Leher luka sangkut tali – Metro


Leher luka sangkut tali

 505  53 Google +1  0  1

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Seorang murid tahun lima sekolah rendah di sini menanggung derita apabila lehernya cedera terkena tali kain rentang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dipasang parti politik yang masih belum dibuang.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari 7 Mei lalu, Mohd Amir Iqbal Mohamad Zuhaizam, 11, sedang menunggang basikal apabila tiba-tiba lehernya tersangkut pada tali kain rentang yang dipasang pada paras rendah di laluan basikal.

Akibat kejadian itu, leher mangsa luka, namun ia bukan kecederaan serius selepas disahkan doktor yang merawatnya.

Bapa mangsa Mohamad Zuhaizam Kamarudin, 39, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan jiran yang melihat kejadian itu.

FotoKEADAAN leher Mohd Amir Iqbal akibat tersangkut pada tali kain rentang, minggu lalu.

Menurutnya, dia yang dalam perjalanan dari Perak bergegas pulang ke rumah dan membawa anaknya ke klinik berhampiran.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/13

PRU13: Sokongan penjawat awam penting dalam meneruskan dasar kerajaan – Ahmad Said – Bernama


PRU13: Sokongan penjawat awam penting dalam meneruskan dasar kerajaan – Ahmad Said

2013/04/30 – 15:30:36 PMCetakEmel Kawan
KUALA TERENGGANU: Sokongan penjawat awam terhadap Barisan Nasional (BN) penting dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lancar, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata, kerajaan pusat sudah melaksanakan pelbagai transformasi terhadap perkhidmatan awam terutamanya berhubung dengan penyelarasan gaji dan kenaikan gred jawatan yang memberi impak positif terhadap taraf hidup penjawat awam.

“Sebagai penjawat awam kita perlu terus menyokong kerajaan serta bersyukur dengan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk kita. Penjawat awam perlu bersatu dalam mengerakkan dasar kerajaan. Sekiranya penilaian tidak bijak dibuat, kita akan rugi.

“Pembangkang mahu mengurangkan separuh kakitangan awam, tindakan itu akan menyebabkan masalah pengangguran akan bertambah, para graduan juga tidak dapat kerja,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Negeri Terengganu 2013 di Wisma Darul Iman hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sudah menunjukkan keseriusan dalam meningkatkan prestasi negara dengan pelaksanaan berbagai-bagai perubahan dan penambahbaikan terhadap perkhidmatan awam baik di peringkat pusat dan negeri. – BERNAMA

CUEPACS minta JPA beri cuti tanpa rekod untuk mengundi – Bernama


CUEPACS minta JPA beri cuti tanpa rekod untuk mengundi

Datuk Omar Osman

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta supaya menimbang memberi cuti tanpa rekod pada 5 dan 6 Mei ini kepada penjawat awam yang ingin balik ke kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, pemberian cuti itu penting untuk menggalakkan lebih ramai penjawat awam terutama yang bekerja di bandar pulang ke kampung atau kawasan mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

“Walaupun hari mengundi pada 5 Mei adalah Ahad tetapi ada beberapa negeri yang merupakan hari bekerja pada hari tersebut

“6 Mei jatuh pada hari Isnin. CUEPACS minta agar penjawat awam diberi cuti supaya mereka tidak terburu-buru untuk balik ke tempat kerja terutama bagi yang bekerja mengikut syif,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Kongres CUEPACS di sini semalam.

Menurut beliau, jika penjawat awam itu bekerja di Kuala Lumpur dan mengundi di Kelantan, mungkin ia akan menimbulkan kesusahan atau mungkin ada yang terpaksa ambil cuti sendiri.

Omar turut mencadangkan kepada JPA untuk membenarkan penjawat awam mengeluarkan 20 peratus daripada jumlah ganjaran perkhidmatan masing-masing pada usia 50 tahun.

Katanya, pengeluaran itu bagi membolehkan kira-kira 1.4 juta penjawat awam menampung perbelanjaan mereka atau menggunakan wang berkenaan untuk menyelesaikan sebarang pinjaman kewangan sebelum pencen. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_15.htm#ixzz2QW5fNHbu
Hakcipta terpelihara

PRU-13: Sekolah Terlibat Pengundian 5 Mei Di Terengganu Dibenar Ambil Cuti Berganti – Bernama


PRU-13: Sekolah Terlibat Pengundian 5 Mei Di Terengganu Dibenar Ambil Cuti Berganti

KUALA TERENGGANU: Sekolah di Terengganu yang terlibat dengan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) secara langsung seperti menjadi pusat mengundi, dibenar mengambil cuti berganti

Pengarah Pelajaran Terengganu Zakaria Hussin berkata guru yang terlibat menjadi pegawai pilihan raya pada PRU13 juga dibenar berbuat demikian.

