PM lulus bina 6 SRJK Tamil – Sinar Harian


PM lulus bina 6 SRJK Tamil

NORHASPIDA YATIM
January 22, 2012
Najib Tun Razak

PUCHONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kelulusan permohonan masyarakat India agar kerajaan membina enam Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT).

Keenam-enam sekolah akan dibina di Taman Keladi di Sungai Petani, Heawood Estate. Sungai Siput; Taman Sentosa,  Klang; Taman PJS1, Petaling Jaya; Bandar Mahkota, Cheras dan Bandar Seri Alam di Masai, Johor.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM3.5 juta untuk pembinaan bangunan empat tingkat SRJKT Kinrara di sini.
Perdana Menteri mengumumkan perkara itu pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di sini, pagi ini.
Najib berkata, mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini meluluskan “lesen” untuk membina SRJKT terbabit.
Menurut beliau, ia adalah pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting yang digerakkan oleh sekolah-sekolah Tamil dalam masyarakat India di negara ini.
Beliau berkata selain itu, kerajaan turut memberi perhatian terhadap kedudukan 15 buah SRJK Tamil yang mempunyai bilangan pelajarnya kurang daripada 10 orang, yang mana perlu dipindahkan ke kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai yang memerlukan pendidikan daripada sekolah tersebut.
“Inilah langkah yang bakal diambil oleh kerajaan untuk masa depan sekolah Tamil. Yang penting, ada kerjasama yang erat antara kerajaan, persatuan guru-guru sekolah Tamil, PIBG dan komuniti kaum India, khususnya.
“Kita mesti anggap ini sebagai satu usaha bersepadu untuk merealisasikan objektif kita,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Dalam pada itu, menurut laporan Bernama, Pengerusi BN ini mengeyorkan agar satu persidangan khas membincangkan masa depan SRJKT perlu diadakan bagi menghasilkan satu pelan induk mengenainya.
Beliau berkata, persidangan itu yang melibatkan warga pendidik sekolah Tamil, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) antara lain perlu membincangkan pelbagai aspek mengenai sekolah tersebut.
Ini termasuk sama ada masih relevan mewujudkan kelas  peralihan untuk pelajar sekolah tersebut, katanya.
“Masalah kekangan guru-guru sekolah Tamil yang mempunyai kelulusan ijazah, dan reka bentuk sekolah Tamil itu serta lain-lain keperluan, patut dibincangkan pada persidangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata rumusan daripada persidangan itu boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran untuk membangunkan sekolah jenis tersebut.