Dua beradik hilang ditemui – Kosmo


Dua beradik hilang ditemui

 

Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF
megat@kosmo.com.my

 

MOHAMAD (kiri) berkata sesuatu kepada Poh Choo (kanan) dan Poh Fong pada sidang akhbar di Klang semalam.

 

KLANG – Dua beradik, Chen Poh Choo, 15, dan Chen Poh Fong, 13, yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ditemui orang awam di kawasan rumah kedai Taman Sentosa di sini semalam.

Pada hari kejadian, mereka dikatakan tidak pergi ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandamaran Jaya pada hari kejadian.

Jarak antara sekolah dan Taman Sentosa adalah sejauh 10 kilometer.

Kedua-dua remaja perempuan itu dijumpai pada pukul 2 petang ketika berjalan di kawasan tersebut sebelum orang awam menahan mereka sementara sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, polis yang menerima laporan kemudian ke lokasi dan membawa dua beradik terbabit ke balai.

Namun begitu, katanya, dua beradik itu enggan pulang ke rumah dan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengapa mereka bertindak demikian.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2K0TsMmwe
Hakcipta terpelihara

‘Kami tak nak balik, takut ayah marah’ – Metro


‘Kami tak nak balik, takut ayah marah’

 17  0 Google +1  0  0

Klang: “Kami tak nak balik,” kata dua remaja perempuan yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas waktu persekolahan di Pandamaran Jaya, di sini, sejak 30 Januari lalu sebaik ditemui semalam.

Difahamkan, kedua-dua remaja terbabit tidak mahu pulang kerana bimbang dimarahi ayah mereka yang garang dan tegas terutama selepas kedua-duanya, Poh Choo, 15, dan Poh Fong, 13, mempunyai masalah disiplin di sekolah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, dua beradik terbabit ditemui di satu kawasan rumah kedai di Taman Sentosa pada jam 2 petang semalam.

 

Beliau berkata, kedua-dua remaja terbabit ditemui seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu lalu menghubungi polis.
Katanya, ketika ditemui, mereka masih berpakaian seragam sukan sekolah dan berjalan berdua serta dipercayai menetap di rumah rakan lelaki Poh Choo yang juga warga asing.
“Selepas membawa mereka ke balai, polis bertanyakan sama ada mahu pulang atau tidak, namun kedua-duanya menjawab tidak mahu menyebabkan kami kini menjalankan siasatan terperinci mengenai keengganan mereka pulang ke rumah kerana dikhuatiri berlaku sesuatu tidak disukai mereka.

 

“Mereka sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut bagi mengesan sama ada mereka mengalami kecederaan atau tidak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, semalam.
Mohamad berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai kebenaran wujudnya lelaki dipercayai rakan Poh Choo dan gerakan mengesannya sedang dijalankan.

 

Katanya, siasatan mendapati rakan kedua-dua remaja terbabit ternampak mereka berada di sekolah Jumaat lalu namun tidak pulang ke rumah selepas tamat persekolahan.
“Kami sudah meneliti rekod kehadiran ke sekolah mereka dan mendapati kedua-dua mereka memang mempunyai masalah disiplin di sekolah. Mereka kerap ponteng selain mempunyai masalah lain.
“Setakat ini, polis masih tidak tahu punca mereka enggan pulang ke rumah dan siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, ibu remaja terbabit ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana anaknya ditemui selamat, tapi masih tidak berpuas hati selagi tidak melihat sendiri keadaan mereka.
Katanya, perkara itu amat menakutkannya dan suami kerana jika sebelum ini dia tahu punca anaknya itu melarikan diri dari rumah, namun tidak pada kali ini.
“Jika sebelum ini kakak lari dari rumah kerana merajuk akibat dimarahi bapanya, kali ini saya tidak tahu punca Poh Choo lari malah membawa adiknya bersama,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan dua beradik, Poh Choo, 15, dan Poh Fong, 13, dikhuatiri diculik selepas tidak pulang ke rumah sejak Rabu lalu.
Kedua-dua beradik terbabit keluar rumah pada jam 12 tengah hari untuk ke sekolah dan tidak pulang ke rumah selepas jam 7 petang seperti kebiasaannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Dua anak kena culik? – Metro


Dua anak kena culik?

 1292  45 Google +3  2  0

Oleh Norul Awatif Romli

Klang: Ketika keluarga lain sedang sibuk membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina minggu depan, lain pula ceritanya buat sepasang suami isteri yang diselubungi kesedihan mengenangkan dua anak gadisnya yang dikhuatiri diculik kerana tidak pulang ke rumah di Pandamaran Jaya sejak Rabu lalu.

