Pelajar dakwa dirogol bekas teman lelaki – Utusan


Pelajar dakwa dirogol bekas teman lelaki

 

Oleh MALINDA ABDUL MALIK

PULAU PINANG 21 Jun – Seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol bekas teman lelakinya selepas tidak sedarkan diri sebaik sahaja minum air yang dipercayai mengandungi pil khayal.

Kejadian berlaku pada 10 Mei lalu kira-kira pukul 8 malam semasa mangsa keluar dengan suspek yang berusia lingkungan 20-an untuk makan malam.

Semasa dalam perjalanan, suspek memberhentikan keretanya di sebuah stesen minyak untuk membeli air mineral untuk mangsa.

Selepas meminumnya, mangsa tidak sedarkan diri.

Sebaik sedarkan diri kira-kira tiga jam kemudian, mangsa mendapati dirinya berada di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Raja Uda, Butterworth dalam keadaan berbogel.

Mangsa kemudian dihantar pulang oleh suspek dan diugut supaya tidak memberitahu kejadian kepada sesiapa.

Kelmarin, mangsa membuat laporan di Balai Polis Tasek Gelugor kerana berasa tidak puas hati dengan tindakan suspek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh ketika dihubungi Utusan Online mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Pihak polis kini memburu suspek bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130621/je_12/Pelajar-dakwa-dirogol-bekas-teman-lelaki#ixzz2WrAkb0xG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pesta liar bawah umur – Metro


Pesta liar bawah umur
Oleh HADZLAN HASSAN, SHAMRAN SARAHAN dan NURUL HUSNA MAHMUD
metahad@hmetro.com.my

RISAU… Zulkifli bersama laporan polis yang dibuatnya.

LUCAH… antara perbualan anaknya dalam laman sembang.
KUALA LUMPUR: Sekumpulan remaja, majoritinya masih di bawah umur, dikesan membentuk satu forum sosial lebih 3,500 ahli di facebook dan twitter semata-mata untuk bergabung menyertai beberapa siri pesta liar.

Kumpulan lelaki, perempuan, pondan dan lelaki lembut itu menggunakan laman sosial terbabit untuk berinteraksi bagi menetapkan tarikh dan lokasi pertemuan mereka.

Yang menakutkan, pertemuan dirancang rangkaian sosial itu bukan keraian biasa, sebaliknya pesta liar dinamakan ‘parti lolipop’ yang diadakan di beberapa pusat hiburan.

Difahamkan, ada pusat hiburan menganjurkan parti dengan nama lolipop sama seperti sambutan ‘ladies night’, dan lolipop didakwa merujuk kepada ahlinya yang sebahagian besar remaja bawah umur.
Lebih menyedihkan, parti berbaur maksiat dari satu lokasi ke satu lokasi itu turut menghidangkan arak selain pil khayal yang dikhuatiri boleh membawa kepada hubungan seks haram.