Janji pendidikan negara lebih baik – Metro


Janji pendidikan negara lebih baik

 1  0 Google +0  0  0

Putrajaya: Kerajaan terus memajukan bidang pendidikan negara serta memperjuangkan kebajikan golongan pendidik dan guru sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata, perkara itu antara komitmen dan iltizam yang bakal dilaksanakan kerajaan pimpinannya sekiranya BN terus diberikan mandat untuk memerintah Malaysia.
“Kita mempunyai komitmen dan iltizam politik melaksanakan, namun kesudahannya bergantung kepada satu peristiwa yang berlangsung dalam sedikit masa lagi.

 

“Jika peristiwa itu berakhir dengan sesuatu menggembirakan maka saya yakin dan percaya bidang pendidikan negara melalui zaman yang jauh lebih maju daripada masa lalu. Jadi saya fikir mesej utama saya sudah disampaikan,” katanya ketika berucap dihadapan lebih 2,000 tetamu yang menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena sambutan Jubli Emas, Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) di sini, malam tadi.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.
Pada majlis itu, Perdana Menteri juga turut mengumumkan pemberian peruntukan khas RM1 juta kepada SAS.

 

Sebelum itu, Najib berkata, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai pembaharuan dan proses transformasi bagi memajukan bidang pendidikan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025.
“Satu perkara yang saya bincang dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri) dan perlu diberi perhatian apabila PPPM dilaksanakan dan diberikan perhatian segera ialah mengurang beban dan tugas guru,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08

Guru mahu terlibat politik disaran letak jawatan – Bernama


Guru mahu terlibat politik disaran letak jawatan

5 Februari 2013

KUALA TERENGGANU – Guru yang mahu aktif dalam politik  disaran meletak jawatan bagi mengelak fokus mereka terganggu sewaktu sesi pembelajaran, kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Zakariav Husin.

Beliau berkata JPNT tidak pernah menghalang mana-mana guru yang mahu meletak jawatan kerana berhasrat menceburi politik secara serius kerana tindakan itu lebih sesuai untuk kepentingan pelajar dan sektor pendidikan negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, secara umumnya di Terengganu tidak ramai guru yang mahu aktif dalam politik dan kalau ada pun sekadar memegang jawatan biasa di
peringkat cawangan.

“Sehingga kini, JPNT ada menerima kurang 10 permohonan rasmi daripada guru yang meminta kebenaran untuk memegang jawatan dalam parti politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Refleksi Pendidikan bersama 500 guru di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua guru di Terengganu agar sentiasa menyokong dasar kerajaan dan tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

“Tidak sesuai jika kita sebagai penjawat awam tetapi menyokong pembangkang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan apa sahaja usaha dilakukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata JPNT turut memantau prestasi semua guru di negeri ini agar mereka sentiasa memberi khidmat terbaik demi memastikan hasrat Terengganu menjadi negeri anjung ilmu tercapai.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata Terengganu menerima 20 guru Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) pada tahun ini berbanding 17 pada tahun lalu
yang diharap mampu meningkatkan penguasaan bahasa utama dunia itu di kalangan pelajar di negeri ini.

Namun, kataya, jumlah itu masih belum mencukupi dan kerajaan negeri akan mencari guru ETA dari negara lain selain Amerika, mungkin dari Australia. – Bernama

30,000 Orang Dijangka Sertai Program Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pasir Puteh – Bernama


30,000 Orang Dijangka Sertai Program Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pasir Puteh

PASIR PUTEH: Kira-kira 30,000 rakyat dijangka menyertai Program Himpunan Rakyat 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai di sini Khamis ini.

Pengerusi Pembangunan Parlimen Pasir Puteh Zawawi Othman berkata mereka terdiri daripada rakyat pelbagai peringkat termasuk guru, petani, nelayan, pekebun dan peniaga kecil.

