Pelajar maut langgar lembu – Sinar Harian


Pelajar maut langgar lembu
NURUL HUSNA AZIZAN
1 Jun 2012

Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya
Changlun-Kuala Perlis selepas melanggar sekumpulan lembu, pagi semalam.
ARAU – Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganginya dikatakan merempuh sekumpulan lembu yang melintas jalan di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu melibatkan tiga buah motosikal yang salah satunya ditunggangi mangsa, Muhammad Arsyad Mohamad Zahir, 16 dan dua lagi penunggang iaitu Norazam Che Azizul dan Amir Sabirin Ahmad. Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, kemalangan terbabit dipercayai berlaku apabila ketiga-tiga penunggang motosikal terbabit yang dari arah Arau menuju ke Changlun melanggar sekumpulan lembu melintas jalan berhampiran pintu gerbang Ulu Pauh.

Menurutnya, Muhammad Arsyad meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi penunggang mengalami kecederaan parah dan di hantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk mendapatkan rawatan lanjut. “Kemalangan tersebut turut mengakibatkan seekor lembu mati dan cedera manakala satu lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis akan mengambil keterangan pemilik haiwan terbabit. “Dua lagi rakanya yang patah kaki serta cedera parah kini sedang mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan waris masing- masing telah dimaklumkan,” katanya.

Bapa mangsa, Mohamad Zahir Kadir, 39, ketika ditemui terkejut dengan insiden menimpa anaknya itu kerana mangsa tidak memaklumkan bahawa dia hendak keluar. “Muhammad Arsyad jarang keluar malam, mungkin disebabkan cuti sekolah dia hendak keluar bersama rakannya.

“Saya menyedari kelakuan Arsyad kerana sejak beberapa hari lalu dia agak pendiam, walau apapun saya menerima dengan reda kerana ini merupakan ketentuan daripada-Nya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HTF, semalam.

Remaja maut rempuh lembu – Metro


Remaja maut rempuh lembu
ARAU: “Arwah tiba-tiba berubah menjadi pendiam sejak kebelakangan ini, malah saya tidak akan membenarkannya menunggang motosikal jika mengetahui dia mahu pergi makan hingga ke Changlun pada waktu awal pagi.”

Begitu kata Mohamad Zahir Kadir, 39, bapa kepada Muhammad Arsyad Mohamad Zahir, 16, yang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sekumpulan lembu di Lebuh raya Kuala Perlis-Changlun berhampiran pintu gerbang sempadan Perlis-Kedah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa dari Kampung Padang Besar (Utara) mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dua rakan mangsa, Norazam Che Azizul, 20, dan Amir Sabirin Ahmad, 21, turut cedera parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan kritikal.
Mohamad Zahir yang berniaga sendiri, berkata dia tidak menyedari hasrat anak kedua daripada empat beradik itu mahu pergi makan di sebuah restoran di Changlun dengan menunggang motosikal secara konvoi bersama rakannya.
Menurutnya, ini kerana arwah sebelum ini tidak pernah keluar rumah lewat malam atau awal pagi, sebaliknya akan pulang seperti biasa jika berjumpa rakan.

“Saya langsung tidak tahu hasratnya dan rakan-rakan mahu pergi hingga ke Changlun kerana jika saya tahu memang tidak membenarkannya pergi.
“Mereka pergi berkumpulan dan ketika tiba di tempat kejadian yang agak gelap, anak saya dan tiga rakannya dikatakan tidak menyedari kemunculan sekumpulan lembu melintas sebelum terus merempuh haiwan itu.

“Rakan arwah yang lain sudah mendahuluinya dan tidak menyedari ketiga-tiga rakan mereka terbabit kemalangan sebelum berpatah balik apabila menunggu agak lama tetapi masih tidak muncul,” kata ketika ditemui di Bilik Mayat HTF, di sini.
Mohamad Zahir berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan arwah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.