PM hadir jamuan malam kutip dana bina Sekolah Chong Hwa Kuantan – Bernama


PM hadir jamuan malam kutip dana bina Sekolah Chong Hwa Kuantan

PERDANA Menteri, Najib Tun Razak hadir pada makan malam amal untuk pembinaan Sekolah Chong Hwa Kuantan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. – BERNAMA

KUANTAN 24 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri jamuan malam dan pertunjukan amal untuk mengutip derma pembinaan Sekolah Menengah Chong Hwa, Kuantan di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

Berbaju kemeja batik hitam serta berkolar merah, kehadiran Najib dan Rosmah disambut, antara lain, Duta China ke Malaysia, Chai Xi; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; dan pelakon terkenal yang didatangkan khas dari Hong Kong, Jackie Chan.

Najib dan Jackie Chan serta beberapa pemimpin masyarakat Cina kemudian mengetuk gendang sebagai tanda perasmian jamuan yang dihadiri kira-kira 10,000 tetamu itu.

Ia turut menyaksikan pihak pengurusan sekolah menyampaikan sumbangan RM300,000 kepada Tabung Perwira Negara Lahad Datu.

Ia sebagai tanda penghargaan masyarakat Cina terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang sedang berjuang menentang pengganas di Lahad Datu, Sabah.

Najib dan isteri kemudian beredar untuk menghadiri program Janji Ditepati di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2.

Majlis jamuan itu diteruskan dengan lelongan amal dua utas jam tangan berjenama dan sekeping lukisan kaligrafi Cina oleh Jackie Chan, yang mengutip RM3 juta.

Ia diakhiri dengan persembahan nyanyian oleh selebriti itu serta percikan bunga api selama 15 minit. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130324/dn_03/PM-hadir-jamuan-malam-kutip-dana-bina-Sekolah-Chong-Hwa-Kuantan#ixzz2OT0Cc5TD
© Utusan Melayu (M) Bhd