Zawawi, yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, memberitahu pemberita di sini Selasa kehadiran Muhyiddin akan memberi suntikan dalam usaha Barisan Nasional (BN) untuk merampas empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Limbongan, Semerak, Gaal dan Selising pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.

Beliau berkata ia juga memberi harapan besar untuk menawan kerusi Parlimen Pasir Puteh yang turut dimenangi PAS pada PRU Ke-12.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Cherang Rotan Tengku Hussin Tengku Abdul Rahman berharap kehadiran pemimpin nombor dua negara itu akan dapat memberi suntikan semangat kepada golongan petani yang masih hidup dalam kemiskinan.

Katanya sebilangan besar penduduk di Pasir Puteh terdiri daripada golongan petani yang sentiasa berharap mendapat pembelaan daripada sebuah kerajaan yang mampu mengubah taraf hidup mereka, setelah terbukti kerajaan PAS gagal berbuat demikian.

Muhyiddin dijadual memulakan lawatan sehari ke negeri ini dengan mengadakan perjumpaan tertutup bersama pemimpin BN Kelantan di Kota Baharu.

Beliau kemudian akan mengadakan perjumpaan khas bersama pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan sebelum menghadiri perjumpaan khas bersama penjawat awam persekutuan dan negeri di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. -BERNAMA

Kerajaan salur RM1 juta setahun bantu pendidikan Orang Asli di Kelantan – Bernama


Kerajaan salur RM1 juta setahun bantu pendidikan Orang Asli di Kelantan

27 Januari 2013

GUA MUSANG – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membelanjakan RM1 juta setahun bagi program kemajuan pendidikan pelajar Orang Asli di Kelantan.

Adun Galas, Ab Aziz Yusof berkata, perbelanjaan itu tidak termasuk bantuan lain berjumlah puluhan juta ringgit setahun yang turut meliputi penyediaan peralatan sekolah dan makanan.

“Kerajaan berbuat demikian kerana mahu melihat pelajar kaum itu lebih maju dan berjaya dalam peperiksaan,” katanya pada majis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan 2013 kepada Pelajar Sekolah Kebangsaan Pos Hendrop di sini, hari ini.

Ab Aziz yang juga Setiausaha Umno Gua Musang berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi kelas dewasa Orang Asli yang dilaksana di beberapa sekolah berhampiran perkampungan masyarakat itu.

Beliau berkata, kerajaan sanggup berbuat demikian kerana tidak mahu kaum itu terus ketinggalan dalam arus pemodenan negara.

Katanya, bantuan juga sebagai penghargaan kerajaan persekutuan terhadap sokongan kuat mereka kepada Barisan Nasional (BN) pada setiap pilihan raya umum.

“Kita yakin Orang Asli di kawasan pedalaman daerah ini tidak mudah keliru dengan janji pemimpin pembangkang yang ingin melakukan perubahan jika menang kerusi Dun Galas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Mereka harus ingat, selama Pas memerintah Kelantan lebih 20 tahun lalu, tidak ada kemajuan yang dilakukan untuk kaum terbabit, sebaliknya lebih banyak tanah yang dimajukan Orang Asli dirampas sebelum diserahkan kepada syarikat swasta bagi pembangunan ladang sawit,” katanya. – Bernama

Tuntut RM59.8 juta elaun prasekolah – Kosmo


Tuntut RM59.8 juta elaun prasekolah

 

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

 

SAID ANUAR (barisan depan, tiga dari kanan) bersama ahli BTR Selangor dan orang-ramai mengadakan demonstrasi aman menuntut elaun RM50 sebulan kepada murid prasekolah di Petaling Jaya semalam.

 

PETALING JAYA – Selangor didakwa gagal memenuhi janji semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) untuk menyediakan elaun sebanyak RM50 sebulan kepada 115,000 kanak-kanak yang memasuki prasekolah melibatkan tuntutan RM59.8 juta sejak tahun 2008.