Bapa remaja terbabit, Chen Fook Chai, 42, berkata, dua anaknya Chen Poh Choo, 15, dan Chen Poh Fong, 13, keluar dari rumah untuk ke sekolah berhampiran rumah kira-kira jam 12 tengah hari.

Pada kebiasaannya, anaknya itu berjalan ke sekolah dan akan pulang sebelum jam 7 malam setiap hari.

Bagaimanapun pada hari kejadian, mereka tidak pulang sehingga lewat malam dan memaksa Fook dan isterinya Lee Lay Chin, 35, keluar mencari kedua-dua anak mereka kerana bimbang sesuatu buruk berlaku.

FotoPOH Choo (kiri) dan Poh Fong yang hilang sejak Rabu lalu.

“Saya cuba menghubungi telefon bimbit mereka, namun gagal. Berikutan itu, saya dan isteri keluar mencari mereka di sekolah dan juga rumah rakan terdekat yang dikenali, tapi hampa kerana panggilan tidak dijawab, selain rakannya tidak mengetahui ke mana anak saya pergi selepas sekolah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Dua Remaja Perempuan Hilang Lebih Empat Hari – mStar


Dua Remaja Perempuan Hilang Lebih Empat Hari

Oleh TEH ENG HOCK

KLANG: Dua remaja perempuan hilang lebih empat hari dan menyebabkan ibu bapa mereka bimbang sekiranya kedua-dua anak mereka mungkin diculik.

Chen Poh Choo, 15, dan adiknya Chen Poh Fong, 13, kali terakhir dilihat ibu mereka Lee Lay Ching pada tengah hari Rabu sebelum pergi ke sekolah.

Namun, guru memberitahu ibu bapa remaja terbabit bahawa mereka tidak hadir ke sekolah.

“Saya bimbang kerana kebiasaannya mereka akan sampai di rumah pada pukul 7 malam.

“Apabila suami saya tiba di ruma kira-kira pukul 8 malam, kami mencari mereka di sekitar kawasan sekolah dan juga di rumah kawan-kawan mereka,” kata Lee, seorang suri rumah berusia 35 tahun.

Lee berkata, kedua-dua anaknya itu akan berjalan kaki ke sekolah yang hanya mengambil masa selama 10 minit.

Lee dan suaminya, Chen Fook Chai membuat laporan polis pada pukul 12.30 tengah malam pada Khamis selepas gagal mengesan kedua-dua anak mereka itu.

Chen, seorang pemandu lori memberitahu pemberita pada Ahad bahawa adalah mustahil kedua-dua anaknya itu melarikan diri kerana baru-baru ini mereka meminta untuk meraikan sambutan Tahun Baru Cina di kampung halaman Lee di Labis, Johor.

Kedua-dua remaja terbabit tidak membawa bersama pakaian tambahan dan hanya mempunyai wang saku sebanyak RM1 setiap seorang.

Poh Choo dilihat kali terakhir memakai pakaian seragam sekolah manakala Poh Foong menggunakan baju-T dan seluar trek.

Chen berkata, tiada perselisihan faham berlaku di antara mereka baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua remaja terbabit tidak mungkin melarikan diri bersama-sama kerana mereka tidak rapat dan sering bertengkar.

“Poh Choo memiliki telefon bimbit tetapi ia telah dipadamkan,” katanya.

Poh Fong tidak mempunyai masalah disiplin tetapi Poh Choo pernah diberi amaran akan digantung sekolah selama seminggu kerana ponteng kelas.

“Seorang guru memberitahu saya bahawa Poh Choo mungkin digantung sekolah tetapi sehingga hari ini notis tersebut belum dikeluarkan,” kata Chen.

Chen dan Lee ditemui pemberita pada sidang media anjuran Ketua Pemuda MCA Klang, Datuk Dr Ching Eu Boon yang berkata ahli MCA akan diminta untuk membantu mencari kedua-dua remaja terbabit.

“Jika pada Isnin mereka masih gagal dikesan, kami akan mencetak poster dan mengedarkan kepada orang ramai pada Selasa.

“Saya bimbang sekiranya mereka diculik dan dihantar ke Thailand,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan remaja terbabit supaya menghubungi polis, pejabat MCA Klang di talian 03-31679897 atau Setiausaha Pemuda MCA Klang, David Foo 017-3659897.