“Kita difahamkan banyak sekolah di Terengganu menjadi pusat mengundi PRU13pada 5 Mei ini. Begitu juga ramai guru terlibat menjadi pegawai pilihan raya.

“Semua itu bergantung kepada keperluan, dan guru besar kena tahu keperluan dan keadaan di sekolah masing-masing,” katanya. Beliau berkata guru dan petugas sekolah dibenar keluar mengundi seperti biasa namun bagi yang mengundi di tempat agak jauh, mereka juga dibenar mengambil cuti berganti.

Terengganu, Kelantan dan Kedah adalah antara tiga negeri di Semenanjung yangbekerja pada 5 Mei iaitu Hari Ahad, yang ditetapkan sebagai hari pengundian bagiPRU13.-BERNAMA

Guru perlu rasional – TPM – Utusan


Guru perlu rasional – TPM

Oleh ZULKIFLI JALIL, ABDUL YAZID ALIAS dan FATIN AINAA FAUDZI
pengarang@utusan.com.my

KLANG 8 April – Seluruh 460,000 guru termasuklah 9,183 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara diyakini rasional dan tidak dipengaruhi sentimen peribadi dalam membuat keputusan soal memilih kepemimpinan kerajaan.

Sambil menyifatkan sikap sedemikian penting bagi memastikan segala perancangan pendidikan yang dirangka dapat diteruskan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu perlu dinilai sebaik-baiknya oleh golongan guru demi masa depan anak bangsa pada masa depan.

Malah, tegas beliau, memang menjadi sasaran kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menjadikan Malaysia negara maju yang tentu sekali untuk menjayakannya memerlukan kepimpinan yang berpengalaman dan mahir menguruskan negara.

“Sekiranya semua guru-guru di negara ini menyokong BN, saya fikir sayalah orang yang paling gembira hari ini. Apa yang kita (kerajaan BN) lakukan untuk rakyat hingga ke hari ini seharusnya dikekalkan.

“Kita mahu menjadi negara maju dan untuk itu perlu ada satu pihak (parti) yang mampu memikul amanah dan tanggungjawab, pihak yang boleh kita percaya. Malah, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan akujanji BN baru-baru ini) menyentuh mengenai kebolehpercayaan.

“Justeru, kita yakin kita mampu pikul tugas itu. BN mempunyai pengalaman berpuluh tahun selain memiliki ilmu, kemahiran dan visi,” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap di hadapan 5,000 guru SJKT yang hadir pada Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik SJKT di SJKT Simpang Lima, Taman Sri Andalas, di sini hari ini.

Yang hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel.

Mengulas lanjut perkara itu, Muhyiddin yang merangkap Menteri Pelajaran turut menegaskan bahawa dalam suasana pilihan raya umum nanti, beliau mahu seluruh golongan guru membuat pertimbangan yang bijaksana apabila melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Apabila sampai masa pilihan raya umum nanti, kita sebagai pengundi sama ada guru atau pegawai kerajaan, tanggungjawab kita adalah untuk mengundi.

“Jangan berdiam diri dan berkata ‘tak apalah, tak payah undi…BN mesti menang’. Jika ada sikap begitu, saya khuatir BN boleh kalah.

“Maka, saya mahu sesiapa sahaja yang ada hak mengundi, laksanakan tanggungjawab, tentukan masa depan kita memilih parti dan kerajaan yang berupaya membentuk masa depan yang lebih cemerlang lagi,” tegasnya.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengingatkan bahawa kerajaan BN sentiasa memberi perhatian penuh kepada usaha membela nasib guru selain memastikan bidang perguruan sebagai karier yang dihormati dan mempunyai masa depan cerah.

Antara perhatian yang diberikan kerajaan BN ialah mempermudahkan kenaikan pangkat, mementingkan kebajikan guru termasuklah menyelesaikan bebanan kerja yang ditanggung mereka melalui pelantikan pembantu pentadbiran di setiap sekolah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130409/dn_03/Guru-perlu-rasional—TPM#ixzz2PyGruUq3
© Utusan Melayu (M) Bhd

SJKT terima cek tendang daripada kerajaan negeri Kedah – Kosmo


SJKT terima cek tendang daripada kerajaan negeri Kedah

ALOR SETAR – Usaha kerajaan Kedah yang mahu menambat hati pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) dengan memberi sumbangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini memakan diri apabila cek yang diberi adalah cek tidak sah.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Seri Mentalon di sini Selasa lalu.

