Meracau nak cari adik – Metro


Meracau nak cari adik
Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my

POKOK SENA: “Nak cari adik saya… nak cari adik,” raung seorang pelajar perempuan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di sini, ketika meracau dipercayai akibat diserang histeria selepas menjalani latihan sukan, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, sekurang-kurangnya 20 pelajar diserang histeria selepas mereka menjalani latihan sukan acara olahraga.
Kejadian dikatakan bermula dengan seorang daripada mereka yang lalu di pos pengawal tiba-tiba jatuh pengsan sebelum sedar dalam keadaan meracau-racau.

Serangan histeria itu kemudian merebak ke bahagian kantin dan beberapa bahagian di sekolah berkenaan, membabitkan beberapa pelajar perempuan lain yang meracau dan tidak sedarkan diri.

Cikgu nafi langgar murid – Berita Harian


Cikgu nafi langgar murid
Oleh Nordiana Shafiee

2012/05/14

ALOR SETAR: Bapa seorang pelajar Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Bukit Pak Kiau, Pokok Sena, dekat sini mendesak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mengambil tindakan ke atas seorang guru yang melanggar anaknya di kawasan sekolah hingga cedera November lalu.

Mohmad Tahir Ahmad, 39, berkata kejadian berlaku pada jam 12.45 tengah hari 17 November tahun lalu ketika anaknya, Muhammad Haikal yang ketika itu berusia sembilan tahun melintas dari dewan ke kantin apabila dilanggar kereta dipandu guru perempuan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan tulang betis kaki kanan anaknya patah dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini serta terpaksa bercuti sekolah sebulan pada Januari lalu.

Beliau berkata, apa yang dikesalkan ialah guru berkenaan bersikap tidak bertanggungjawab apabila terus memandu keluar dari kawasan sekolah tanpa membantu anaknya yang menangis kesakitan.

Berikutan kejadian itu, isterinya, Haliza Ariffin, 33, yang kebetulan bekerja di sekolah berkenaan terpaksa menghantar Muhammad Haikal yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu ke Klinik Kesihatan Pokok Sena sebelum dirujuk ke HSB.

“Saya amat kesal kerana pihak sekolah atau JPN tidak mengambil tindakan ke atas guru terbabit yang cuai hingga menyebabkan kemalangan dan dalam laporan polisnya guru itu mendakwa anak saya melanggar keretanya.

“Disebabkan tidak puas hati dengan tindakan guru itu yang enggan bertanggungjawab terhadap kejadian itu, saya turut membuat laporan polis sehari selepas kejadian itu,” katanya di sini, semalam.