Pengerusi Badan Bertindak Rakyat (BTR) Selangor, Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata, jumlah itu termasuk seramai 23,945 kanak-kanak yang memasuki prasekolah sepanjang tahun lepas.

“Kita akan buat tuntutan secara berperingkat bagi memudahkan kes ini dibicarakan di mahkamah pada kadar segera,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyertai demonstrasi aman melibatkan lebih 40 penduduk pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini yang menuntut elaun murid prasekolah seperti yang dijanjikan kerajaan negeri pada 2008.

Menurut Said Anuar, satu memorandum akan dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada minggu depan meminta penjelasan kenapa kerajaan negeri gagal menepati janji.

Sebelum itu, kerajaan negeri berjanji akan memberikan elaun sebanyak RM50 sebulan kepada setiap kanak-kanak prasekolah di Selangor sekiranya berjaya mentadbir negeri tersebut pada tahun 2008.

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Kamil Ahmad Nazri, 33, berkata, tuntutan yang diminta rakyat adalah wajar kerana selama ini mereka diperdaya demi meraih undi.

“Kami menuntut hak kami seperti apa yang telah dijanjikan sebelum ini dan tidak salah kami meminta dengan cara baik,” katanya.

Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Datuk Abdul Halim Samad.

Selain itu, BTR Selangor juga pernah menuntut elaun ibu tunggal RM100 sebulan, caj air percuma bagi penggunaan RM20 ke bawah bagi perumahan bertingkat, menuntut kerajaan negeri Selangor ambil alih hutang rumah PKNS dan pengecualian cukai terhadap mana-mana premis yang tidak didiami atau disewa.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2J86uzkYP
Hakcipta terpelihara

Remaja lelaki didakwa sumbang mahram bersama kakak – Utusan


Remaja lelaki didakwa sumbang mahram bersama kakak

REMAJA berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak atas tuduhan sumbang mahram di Jerantut, Pahang, semalam. – BERNAMA

JERANTUT 13 Sept. – Seorang remaja berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini atas tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap kakaknya sehingga melahirkan seorang anak.

Remaja terbabit yang tinggal di sebuah kampung dekat Batu Balai di sini, didakwa melakukan sumbang mahram bersama kakaknya yang berusia 15 tahun pada pukul 12.30 malam, dalam bulan November tahun lalu.

Dia yang juga anak bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-12 di salah sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jerantut didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 376B kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam hingga 20 tahun dan sebatan.

Sejarah Buktikan Peperiksaan SPM, STPM Tidak Halang PRU Diadakan – mStar


Sejarah Buktikan Peperiksaan SPM, STPM Tidak Halang PRU Diadakan

PETALING JAYA: Walaupun timbul spekulasi Pilihan Raya Umum (PRU) tidak akan diadakan ketika minggu peperiksaan SPM dan STPM, sejarah membuktikan sebaliknya apabila ia pernah berlaku pada 1999.

Tarikh mengundi untuk PRU ke-10 ditetapkan 29 November pada tahun itu ketika peperiksaan SPM dijadualkan berlangsung pada 22 November hingga 10 Disember manakala STPM pada 17 November hingga 13 Disember.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Pendidikan pada waktu itu mengumumkan peperiksaan pada 29 dan 30 November ditangguhkan bagi memberi laluan kepada para guru untuk mengundi.

Peperiksaan untuk program matrikulasi turut ditangguhkan iaitu dari 11 Disember kepada 14 Disember.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pilihan raya pada masa lalu kebanyakannya diadakan pada separuh pertama tahun itu.

Selain daripada PRU pada 1999, tiada pilihan raya yang diadakan pada bulan November atau Disember.

PRU pertama pada 1959 diadakan pada 19 Ogos.

PRU seterusnya diadakan pada 25 April 1964, 10 Mei 1969, 24 Ogos 1974, 8 Julai 1978, 22 April 1982, 3 Ogos 1986, 21 Oktober 1990, 25 April 1995, 21 Mac 2004 dan 8 Mac 2008.

