Mahkamah: Guru dikait dengan perhimpunan Bersih 2.0 gagal dalam tuntutan – Bernama


Mahkamah: Guru dikait dengan perhimpunan Bersih 2.0 gagal dalam tuntutan

14 November 2012

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa proses penahanan seorang guru sekolah swasta yang dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 2.0 pada Jun tahun lepas adalah sah dan tidak bercanggah dengan undang-undang.

Hakim Datuk Zainal Azman Abd Aziz membuat keputusan itu selepas menolak tuntutan yang difailkan oleh Musafri Abdullah Azmi, 28, terhadap empat pihak termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain Hishammuddin, Musafri selaku plaintif menamakan Kpl Ruslee Mastam, Insp Misbahudin Hamdan dan Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob sebagai defendan.

Hakim Zainal Azman bagaimanapun memerintahkan defendan memulangkan lapan helai kemeja-T berwarna kuning bertulis “Bersih 2.0 Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil” milik plaintif yang dirampas semasa penahanan itu.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, mengikut keterangan saksi defendan pertama (Ruslee) dan defendan kedua (Misbahudin), mereka memberitahu plaintif alasan mengapa beliau ditangkap sebelum dibawa ke IPD Shah Alam dan mahkamah mendapati keterangan saksi-saksi tersebut lebih berwibawa.

“Ada banyak keterangan bercanggah diberikan plaintif daripada apa yang diberitahu dalam tuntutannya. Jelas bahawa plaintif menukar cerita mengikut keadaan tetapi keterangan saksi defendan konsisten.

“Plaintif ketahui sebab penahanannya dan sebab beliau dibawa ke IPD Shah Alam. Jelas satu fakta penting semasa plaintif dirakam percakapan ada tiga peguam turut berada di IPD Shah Alam dan tidak ada ‘kelewatan tidak sepatutnya’ oleh defendan untuk melengah-lengahkan proses rakaman percakapan plaintif,” katanya.

Zainal Azman berkata tindakan defendan itu menunjukkan mereka tiada niat jahat serta motif tersembunyi terhadap plaintif dan penahanan plaintif merupakan satu proses penahanan biasa.

Beliau berkata plaintif ditahan bukan semata-mata kerana memakai kemeja-T kuning tetapi disebabkan plaintif disyaki terbabit dalam perhimpunan haram berikutan sebelum itu polis mendapat maklumat bahawa terdapat perhimpunan haram akan diadakan di kawasan berhampiran plaintif ditahan.

“Pakai kemeja-T tidak salah tetapi disebabkan plaintif ditahan di kawasan berdekatan perhimpunan haram jadi syak itu munasabah dan justeru mahkamah putuskan proses tangkapan plaintif adalah sah dan teratur serta tidak bercanggah dengan undang-undang.

“Mengenai tuntutan ganti rugi plaintif, walaupun beliau kata dia menyimpan kemeja-T itu dan ada pembeli, lapan kemeja-T itu harus dipulangkan kepada plaintif dalam masa 14 hari,” katanya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Musafri antara lain mendakwa penahanannya pada 24 Jun 2011 dibuat secara salah dan tidak sah, mala fide (berniat jahat), melanggar hak serta kebebasan asasi, melanggar Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dan satu penyalahgunaan kuasa.

Katanya tindakan defendan yang membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan menaiki kereta menyebabkan beliau berasa malu seolah-olah seperti seorang penjenayah.

Beliau berkata jikapun ada penahanan Bersih 2.0, yang mana tidak diakui olehnya, pengharaman itu hanya digazetkan pada 1 Julai 2011 oleh Menteri Dalam Negeri iaitu lima hari selepas dia ditahan.

Guru itu berkata beliau telah dilepaskan pada pukul 1.49 pagi, 25 Jun 2011 selepas ditahan kira-kira dua setengah jam tanpa diberitahu sebab-sebab beliau ditahan dan semua barang rampasan telah dipulangkan kepadanya kecuali lapan helai kemeja-T berwarna kuning itu.

Plaintif juga menuntut defendan memulangkan lapan helai kemeja-T berwarna kuning itu, gantirugi am, teruk dan teladan, faedah pada kadar 8 peratus, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Bernama

Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu – Berita Harian


Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu

2012/01/10

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa yang pernah menyaman anak lelakinya bagi mendapatkan tuntutan nafkah dua cucunya hampir dua tahun lalu, semalam mengemukakan empat tuntutan baru terhadap anak sulungnya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, berikutan kegagalan defendan membayar nafkah dipersetujui sebelum ini.

Mustafa Ismail, 66, membuat tuntutan terhadap Nasrun Mustafa, 39, supaya membayar tunggakan nafkah penjagaan dua a anak defendan, sejak dia menjaga dua beradik berkenaan lapan tahun lalu sebanyak RM18,866 iaitu RM9,309 bagi anak lelaki defendan kini berusia 17 tahun dan RM9,556 bagi anak perempuan, kini 15 tahun.

Dalam tuntutan yang difailkan melalui peguam, Fazru Anuar Yusoff, Mustafa yang juga pesara sebuah syarikat cari gali turut memfailkan tuntutan duit raya sebanyak RM1,000 setahun.

Selain itu, plaintif mengemukakan tuntutan supaya defendan kembali taat dengan pulang ke kampung menjenguk ibu bapa dan dua anaknya selain menuntut defendan memohon ampun kepadanya dan isteri, Che Meriam Abdullah, 58.

Warga emas itu juga memfailkan permohonan menuntut defendan yang berkhidmat sebagai pengurus syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM17,000 sebulan membayar RM400 sebulan kepadanya dan isteri sebagai saraan hidup.

Hakim Rushdi Harun menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan dua anak defendan dipanggil untuk memberi keterangan.

Akhbar pada Julai 2010 melaporkan bapa memfailkan tuntutan terhadap anak lelakinya untuk memberi nafkah kepada dua cucunya yang diabaikan defendan sejak ditinggalkan bersama plaintif tujuh tahun sebelum itu.
Dalam tuntutan itu, plaintif berkata, defendan meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun kepadanya selepas bercerai dengan isteri pertama.