Apa yang mengejutkan ialah penerima sumbangan yang diwakili Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah berkenaan menerima cek bertarikh 30 Disember 2012.

Pengerusi PIBG SJKT Ladang Somme, Serdang dekat sini memberitahu, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh seorang rakan dari sekolah lain bahawa cek yang diterima adalah cek tendang.

Katanya, biarpun cek itu belum dimasukkan ke dalam akaun bank, dia percaya cek tersebut tiada wang.

“Saya yang mewakili sekolah menerima cek RM3,000 dan ia akan digunakan untuk kebajikan murid,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, cek itu seolah-olah dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga berlaku kesilapan.

“Berlaku kecuaian dan kerja pengeluaran cek dibuat secara tidak teliti. Ini menunjukkan kelemahan yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Menurut laporan blog kedahan69ers.com, pada 2 April lepas satu majlis penyerahan sumbangan berupa cek kepada PIBG 58 buah sekolah Tamil diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar.

Salah satu cek bernilai RM2,000 yang disampaikan oleh Azizan kepada PIBG SJKT Ladang Harvard didapati telah tamat tempoh.

Perkara itu terbongkar apabila Pengerusi PIBG sekolah berkenaan pergi ke bank untuk menunaikan cek tersebut dan mendapati cek bertarikh 12 Disember 2012 itu hanya sah untuk tempoh tiga bulan.

Dalam pada itu, Pengerusi MIC Kedah, S. Ananthan berkata, kejadian itu menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pas.

Katanya, ia juga mencerminkan kerajaan negeri tidak menepati janji dan tidak bersungguh-sungguh membantu kaum India di negeri ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm#ixzz2Pr4zwzKc
Hakcipta terpelihara

Cuepacs: Penjawat awam perlu hargai kerajaan dengan sokong BN pada PRU13 – Bernama


Cuepacs: Penjawat awam perlu hargai kerajaan dengan sokong BN pada PRU13

26 Februari 2013
Presiden Cuepacs, Omar Osman
$entry.content.caption.value

IPOH – Penjawat awam termasuk pesara kerajaan perlu menghargai kerajaan sedia ada yang telah melakukan pelbagai penambaikan dan transformasi dalam sektor itu dengan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan banyak penambahbaikan dalam sektor itu dengan memberikan 18 manfaat, antaranya kenaikan gaji, pangkat, gaji minimum dan gaji maksimum.

“Sudah bagus sekarang kerana skim pencen pun naik sebanyak dua peratus setahun. Pesara kerajaan perlu taat setia kepada kerajaan sekarang.

“Sebagai pemimpin kesatuan, saya menasihatkan ahli-ahli sebagai anggota perkhidmatan awam, kita patut tahu mana yang baik dan buruk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan Kad Skuad Pengguna kepada anggota Cuepacs di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata golongan itu perlu menghargai setiap pemberian kerajaan kerana sekiranya pembangkang memerintah negara ini segala manfaat belum tentu kekal.

Beliau juga berkata penjawat awam perlu bersiap sedia dan melakukan transformasi minda apabila kerajaan melaksanakan transformasi sektor perkhidmatan awam.

“Sama ada berpendapatan tinggi dan boleh atau tidak buat kerja, kita perlu bersiap sedia. Kalau tidak boleh, baik berhenti sahaja,” katanya.

Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0, beliau berkata pemberian bantuan itu membuktikan BN prihatin terhadap golongan rakyat berpendapatan rendah termasuk penjawat am.

“Tidak ada benda yang tidak boleh dibuat kerana negara sekarang mempunyai banyak wang. Orang tidak ada kerja pun dapat wang,” katanya.

Bantuan RM500 diberikan kepada setaip isirumah dan RM250 seorang kepada golongan bujang yang berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah di bawah program BR1M. – Bernama

CUEPACS gesa umum jadual gaji baru sebelum PRU-13 – Metro


CUEPACS gesa umum jadual gaji baru sebelum PRU-13

 58  0 Google +0  0  1

Kota Bharu: Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mengumumkan jadual gaji baru yang lengkap sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan nanti.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berikutan pihaknya dihujani dengan pertanyaan dan maklum balas berhubung perkara terbabit.
Katanya, mereka sebolehnya mahu jadual gaji itu diumum segera supaya semua kakitangan awam lebih jelas mengenai tangga gaji masing-masing “Kita mahu perkara ini disegerakan kerana sehingga Januari ini, ramai yang menunggu jadual gaji baru, sebab dalam gaji maksimum dan minimum ini, dia tidak boleh nampak lagi gaji dan tangga gaji dia macam mana.

