diterima tetapi tidak kepada murid yang makan di bilik persalinan buat sementara?

Mungkin ada yang mempertikaikan, apa beza antara minum dan merokok. Persoalan saya, tidakkah semuanya masuk ke dalam perut? Termasuk juga mereka yang makan minum dalam tandas kerana tidak berpuasa.

Penulis bersimpati dengan pentadbir menimpa Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristina, Sungai Buloh. Niat mereka baik, tetapi disalah tafsirkan. Ultra kiasu sengaja mensensasikan untuk mendapat publisiti murahan. Kita pun cepat melatah, termasuk kementerian, bertindak tanpa usul periksa.

Saya puji tindakan Timbalan Menteri Pendidikan yang menutup soal kerana benda ini kecil. Bak kata pepatah, minda kecil bincang pasal orang, minda sederhana bincang pasal peristiwa, minda besar bincang pasal idea. Jadilah orang berminda besar. Paling kurang pun sederhana. Berilah idea kepada sekolah, di tempat manakah paling sesuai untuk makan minum selain bilik persalinan.
Alasan sekolah kukuh, bilik persalinan sudah digunakan bersama dengan kantin oleh semua murid sejak Mac lalu, bukan hanya ketika bulan puasa kerana kantin boleh memuatkan 500 hingga 600 murid. SK Seri Pristana mempunyai 1,300 pelajar. Ekoran kerja pengubahsuaian di kantin bermula dua minggu lalu, semua pelajar diminta makan di bilik persalinan. Guru bimbang keselamatan murid ketika kerja pengubahsuaian.

Tak usah sensasi isu

Pada saya, tindakan pihak sekolah itu wajar. Saya amat yakin perkara ini sudah dibawa berbincang dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Lagipun kantin sekolah sedang diubah suai. Mana lagi tempat yang lebih sesuai. Setelah dibincangkan. Itulah pilihan terbaik. Takkan nak makan di bilik guru pula. Apabila PIBG bersetuju dengan tindakan itu, maka ia dilaksanakan kerana PIBG mewakili ibu bapa. Itulah peranan PIBG. Justeru, tidak perlu disensasikan.

Adalah mustahil untuk mendapatkan pandangan semua ibu bapa dalam membuat sesuatu keputusan. PIBG adalah plat-form yang terbaik kerana mereka mewakili ibu bapa. Kenapa hanya seorang saja yang nak dimangsakan. Malangnya, ramai ibu bapa yang tidak mahu datang mesyuarat PIBG. Tiba-tiba ibu bapa ini mahu menjadi hero atau heroin.

PIBG sepatutnya tampil ke hadapan membela atau mempertahankan keputusan itu. Bukan hanya diam membisu setelah diasak oleh ultra kiasu. Begitu juga dengan kementerian. Jangan terlalu cepat melatah. Kaji dan siasat dulu.

Penulis ialah Prof Madya/Ketua Program Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Kementerian serah kepada polis siasat kes serang sekolah – Berita Harian


Kementerian serah kepada polis siasat kes serang sekolah
2012/06/17

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menyiasat serta mengambil tindakan lanjut terhadap kejadian sekumpulan 10 pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana, dicederakan sekumpulan 30 remaja.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata beliau mendapat tahu mengenai insiden itu menerusi akhbar dan masih belum menerima maklumat daripada Jabatan Pelajaran Selangor.
Katanya, berikutan insiden berlaku di luar kawasan sekolah, siasatan terhadap kes itu secara automatik berada di bawah tanggungjawab polis.
“Kementerian tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana ia tidak berlaku dalam kawasan sekolah.

“Bagi kementerian, langkah seterusnya hanya boleh memberi penerangan kepada pelajar sekolah mengenai apa yang perlu dilakukan apabila berdepan situasi begini.

“Maksudnya apabila pelajar diserang ‘orang luar’, apakah yang perlu mereka lakukan iaitu sama ada terus berada berada di luar kawasan sekolah ketika diserang atau cepat masuk ke perkarangan sekolah sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya tindakan boleh diambil kementerian terhadap penyerang antaranya dipercayai bekas pelajar sekolah itu, katanya tindakan disiplin membuang mereka sudah menggugurkan mereka dari status sebagai pelajar.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Cheras Perdana, Chin Choong Fuan menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu kes terpencil.

Katanya, insiden itu mungkin dicetuskan segelintir pelajar bermasalah yang kemudian mengheret pembabitan orang luar.

“Kita amat mengambil berat perkara ini kerana ia membabitkan keselamatan pelajar dan guru, namun kita percaya pihak sekolah sudah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan perkara ini tidak berulang pada masa depan.

“Buat masa ini, pihak PIBG masih belum tahu apakah punca sebenar pergaduhan itu. Justeru, kita serahkan pada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah berjumpa dengan pihak sekolah berhubung insiden terbaru itu bagi mencari jalan penyelesaian bersama.

JMM libatkan sekolah dalam kempen anti-LBGT – Bernama


JMM libatkan sekolah dalam kempen anti-LBGT

31 Mac 2012

KUALA LUMPUR – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) akan melibatkan sekolah-sekolah dalam kempen antiseks bebas lesbian, gay, bioseksual dan transeksual (LGBT) anjurannya.

