Remaja maut, adik parah nahas motosikal, lori – Utusan


Remaja maut, adik parah nahas motosikal, lori

ALOR SETAR 4 April – Seorang remaja perempuan terbunuh manakala adik lelakinya parah selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah lori tanah gara-gara cuba mengelak sebatang pokok getah yang tumbang di Jalan Syed Ahmad, Bukit Perak, Pendang di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa, Nor Hasnita Abu Hasan, 18, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd. Afiz Izani Abu Hasan, 13, patah kaki kanan selepas tercampak kira-kira dua meter.

Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang, Mohd. Izzuddin Inusmeah berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal dinaiki dua beradik itu cuba mengelak daripada melanggar sebatang pokok getah yang tumbang di laluan mereka.

Bagaimanapun, katanya, motosikal mangsa memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tanah.

“Mayat Nor Hasnita ditemukan di hadapan lori manakala motosikalnya terperosok di bawah lori berkenaan,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Difahamkan, pemandu lori yang merempuh motosikal mangsa ditahan polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, ibu mangsa, Rosni Zainul, 52, ketika ditemui berkata, dia rebah sebaik sahaja mendengar berita mengenai kemalangan yang menimpa dua anaknya itu.

“Nor Hasnita hanya mendiamkan diri pagi ini sebelum keluar rumah tetapi adiknya yang membonceng di belakang melambai tangan sehingga jauh meninggalkan kami.

“Selalu sebelum mereka keluar dari rumah saya akan pesan supaya bawa motosikal dengan berhati-hati. Tak sangka mereka terlibat dalam kemalangan hari ini,” katanya.

Rosni berkata, Nor Hasnita sedang menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan setelah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Katanya, jenazah Nor Hasnita dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Syed Ahmad di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130405/je_02/Remaja–maut-adik-parah–nahas-motosikal-lori#ixzz2Pa3GztHL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hasrat beli kek tidak kesampaian, anak maut dihempap pokok – Sinar Harian


Hasrat beli kek tidak kesampaian, anak maut dihempap pokok

MOHD RIZAL ABDULLAH
14 November 2012
Hasrat beli kek tidak kesampaian, anak maut dihempap pokok
Beberapa kanak-kanak menunjukkan tempat kejadian pokok tumbang yang mengorbankan Nurhanis.
Hasrat beli kek tidak kesampaian, anak maut dihempap pokok
Ayah Intan, Md Nasir Yakop, 40, bersama ibunya, Norhayati Moktar, 45, melihat keadaan anaknya yang masih lemah.

BALING – “Anis nak belikan ibu kek dua tingkat. Kek ini untuk hari jadi ibu,” itu kata-kata terakhir Nurhanis Abdul Rahman, 8, kepada ibunya, Faridah Che Nordin, 35, sebelum maut dihempap pokok getah di Kampung Keda Banggol Petai dekat sini, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi kelmarin.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu sudah mengumpul wang sakunya sebanyak RM1 sehari untuk membeli kek berkenaan sempena hari jadi ibunya itu.

Namun, segalanya hancur setelah Nurhanis disahkan meninggal dunia iaitu pada hari jadi ibunya selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Faridah berkata, kata-kata anaknya itu tidak dapat dilupakan malah sentiasa bermain di fikirannya.

“Saya tidak menyangka Anis akan pergi buat selama-lamanya. Namun saya reda dengan segala ketentuan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa bersama rakan-rakannya sedang mencari bunga untuk digunakan sempena hari jadinya itu.

“Arwah ingin membuat kejutan kepada saya. Disebabkan itu, saya tidak mengetahui tujuan asalnya keluar ke rumah. Saya ingat dia sekadar bermain bersama rakan-rakannya.

“Selepas kejadian, rakan-rakannya memaklumkan mereka mengutip bunga untuk hari jadi saya. Kata mereka, arwah ingin buat kejutan kepada saya,” katanya.

Arwah mahu lebih perhatian
KATANYA, arwah banyak menunjukkan perubahan antaranya terlalu gembira selain sering mencuri perhatian ahli keluarganya.

“Saya tidak tahu kenapa, arwah memang terlalu gembira sebelum kejadian itu. Setiap perlakuannya sentiasa menjadi perhatian kami. “Arwah seolah-olah mahu kami beri perhatian lebih kepadanya,” katanya.

Ayah mangsa, Abdul Rahman Ismail, 42, berkata, anaknya begitu gembira untuk menyambut hari jadi ibunya malah bercadang membelikan kek dua tingkat kepada ibunya itu.

“Arwah sempat berpesan supaya memanggil rakan-rakannya semasa majlis hari jadi itu. “Namun segalanya kini menjadi kenangan buat kami setelah arwah pergi dulu sebelum kami,” katanya.

Cuba jerit panggil ibu
SEMENTARA itu, kanak-kanak yang terselamat dalam kejadian ini, Intan Suhaili Najwa Md Nasir, 8, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua rakannya termasuk Nurhanis dalam perjalanan mencari bunga.

Menurutnya, ketika tiba di persimpangan jalan, sebatang pokok getah tumbang dan menghempap dirinya termasuk arwah.

“Ketika itu saya lihat arwah tidak lagi berganjak. Saya pula tersepit di celah batang kayu itu. “Saya jerit nama ibu kerana takut dengan kejadian berkenaan,” katanya.

Katanya, seorang lagi rakannya berlari untuk mendapatkan bantuan apabila melihat dirinya termasuk arwah terlantar di atas jalan. “Tidak lama kemudian, beberapa penduduk setempat datang dan membantu mengeluarkan saya bersama arwah Nurhanis,” katanya.

Intan yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Penghulu Abu Bakar tidak menyangka kejadian itu meragut nyawa rakan karibnya itu.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak, Nurhanis Abdul Rahman maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat dihempap pokok getah.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang selepas mencari bunga sempena menyambut tarikh lahir ibunya semalam iaitu sehari sebelum kematiannya itu.

Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Golok pada jam 12.30 tengah malam, semalam.