Pada tahun ini, peperiksaan SPRM akan diadakan pada 5 November hingga 6 Disember manakala STPM pada 19 November hingga 13 Disember.

Walaupun hak istimewa untuk membubarkan Parlimen terletak di tangan kerajaan yang memerintah, SPR akan menentukan tarikh mengundi dan penamaan calon serta tempoh berkempen, kata Wan Ahmad.

“Selepas Parlimen dibubarkan, SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya. Apabila memutuskan tarikh terutamanya untuk membuang undi, kami perlu mengambil kira beberapa faktor selain cuaca.

“Kita juga perlu ingat bahawa premis yang digunakan sebagai pusat mengundi kebanyakannya adalah sekolah-sekolah. Jadi kita tidak harus mengganggu kelas dan aktiviti persekolahan terutamanya peperiksaan,” katanya.

Wan Ahmad berkata 80% pusat mengundi adalah sekolah-sekolah dan 80% pekerja pada PRU melibatkan para guru.

Musim haji tidak menjadi kekangan untuk mengadakan pilihan raya.

Pada 1964, PRU diadakan pada 25 April, dua hari selepas Hari Raya Aidiladha.

PRU pada 1986 diadakan pada 3 Ogos iaitu 13 hari sebelum Aidiladha manakala PRU 1995 berlangsung pada 25 April ketika perayaan itu diraikan pada 10 Mei.

Menurut Lembaga Tabung Haji, kumpulan pertama jemaah haji yang dianggarkan berjumlah 27,900 orang pada tahun ini akan berlepas ke Arab Saudi pada 17 September.

Waktu puncak musim haji adalah ketika Aidiladha yang diramal jatuh pada 26 Oktober ini.

Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia dijadualkan kembali semula ke tanah air pada 29 November ini.

Kes sumbang mahram: Pemimpin kanan parti pembangkang, anak ditahan – Bernama


Kes sumbang mahram: Pemimpin kanan parti pembangkang, anak ditahan

28 Ogos 2012
JERANTUT – Seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang dan anak lelakinya ditahan bagi membantu polis berhubung satu kes sumbang mahram.

Pemimpin utama sebuah parti baru itu bersama anak lelakinya yang berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lepas bagi membantu siasatan apabila anak perempuannya yang berumur 15 tahun melahirkan seorang bayi lelaki.

Mereka dibebaskan semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Zakaria Kasim, mangsa, 15, melahirkan seorang bayi lelaki tiga hari lepas di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur.

“Kedua-dua suspek, bapa dan anak itu bagaimanapun dibebaskan semalam atas jaminan pihak polis,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata polis juga mengambil sampel DNA kedua-dua suspek dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.

Suspek yang juga saudara terdekat kepada seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang tanah air, pernah bertanding pada pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun, suspek yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang pada pilihan raya umum lepas itu kalah kepada calon Barisan Nasional. – Bernama

Warga pendidik diajak jadi ‘pejuang’ – Utusan


Warga pendidik diajak jadi ‘pejuang’

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

Mohamad Fatmi Che Salleh menyampaikan sijil penghargaan kepada Guru Besar SK Zainab 2, Aidah Mohd. Salleh pada majlis Himpunan Guru 1Kota Bharu di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 12 Mei – Warga pendidik diajak menjadi ‘pejuang’ dengan memastikan keamanan negara dipertahan dan pembangunan terus dipacu untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, perkara tersebut boleh dicapai apabila warga pendidik bijak memilih kerajaan yang akan mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Beliau mengingatkan bahawa pilihan raya bukan perkara mainan dan bereksperimen, sebaliknya ia pentas bagi memilih barisan kepimpinan negara yang boleh memacu pembangunan negara ke arah lebih cemerlang demi kesejahteraan rakyat.

