PKRM port lepak remaja siber – Sinar Harian


PKRM port lepak remaja siber
NURLIZA ELAMI
15 Ogos 2012

Pelbagai aktiviti berfaedah turut diadakan di PKRM.
Sempena musim cuti sekolah, pelbagai aktiviti dan percutian dirancang ibu bapa untuk memastikan masa terluang anak mereka tidak dibazirkan begitu sahaja khususnya untuk anak remaja yang ‘panjang kaki’. Ini kerana majoritinya lebih cenderung untuk menghabiskan masa di pusat siber atau kafe internet bersama rakan.

Kegilaan terhadap pelbagai aplikasi internet pada masa kini membuatkan anak remaja semakin ligat menghabiskan masa di hadapan komputer di kafe siber. Dengan suasana persekitaran yang agak suram, ia membuatkan hati ibu bapa gentar, tambahan pula kegiatan ini turut menuntut sejumlah wang dibelanjakan bagi melayari internet.

Namun kini ibu bapa di sekitar Guar Cempedak, Jerai, Kedah tidak perlu risau lagi tentang langkah anak mereka sejurus bangun dari tidur kerana kerajaan prihatin dengan permasalahan ini dan telah mewujudkan pusat sehenti untuk melengkapkan gaya hidup rakan muda remaja siber di Pusat Kegiatan Rakan Muda (PKRM).
150 pengguna sebulan

Penyelia PKRM Parlimen Jerai, Nurul Hidayah Shamsudin, 23, berkata, PKRM Parlimen Jerai ditubuhkan sejak 2009 setelah Program Rakan Muda Remaja Siber dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri pada masa itu, Datin Seri Jeanne Abdullah pada 29 Jun 2008 di One Utama Damansara.

Menurutnya, PKRM memberikan ruang kepada remaja mendapatkan khidmat dan menggunakan kemudahan ICT secara percuma dalam usaha melahirkan generasi muda celik teknologi maklumat (IT) di semua peringkat.

“Kumpulan sasaran adalah remaja berumur 15 hingga 25 tahun dan matlamat Kementerian Belia dan Sukan adalah untuk mewujudkan satu parlimen satu pusat siber di setiap PKRM. Seperti di Jerai, PKRM menerima kunjungan remaja seramai 150 dalam sebulan, iaitu purata 12 remaja dalam sehari,” katanya.

Nurul Hidayah berkata, pihaknya berharap lebih ramai remaja mengunjungi PKRM yang terletak di Tingkat 3, Lot 5B, Bangunan Tabung Haji, Jalan Besar, Guar Chempedak dan dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam setiap hari kecuali Ahad, demi merealisasikan matlamat penubuhannya iaitu menjadi rakan siber kepada remaja.
Tambah aplikasi

Bagi Mohamed Ali SMA Mansoor, 17, menghabiskan masa hampir seharian di PKRM adalah menjadi rutin hariannya ketika cuti sekolah. Ini kerana dapat mengakses internet secara percuma dan melayarinya secara sihat tanpa gangguan sebagaimana di pusat siber atau kafe internet di luar.

Namun katanya, dia berharap PKRM dapat meningkatkan aplikasi seperti menambah kelajuan capaian internet dan peralatan lain seperti headphone dan komputer bagi menampung jumlah keperluannya.

“Saya juga mempunyai Kad Rakan Muda dan saya dapat mengetahui mengenai perkembangan serta aktiviti Kelab Rakan Muda (KRM) setiap kali saya mengunjungi PKRM.

“Ibu bapa saya pun tidak risau lagi memikirkan ke mana saya pergi dan apa yang dilakukan. Ini kerana sememangnya saya sering menghabiskan masa di PKRM dengan pelbagai aktiviti selain melayari internet,” katanya.

Timbalan Pengerusi Kelab Rakan Muda Jerai, Md Asri Saad Muhammad, 19, berkata, PKRM juga sering dikunjungi pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melaksanakan tugas yang diberikan pensyarah dengan aplikasi IT yang disediakan di PKRM.

Menurutnya, pelajar IPT sering memilih untuk mengunjungi PKRM kerana lebih mudah mengakses Internet secara percuma untuk melengkapkan tugasan mereka di samping perkhidmatan tambahan yang lebih murah dan menjimatkan.

“Di sini, kami turut menyediakan perkhidmatan percetakan dengan kos yang lebih murah dan ini telah menyebabkan ramai pelajar IPT tertarik untuk datang ke PKRM untuk menyempurnakan tugasan mereka.

“Kewujudan PKRM juga dapat membendung masalah lepak atau kegiatan tidak berfaedah dalam kalangan remaja kerana PKRM menyediakan persekitaran lebih baik dari kafe internet dan pusat siber berbayar di luar sana,” katanya.

Md Asri Saad berkata, PKRM juga dapat membangunkan modal insan yang menjurus kepada peningkatan penggunaan ICT dalam komunikasi dan mendapatkan maklumat secara maya, cepat dan tepat.