Isteri hamil nyaris dipijak – Sinar Harian


Isteri hamil nyaris dipijak

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Mac 2013
Jane
Jane

ALOR GAJAH – Gara-gara bermalam di rumah ibunya sendiri, seorang isteri yang hamil enam bulan nyaris dipijak suaminya yang berang sebelum diugut bunuh dengan keris perhiasan dalam kejadian 6.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Jane, 33, mendakwa sudah mendapatkan keizinan suaminya yang berusia 30 tahun itu sebelum pulang ke rumah ibunya selama tiga hari.

Jane berkata, sebaik pulang ke rumah yang disewa di sekitar daerah ini, secara tiba-tiba suami memarahinya.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati dengan tindakan suaminya bertindak melawan untuk mempertahankan diri sebelum tiga anak mereka berusia antara 6 hingga 11 tahun turut dimarahi bapa mereka.

“Suami turut mendakwa anak-anak kencing merata-rata menyebabkan rumah kotor dan saya menafikannya kerana saya tahu anak tidak akan melakukan sedemikian.

“Malah lebih memilukan apabila suami tidak mengakui kandungan saya ini bukan anaknya sendiri selain menuduh saya mempunyai hubungan intim dengan lelaki lain,” katanya.

Katanya, berang melihat dia mempertahankan anak-anak yang mula menangis ketakutan, suaminya terus mencapai rotan buluh dan bertindak melibas anak-anak.

“Suami juga menampar anak berulang kali dan menolak mereka hingga tersungkur.

“Kasihan melihat anak diperlakukan sebegitu, saya cuba meleraikan pertelingkahan namun terjatuh akibat ditolak suami,” katanya.

Jane berkata, kemudiannya suaminya mengambil kesemua pakaian miliknya dan anak-anak lalu dicampakkan ke luar rumah sambil menghalau mereka.

“Bagaimanapun berikutan pintu rumah sudah dikunci dari luar, saya tidak dapat menyelamatkan diri sebelum suami sendiri membuka pintu dan menghalau kami keluar dari rumah,” katanya.

Difahamkan setelah dihalau, Jane dan tiga anaknya pulang ke rumah ibunya di Jasin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin menerima laporan dan kes dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Keganasan Rumah Tangga, Wanita dan Kanak-kanak (D11) IPK Melaka untuk siasatan.

Pesara guru kena samun – Sinar Harian


Pesara guru kena samun

MOHD AZLIM ZAINURY
8 Februari 2013
Rahmah
Rahmah menunjukkan bagaimana seorang lelaki muncul dengan memegang objek tajam ketika dia hendak menutup pintu rumahnya yang disyaki dibuka seseorang.

MARANG – Seorang pesara guru wanita kerugian hampir RM10,000 selepas menjadi mangsa samun seorang lelaki bersenjatakan pisau di rumahnya di Taman Mega di Kampung Sungai Kerak di sini, malam kelmarin.

Ramlah Che Abdullah, 54, berkata, dia terkejut apabila seorang lelaki yang menutup sebahagian mukanya sambil memegang senjata tajam, muncul di muka pintu kira-kira jam 8.10 malam.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku dia perasan pintu dan jeriji rumahnya sedikit terbuka dan syak dibuka seseorang.

Untuk mendapatkan kepastian dia menuju ke arah pintu itu untuk memeriksa dan menutupnya.

“Namun suspek itu tiba-tiba muncul dan mengarahkan saya agar masuk semula ke dalam rumah dan jangan berbuat bising. Saya merasakan akan dirompak, jadi saya ikut sahaja arahannya kerana bimbang akan dicederakan.

“Dia kemudiannya meragut seutas rantai leher sebelum saya sendiri menyerahkan seutas lagi rantai leher dan gelang tangan.

Selepas mendapat barang kemas itu, dia mengambil pula sebuah telefon bimbit sebelum keluar,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak itu, bagaimanapun, tidak cedera, namun rasa gugup dengan kejadian tersebut.

Ramlah yang ditemui Sinar Harian di rumahnya malam kelmarin berkata, dia menghubungi suaminya, juga seorang guru, dan meminta pertolongan jiran terdekat selepas penjenayah tersebut menghilangkan diri.

Ketika insiden itu, suaminya sedang mengajar di kelas tambahan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan telah menahan beberapa individu untuk membantu siasatan.

Ahmad Mazlan mengingatkan orang ramai, terutamanya kaum wanita yang tinggal berseorangan di rumah, supaya berwaspada dan sentiasa memastikan pintu rumah dikunci bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berlaku.

