Dakap ayah kali terakhir – Metro


Dakap ayah kali terakhir
Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

DETIK PILU…anggota perubatan memberikan rawatan kecemasan kepada Muhammad Rizwan sebelum dia meninggal dunia sejam kemudian.
KUANTAN: Seorang bapa tidak menyangka pelukan erat anak sulungnya sebelum mereka bersiar-siar di bandar ini menjadi dakapan terakhir apabila kanak-kanak itu terbunuh dalam kemalangan di Jalan Teluk Sisek berdekatan Dewan Jubli Perak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Rizwan Idris, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Galing, di sini, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, sejam selepas kemalangan akibat cedera parah di badan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama bapanya, Idris Badar, 41, serta seorang adik lelakinya berusia dua tahun dalam perjalanan ke Teluk Chempedak untuk makan angin sempena cuti sekolah.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, Perodua Kancil dipandu Idris bergesel dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh dua pokok palma di kiri jalan.
Anak bongsu Idris kini dirawat di HTAA akibat cedera di kepala manakala Idris hanya cedera ringan.

 

Kereta bapa rempuh pokok, murid tahun satu maut – Bernama


Kereta bapa rempuh pokok, murid tahun satu maut

4 Jun 2012
KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki terbunuh manakala bapa dan adik lelakinya berusia setahun cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh pokok palma di Jalan Teluk Sisek, Teluk Cempedak di sini, semalam.

Murid tahun satu, Muhammad Ridzwan Idris, 7, dari Taman Mutiara, Jalan Alor Akar di sini meninggal dunia sejam selepas kejadian akibat cedera parah di dada.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari, tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menuju ke Teluk Cempedak.

Katanya setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu bapa mangsa yang berusia 42 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak itu dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya, kereta yang dinaiki mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh dua batang pokok palma di situ,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata tiga beranak terbabit dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk rawatan lanjut dan mangsa disahkan meninggal dunia sejam kemudian ketika menerima rawatan manakala bapa dan adiknya hanya cedera ringan.

Sementara itu, Mohamed Fauzi berkata pada hari yang sama, seorang warga emas, Abu Bakar Mahmud, 74, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah bas ekspres ketika keluar dari sebuah simpang di Kilometer 121 Jalan Kuantan-Johor Baharu, dekat Rompin. – Bernama