Presiden JMM Azwanddin Hamzah berkata, sebanyak 30 sekolah di semenanjung bersetuju untuk turut serta dalam kempen menentang gejala LGBT yang semakin
menular di seluruh negara.

“Gerak kerja telah dilakukan hampir sebulan untuk melibatkan pihak sekolah dan ada PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) serta guru besar yang telah bersetuju
untuk menyertai program ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program anti LGBT di Sekolah Menengah Kebanghsaan Miharja, Cheras di sini.

Azwanddin berkata, SMK Miharja merupakan sekolah pertama yang berganding bahu dengan JMM dalam kempen anti LGBT dan menerusi program ini diharap dapat memberi kesedaran kepada pelajar sekolah ini mengenai gejala LBGT

Beliau berkata, selain itu ibu bapa juga harus disedarkan mengenai isu ini dan sentiasa mengambil tahu dan memandang berat berat kegiatan anak-anak mereka
dengan rakan sebaya. – Bernama

CCTV cegah ponteng sekolah – Sinar Harian


CCTV cegah ponteng sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Januari 2012

RAWANG – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan belakang sekolah antara langkah yang akan diambil untuk mengatasi masalah ponteng sekolah dan pencerobohan orang luar.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Rawang (Semekar), Mohd Saufi Shafie berkata, perancangan tersebut dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

Menurutnya, usaha tersebut dicadangkan ibu bapa dan pihak sekolah selepas selepas menerima banyak aduan kehilangan, kerosakan harta sekolah dan masalah disiplin pelajar.

“Pemasangan CCTV dibuat sebagai komitmen kita memastikan sekolah sentiasa selamat dan meyakinkan kepada ibu bapa bahawa PIBG sentiasa komited dalam menjaga kebajikan sekolah dan pelajar.

“Kita juga akan menaikkan infrastruktur dan prasarana yang dirasakan perlu untuk pembangunan pelajar dari semasa ke semasa,” katanya sewaktu mempengerusikan mesyuarat PIBG Kali Ke-32 SMK Rawang, kelmarin.

Selain itu katanya, PIBG sedang giat mengumpul dana berjumlah RM200,000 untuk memasang bumbung tempat perhimpunan.

“Setakat ini pihak sekolah hanya dapat mengumpul dana RM40,000 dan memerlukan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk memulakan projek tersebut.

“Pelan struktur bangunan telah dihantar kepada Jabatan Pelajaran Selangor dan masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Pelajaran untuk kelulusan dan dijangka diperoleh Februari ini,” katanya.

Justeru itu katanya, untuk merealisasikan pembinaan bumbung itu, PIBG bersama sekolah merencanakan pelbagai projek untuk mengutip dana.

“Kita merancang untuk mengadakan karnival dan program yang membolehkan kutipan dibuat selain mengedarkan borang sumbangan kepada orang perseorangan.

“Mesyuarat juga sebulat suara untuk meminta setiap ibu bapa menyumbang RM30 dan dijangka dapat mengutip melebihi RM80,000,” katanya.

‘PIBG, sekolah usah memandai’ – Metro


‘PIBG, sekolah usah memandai’

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan mana-mana sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak mengambil walau satu sen pun wang bantuan persekolahan sebanyak RM100 yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012 lalu.

Beliau berkata wang itu menjadi hak pelajar dan ibu bapa bagi meringankan beban mereka menjelang musim baru persekolahan tahun depan.
“Jadi tidak sewajarnya ada pihak lain mengambil wang itu. Mungkin mereka ada sebab tertentu, tetapi itu hak murid dan ibu bapanya.

 

“Kita tidak mahu wujud salah faham atau rasa tidak puas hati ibu bapa, nanti timbul pula kata-kata kerajaan cakap lain tapi buat lain,” katanya selepas majlis minum petang bersama belia di Setiawangsa, semalam.
Dalam majlis berkenaan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ditanya seorang bapa yang meminta penjelasan kerana wang bantuan persekolahan anaknya dipotong RM50 oleh PIBG sedangkan kerajaan menjanjikan pemberian penuh RM100.
Beliau berkata, jika ada mana-mana sekolah yang sudah mengambil sejumlah wang daripada pemberian kerajaan itu, mereka perlu memulangkannya kembali.

 

 

“Tujuan sumbangan itu bagi meringankan beban ibu bapa, jadi jangan ambil walau satu sen pun. Ia pemberian kerajaan untuk menolong rakyat, kenapa perlu dipotong pula,” katanya.
Bayaran bantuan persekolahan RM100 kepada setiap pelajar di negara ini seperti diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012 disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).

 

Bantuan membabitkan jumlah RM580 juta itu diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa dalam membuat persiapan anak-anak mereka masuk sekolah.
Menyentuh mengenai lawatan kerja sehari beliau ke beberapa lokasi di ibu kota, Muhyiddin berkata, ia sangat berfaedah kerana dapat mendengar cadangan serta kritikan rakyat bagi menambah baik pentadbiran negara.
“Dalam pertemuan tertutup saya dengan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu, banyak cadangan dikemukakan bagi membantu orang Melayu dan kita akan kumpul semua maklumat termasuk memberi penjelasan terhadap pertanyaan,” katanya.