Mati enggan sekolah petang – Metro


Mati enggan sekolah petang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MIRI: Seorang pelajar tingkatan dua yang sebelum ini menyuarakan keengganannya ke sekolah pada sesi petang kerana adik-beradiknya yang lain bersekolah pagi, ditemui mati tergantung di tingkap bilik di rumahnya di Desa Pujut, di sini, semalam.

Alexander Ajang, 14, yang juga anak kedua daripada empat beradik itu ditemui tergantung dengan leher dijerut tuala dan baju yang diikat pada jeriji tingkap oleh bapanya, jam 12 tengah hari.
Ibu saudara mangsa, Roselind, 32, berkata, kematian mangsa amat mengejutkan kerana sejam sebelum kejadian, dia bersikap seperti biasa ketika membuka pintu rumah untuk bapanya berusia 40-an yang pulang untuk menghantarnya ke sekolah.

 

“Sebaik bapanya yang juga abang saya tiba di rumah, dia berehat di rumah tamu dan menyuruh anaknya itu mandi serta memakai seragam untuk ke sekolah.
“Tapi, selepas setengah jam dia masih tidak keluar dari bilik biarpun ayahnya memanggil namanya beberapa kali. Sebaik pintu bilik dibuka, ayahnya terkejut melihat dia tergantung di tingkap bilik dan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut wanita itu, sehari sebelum kejadian, mangsa memberitahu tidak mahu ke sekolah kerana abang serta adik-beradiknya yang lain bersekolah sesi pagi dan hanya dia pada sesi petang.

 

 

“Bagaimanapun, semua ahli keluarga lain tidak mengendahkan kata-katanya kerana menganggap itu perkara biasa saja. Kami tidak menyangka dia akan mengambil tindakan drastik seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

Guru wanita mati di sisi bayi menangis – Utusan


Guru wanita mati di sisi bayi menangis

Oleh AINSAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my.

BAGAN DATOH 14 Sept. – “Luluh hati saya apabila melihat dia kaku tidak bernyawa dengan anaknya yang berusia tujuh bulan menangis teresak-esak sambil memeluk ibunya”.

Begitu luahan seorang guru yang menemui rakan setugasnya itu di Kuarters Sekolah Sains Bagan Datoh di sini yang mati disyaki akibat serangan jantung, kelmarin.

Mayat Normaya Mokhtar, 33, yang mengajar bahasa Jepun di sekolah itu hanya ditemui kira-kira pukul 7.30 pagi semalam oleh Siti Fairouz Saikhudin, 30, selepas merasa curiga apabila mangsa tidak menjawab khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantarnya sejak kelmarin.

Menurut Siti Fairouz, lebih menimbulkan tanda tanya apabila panggilan dan ketukan pintu rumah mangsa juga tidak berjawab.

Bimbang dengan keadaan tersebut, Siti Fairouz berkata, dia berusaha memasuki rumah mangsa dan akhirnya berjaya membuka pintu dengan menggunakan kunci yang dijumpai di bawah pelapik kaki di hadapan rumah Normaya.

Penyamun campak anak – Metro


Penyamun campak anak
Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Norul Awatif Romli
am@hmetro.com.my

KUALA SELANGOR: “Saya terkejut kejadian berlaku sekelip mata kerana sewaktu kereta dilarikan saya berada di hadapan pintu rumah memakai stokin sambil memanaskan enjin kereta.

“Tiba-tiba muncul dua lelaki bertopeng membawa parang dan masuk ke dalam pacuan empat roda Honda CRV milik majikan yang diletak di hadapan rumah. Lelaki terbabit mencampak anak perempuan saya berusia tujuh tahun keluar sebelum melarikan kereta berkenaan,” kata Suhaimi Mansor, 35, yang ditemui semalam.
Menurut Suhaimi, dalam kejadian jam 7 pagi itu, dia bersiap untuk menghantar anaknya ke sekolah, namun sempat memanaskan enjin kereta sebelum mengarahkan anaknya menunggu di dalam kereta.

Sebaik melihat anaknya dicampak keluar, keretanya pula dilarikan, mangsa mendapatkan bantuan jirannya mengejar suspek sebelum terserempak suspek di hadapan sebuah sekolah rendah.
“Suspek tak dapat larikan diri kerana jalan ditutup sehingga memaksa mereka berpatah balik ke jalan utama.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/24

Toyol dara pecah flat – Metro


Toyol dara pecah flat

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DITAHAN...suspek
DITAHAN…suspek

SUBANG JAYA: Dia gadis sunti yang masih bersekolah, namun cekap melakukan jenayah pecah rumah bersendirian dan disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes di Flat Sri Kayan, di sini, membabitkan kerugian mencecah ribuan ringgit.

