Tiga sahabat lemas ditelan kepala air – Kosmo


Tiga sahabat lemas ditelan kepala air

 

MOHD. AZLI ADLAN dan HASHIM P. MAMAT
berita@kosmo.com.my

 

RAKAMAN melalui telefon bimbit seorang saksi kejadian menunjukkan kejadian kepala air yang meragut tiga rakan di kawasan perkelahan Batu Hampar, Kuala Kangsar kelmarin.

 

KUALA KANGSAR – Dua remaja perempuan dan seorang remaja lelaki yang mandi di kawasan perkelahan Batu Hampar di Kampung Paya Lintah, Padang Rengas dekat sini ketika hujan lebat petang kelmarin mati lemas dihanyutkan arus deras kepala air.

Kejadian berlaku pada pukul 5.20 petang.

Mereka yang maut ialah Muhamad Khairul Safuan Tajudin, 18, Farah Anisah Ahmad Rafi, 17, dan Nor Aida Azhar, 17.

Abang kembar kepada Muhamad Khairul Safuan iaitu Muhamad Khairul Azwan, 18, bagaimanapun terselamat dan mengalami cedera ringan.

Mayat Muhamad Khairul Safuan ditemui sejam kemudian tersangkut di celah pokok buluh kira-kira lima kilometer (km) dari lokasi dia dihanyutkan.

Mayat Farah Anisah pula ditemui pada pukul 10.30 malam kelmarin kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian, manakala mayat Nor Aida ditemui pada pukul 7.30 pagi semalam kira-kira tujuh kilometer dari tempat dia dihanyutkan.

Muhamad Khairul Azwan yang terselamat berkata, mereka pergi ke kawasan itu bersama tujuh rakan lain.

“Hujan agak lebat ketika itu. Ketika kami bersiap-sedia untuk pulang, arus deras tiba-tiba datang dan menghanyutkan adik saya.

“Saya sendiri sempat berpaut pada pokok buluh di tebing sungai. Saya kemudian menyedari dua rakan kami iaitu Farah Anisah dan Nor Aida turut hilang,” katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2Rl9u1UNS
Hakcipta terpelihara