‘Mujur kepala tak kena kipas’ – Metro


‘Mujur kepala tak kena kipas’

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bukit Merah: Seorang remaja perempuan yang leka menyiapkan tugasan sekolah di ruang tamu rumah, nyaris maut terkena kipas siling yang sedang berpusing apabila rumahnya ditimpa sebatang pokok durian dalam kejadian ribut di Kampung Tok Khamis, Batu 4, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa Norizati Abdul Razi, 14, pelajar lembam di Sekolah Pendidikan Khas Alor Pongsu, sedang menyiapkan kerja sekolah di ruang tamu rumahnya.
Menurutnya ketika kejadian hujan lebat diikuti angin kencang.

 

“Saya berasa takut bukan kerana tinggal bersendirian, tetapi keadaan cuaca yang sebegitu membuatkan hati saya berdebar-debar memikirkan pelbagai perkara yang buruk.
“Namun, saya tetap tidak mengendahkannya dan terus melakukan kerja sekolah sehingga saya terdengar bunyi beberapa batang pokok patah,” katanya.
Norizati berkata, sejurus mendengar bunyi kuat itu, dia terus menutup buku dan duduk mencangkung di ruang tamu akibat ketakutan dan hanya berdiam diri.

 

Menurutnya dalam beberapa minit saja, sebatang pokok besar tumbang menyebabkan dia tidak dapat melarikan diri dan hanya tunduk ketakutan sambil menutup kepala dengan tangannya.
“Sebaik keadaan reda, saya membuka mata dan alangkah terkejutnya apabila mendapati kipas siling yang masih berpusing hanya beberapa inci dari kepala saya. Mujurlah ia tidak menimpa saya.

 

“Saya terus berlari keluar rumah sambil menangis dan alangkah terkejutnya saya apabila melihatkan keadaan rumah yang musnah akibat ditimpa sebatang pokok durian,” katanya.
Menurutnya walaupun keadaan masih hujan lebat dan angin bertiup kencang, dia masih mendiamkan diri menanti ibu bapanya pulang.
“Saya takut masuk ke dalam rumah kerana pokok itu terlalu besar dan rumah saya boleh runtuh bila-bila masa saja kerana angin masih bertiup serta hujan masih mencurah-curah,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Razi Chin, 37, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya, dia mula memikirkan nasib anaknya itu.
“Sepanjang perjalanan ke rumah, saya melihat beberapa pokok tumbang dan sekali gus saya terfikir anak di rumah.
“Saya tidak berhenti berdoa kepada Tuhan agar melindungi keselamatannya,” katanya.
Menurut Abdul Razi, sebaik tiba di pekarangan rumahnya, dia terkejut sambil melaungkan kalimah Allah sejurus mendapati rumahditimpa pokok besar.
“Saya hanya memikirkan keadaan anak lalu bergegas mencarinya dan mendapati dia duduk mencangkung akibat kesejukan di sebatang pokok berhampiran rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04