 

“Kita semua dalam mana-mana sektor sekalipun nak ada satu gaji yang mantap supaya orang boleh baca gaji sendiri, tetapi apa yang berlaku hari ini ialah kita tidak boleh tengok lagi.
“Pendirian CUEPACS ialah kita mahu perkara jadual gaji yang lengkap ini kalau boleh mesti diumumkan sebelum PRU-13,” katanya selepas mengadakan Lawatan Pendidikan dan Penyerahan Sumbangan NUTP Kebangsaan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, di sini, semalam.
Sebelum ini Loke menjelaskan bahawa jadual gaji yang lengkap untuk pekerja sektor awam itu perlu diumum secepat mungkin bagi memastikan semua pekerja itu dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap.

 

Dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan menikmati gaji maksimum tahun ini dan tanpa jadual gaji itu, kakitangan terbabit tidak dapat melihat pergerakan gaji masing-masing selepas pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilakukan kerajaan, tahun lalu.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata, mereka berharap gesaan itu diberi perhatian oleh kerajaan sekali gus menyampaikan khabar gembira.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/25

Peruntukan RM15 Juta Baik Pulih Sekolah, Bina Pusat Sukan Di Pensiangan – Bernama


Peruntukan RM15 Juta Baik Pulih Sekolah, Bina Pusat Sukan Di Pensiangan

PENSIANGAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi membaik pulih sekolah-sekolah dan RM5 juta bagi pembinaan sebuah pusat riadah dan sukan di daerah Pensiangan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ketika mengumumkan peruntukan itu, berkata kerajaan amat prihatin dengan kebajikan pelajar di luar bandar termasuk di Pensiangan yang mempunyai generasi muda yang ramai.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) juga ada kelemahan tetapi kita akan cuba memperbaiki kelemahan kita sebaik mungkin.

“Misalnya sekolah. Saya difahamkan di Pensiangan ada banyak sekolah. Sekolah yang (keadaannya) baik dan ada juga sekolah yang mempunyai kerosakan, sebab itu kita bagi peruntukan untuk memperbaiki…yang penting kita jangan abaikan, mesti perbetulkan (kelemahan),” katanya pada Majlis Bersama Rakyat Pensiangan di Nabawan di sini Sabtu.

Beliau berharap rakyat akan terus menyokong BN sebagai kerajaan bagi membolehkan lebih banyak bantuan dapat disalurkan.

Beliau berkata antara bantuan kerajaan yang akan diteruskan jika rakyat terus memberi mandat kepada BN ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kalau tak sokong BN, maka tak ada lagi BR1M. Ini umpama tolak rezeki. Lebih banyak kita (kerajaan) beri bantuan, rezeki pun makin bertambah. Jadi kita dapat beri banyak bantuan lagi.”

Muhyiddin juga meminta rakyat supaya tidak berkira siapa calon BN yang akan diletakkan bertanding pada pilihan raya umum nanti kerana menurutnya semua calon BN merupakan calon yang boleh menang dan mampu melaksanakan tugas untuk rakyat. BERNAMA

‘Baik tumpu tugas’ – Metro


‘Baik tumpu tugas’

 2  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: “Tidak ada sebab kakitangan kerajaan mahu menukar kerajaan sedia ada kepada yang kita tak tahu lagi, ini bukan boleh cuba-cuba, takut yang 18 permohonan CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam) yang sedia (ada) hilang macam itu saja.”

Itu reaksi Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman ketika ditanya jaminan pihaknya bahawa 1.4 juta penjawat awam dan 500,000 pesara akan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan mana-mana kakitangan kerajaan yang ingin aktif dengan kegiatan politik supaya mematuhi Pekeliling yang melarang mereka berbuat demikian dalam waktu bekerja.

 

“Apapun, lebih baik untuk penjawat awam menumpukan perhatian terhadap tugas mereka selain berpolitik. “Kita sudah tandatangan aku janji, jadi lebih baik tumpu agenda penjawat awam, kalau nak berpolitik juga pergi sana-sini mesti minta kebenaran ketua jabatan, jangan berpolitik pada waktu pejabat, bocorkan rahsia kerajaan kerana ini tak baik,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22