Aktiviti remaja berusia 14 tahun itu terbongkar apabila dia dicekup selepas memecah masuk dan mencuri kelapa di sebuah rumah penduduk flat berkenaan, jam 5 petang kelmarin.

Menurut sumber, penangkapan suspek yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini, sekali gus melegakan penduduk di flat berkenaan yang sebelum ini kebimbangan apabila 10 rumah penduduk di situ dipecah masuk sepanjang enam bulan lalu.

“Suspek yang bergerak sendirian mencuri apa saja barangan milik penduduk dan antara yang dilaporkan hilang termasuk wang, barang kemas, komputer riba dan kamera yang nilai keseluruhannya mencecah ribuan ringgit,” katanya.

 
Sumber itu berkata, remaja terbabit memiliki kemahiran membuka tingkap atau pintu rumah yang dikunci selain licik melalui celahan besi tingkap sempit.

Amuk penghidu gam – Metro


Amuk penghidu gam

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI PETANI: “Saya terkejut melihat Noriza berlumuran darah sambil menjerit ‘mak, Raja tetak cek’ sebelum rebah di pintu rumah,” kata Basah Mat ,73, ibu kepada Noriza Md Noor, 48, seorang guru Kelas Fardu Ain (Kafa) yang ditetak seorang lelaki di Kampung Bakar Bata, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Taman Sinar Intan (SKTSI ), di sini, baru keluar dari tandas apabila secara tiba-tiba ditetak seorang lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging dari arah belakang.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera parah di lengan kiri dan bahu kanan.
Basah berkata, sebelum itu, dia ada mendengar orang menjerit dan menyangka cucunya sedang bermain di belakang rumah.

 

“Bagaimanapun, saya terkejut melihat Noriza dalam keadaan berlumuran darah sambil menjerit memberitahu ‘Raja’ menetaknya sebelum rebah.

“Saya bergegas mendapatkannya dan mendapati kesan tetakan pada lengan kiri dan bahu. Saya mengambil beberapa helai kain bagi menahan darah yang keluar,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Basah berkata, menjerit meminta bantuan anak lelakinya yang berada di dalam rumah.

“Noriza dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) kerana kecederaan bertambah serius,” katanya.

Lelaki Nepal dalam kamar – Metro


Lelaki Nepal dalam kamar

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: “Memang selama ini naluri keibuan saya seperti ada sesuatu yang tak kena kepada anak gadis. Akhirnya saya bertindak menyiasat sendiri dan luluh hati apabila menangkap anak saya dengan lelaki Nepal di bilik tidur rumah kami,” kata seorang ibu berusia 30-an.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam kelmarin di Pelabuhan Klang, di sini, wanita terbabit berpura-pura tidur untuk melihat pergerakan anak gadisnya berusia 17 tahun yang sebelum ini di adu jiran menjalinkan hubungan dengan warga asing.
Menurutnya, pada malam kejadian dia nekad mengintai pergerakan anak gadisnya itu selepas kerap menerima aduan perihal kurang menyenangkan.

 

“Biasanya saya tidur di ruang tamu sebab lebih senang menjaga suami yang sakit. Namun, saya runsing memikirkan aduan mengenai anak saya oleh jiran-jiran.
“Kira-kira jam 12.30 tengah malam saya dan suami sudah masuk tidur di bilik dan sebelum itu memang saya lihat anak mundar-mandir macam ada yang tak kena.
“Saya mengintai dan melihat anak keluar membuka pintu rumah sebelum mengajak seorang lelaki di dalam biliknya. Pada masa itu perasaan saya hanya Allah saja yang tahu,” katanya.

 

 

Dia dan suami menyerbu ke dalam bilik berkenaan sebelum memberkas warga Nepal berusia 20-an.
Menurutnya, ketika pintu bilik dibuka dia geram melihat lelaki itu berada di atas katil anak gadisnya dan mereka mengaku sudah sembilan bulan menjalin hubungan dan lelaki itu adalah bekas rakan sekerja kilang anak gadisnya.

 

Bagaimanapun, katanya, dalam kekecohan di rumahnya itu, lelaki Nepal terbabit menyusup keluar dan gagal dikesan.
Sehubungan itu, wanita berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan semalam dan merujuk anak gadisnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan dan siasatan dilakukan menjurus kepada kes rogol.
“Apapun, polis perlu menunggu laporan daripada hospital sebelum siasatan lanjut dijalankan. Setakat ini suspek yang dikenalpasti belum diberkas,” katanya.