“Pilihan raya tak lama lagi, jangan kita salah pilih, jangan ada persepsi berbeza, jangan ada persepsi ‘kasihan’, jangan sia-siakan undi kerana pilihan raya untuk kebaikan masa depan kita, jika salah pilih akan ditanggung generasi akan datang.

“Buat pilihan terbaik, jangan pilih benda yang kita tidak pasti kerana pilihan raya bukan main-main untuk angkat sesiapa, tetapi yang pasti ia untuk masa depan kita supaya terus gemilang, berjaya dan makmur.

“Saya mengajak kumpulan guru menjadi pejuang untuk memastikan esok lebih baik, lebih cemerlang, lebih sejahtera, lebih makmur dari hari ini. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara, bangsa yang disegani oleh dunia,” katanya pada majlis Himpunan Guru 1Kota Bharu di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Kelantan di sini. Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang dan Pegawai Pelajaran daerah, Che Ab. Aziz Daud.

Pada majlis itu, Mohamad Fatmi turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada sekolah-sekolah sekitar Parlimen Kota Bharu yang telah mencatat kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Dalam ucapan itu, Mohamad Fatmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, kerajaan di bawah Barisan Nasional mempunyai banyak perancangan untuk terus memacu pertumbuhan negara bagi kesejahteraan rakyat termasuk Kelantan.

Katanya, pilihan raya merupakan pentas untuk rakyat memilih kerajaan berwibawa kerana kesannya akan dinikmati oleh mereka, begitu juga sebaliknya.

“Jadi mari kita jadi pejuang dengan memilih kerajaan yang terbaik, kenapa nak perjudi (masa depan) dengan perkara yang kita tak pasti. Kita tidak mahu generasi akan datang yang ditinggalkan, maki kita, kita nak warisi negara yang lebih baik kepada generasi akan datang,” katanya.

SBPA: Tunggulah pengumuman 12 Mac, kata PM – Sinar Harian


SBPA: Tunggulah pengumuman 12 Mac, kata PM

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Februari 2012
NAJIB

MELAKA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan keputusan kerajaan berhubung isu skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) pada perhimpunan yang dianjurkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada 12 Mac depan.

“Tunggulah masa, kalau saya umum hari ini tak jadi (tidak seronok), tak ada ‘surprise’ (kejutan).

“Mungkin tunggulah bila kita ada majlis, Cuepacs setuju untuk mengatur satu perhimpunan besar-besaran di mana dalam perhimpunan itu nanti saya akan
menyampaikan keputusan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di bandar Melaka di sini, semalam.

Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat yang diadakan dengan Cuepacs kelmarin berlangsung dalam suasana baik dan mereka bersikap positif dalam isu penyelesaian SBPA.

Kelmarin, Najib mengadakan pertemuan dengan Cuepacs selama 45 minit dengan sembilan pemimpin tertinggi CUEPACS yang turut disertai Ketua Setiausaha Negara
Tan Sri Mohd Sidek Hassan di Pejabat Perdana Menteri.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman pada pertemuan itu dilaporkan berkata pihaknya akan mengadakan perhimpunan besar-besaran yang mengumpul 15,000
penjawat awam di Bukit Jalil pada 12 Mac depan yang dijangka dihadiri Perdana Menteri.

Mengenai lawatan kerjanya ke Melaka, Najib berkata beliau berpuas hati dengan kerancakan pembangunan dan pembaharuan di negeri bersejarah itu.

“Pada saya, Melaka sedang menghadapi cabaran menguruskan kejayaan… dan inilah yang saya fikirkan cabaran masa datang bagaimana boleh menentukan tahap
kemudahan di Melaka dapat ditingkatkan supaya tidak membantut perkembangan kejayaan Melaka,” katanya.

Beliau berkata pengusaha-pengusaha hotel juga menyatakan rasa puas hati dengan pelaburan mereka di Melaka.

Beliau juga berkata Barisan Nasional (BN) Melaka secara keseluruhan sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum apabila tiba masanya kelak. – Bernama