17 tahun terbaring – Metro


17 tahun terbaring

 0  0 Google +0  0  0

Usianya sudah 17 tahun dan layak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun disebabkan kecacatan fizikal sehingga badan menjadi bengkok manakala kedua kaki kurus seperti lidi mengakibatkan Mohd Azrul Abd Rahim, 17, hanya terlantar di atas tilam.

Ini kerana Mohd Azrul atau lebih mesra dengan panggilan Abang Ngah, anak kedua daripada empat beradik itu tidak dapat berdiri dengan stabil berikutan tulang belakang yang bengkok manakala kedudukan tapak kaki seperti terseliuh.
Bapanya Abd Rahim Abu Saad, 46, berkata, nasib malang menimpa Mohd Azrul berlaku selepas lapan hari dilahirkan isterinya Faizah Md Isa, 38.

 

“Selepas lapan hari dilahirkan, perubahan pada badan anak saya dapat dilihat sedikit demi sedikit sebelum jururawat memaklumkan dia dipercayai diserang demam kuning berikutan perubahan warna kulit menjadi kekuningan serta pucat.
“Terkejut dengan perubahan itu, saya kemudian membawanya ke Hospital Bandar Jengka (HBJ), Maran, sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Lepar Utara 1, semalam.
Menurutnya, disebabkan penyakit berkenaan berlarutan, anaknya terpaksa menerima rawatan selama sebulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAA.

 

Bagaimanapun, katanya, dia dan isteri reda dan menerima hakikat anak mereka terpaksa meneruskan kehidupan dengan hanya terbaring seumur hidup selain bisu.
Abd Rahim berkata, dia bersama isterinya tidak pernah terlintas di fikiran untuk menghantar anaknya ke mana-mana pusat jagaan kerana tidak sanggup berpisah selain menganggap Mohd Azrul adalah anugerah tidak ternilai.

 

“Saya bersama isteri tiada masalah menjaganya kerana kami bergilir. Ketika saya keluar bekerja isteri jaga dan sebelah malam giliran saya,” katanya yang bertugas sebagai polis bantuan di FELDA berkenaan.
Katanya, apa yang menjadi masalah, dia tidak mampu membeli kerusi roda yang boleh diubahsuai di tempat duduk memandangkan anaknya hanya boleh berbaring saja.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Tidak mengaku liwat – Utusan


Tidak mengaku liwat

PETALING JAYA 27 Sept. – Seorang anggota polis bantuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, antara Ogos dan September lalu.

Mohd. Shahrul Azhar Mohd. Yunus, 26, didakwa melakukan perbuatan tersebut di Villa Apartment, PJS 7/16, Subang Jaya di sini, dan berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan mengikut Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ching Kian Chun menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh yang diwakili peguam bela, Datuk Suraj Singh.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan diperintahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta dilarang mendekati mangsa.

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Budak tujuh tahun sempat panggil bapa sedang nazak – Utusan


Budak tujuh tahun sempat panggil bapa sedang nazak

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Walaupun dalam kesakitan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun menguatkan diri memanggil bapanya yang sedang nazak setelah mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14.1 Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) di sini malam tadi.

Kanak-kanak malang itu, Nurul Ain, membonceng motosikal bersama bapanya, Mohd. Rozlee Ghazali, 33, untuk pulang ke rumah di Perumahan Pantai Permai di sini, apabila kenderaan dinaiki bergesel dengan sebuah motosikal lain pada pukul 9.30 malam.

Akibatnya, Nurul Ain bersama Mohd. Rozlee dan penunggang sebuah lagi motosikal, Sazali Md. Rashid, 51, seorang anggota polis bantuan tercampak dari kenderaan dan mengalami cedera parah.

Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa itu mengalami patah kaki kiri tetapi masih berupaya memanggil bapanya yang sedang nazak sebelum Mohd. Rozlee meninggal dunia di tempat kejadian tidak lama selepas itu.

Dua guru kempunan duit gaji – Sinar Harian


Dua guru kempunan duit gaji

NORFARAHAH OTHMAN
26 Februari 2012
Dua guru kempunan duit gaji

BENTONG – Dua guru berdepan detik cemas apabila bukan sahaja dirompak, tetapi turut dibawa ‘lari’ perompak hampir 30 kilometer dari rumah sebelum dicampak di tepi jalan.
Namun, mereka bernasib baik kerana berjaya ditemui orang awam yang kemudiannya menghubungi polis bantuan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, guru terbabit, Md Fikri Hasbollah, 28, dan rakannya, Ismail Ibrahim, 32, sedang nyenyak tidur di bilik masing-masing di Taman Hijau, Karak dekat sini. Md Fikri berkata, dia dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki dan seorang wanita bersenjatakan parang.

Menurutnya, dia disuruh bangun dan kemudiannya dibawa masuk ke bilik rakannya, Ismail.

“Mereka juga memaksa kami menyerahkan dompet dan barang berharga. Selepas itu mereka bertindak menutup mata kami menggunakan pita pelekat termasuk mengikat kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Md Fikri berkata, salah seorang suspek turut mengarahkannya memberikan nombor pin bank dan mengu­gut akan memotong jarinya sekiranya beri nombor yang salah.

Menurutnya, dia dan rakan terpaksa memberikan nombor yang betul bagi mengelakkan diri diapa-apakan dalam kejadian itu.

“Seingat saya, kami turut dibawa menaiki kereta Kelisa milik Ismail dan diminta tunggu di dalam kereta sementara urusan mengeluarkan duit dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selesai. Saya tidak pasti ke mana kami dibawa selepas itu, tetapi dipercayai sekitar Mentakab,” katanya.

Md Fikri berkata, mereka berdua dipindahkan dari kereta Kelisa ke kenderaan lain dipercayai van yang di dalamnya terdapat beberapa orang lain sebelum dicampakkan ke tepi jalan sekitar kawasan Mentakab. Menurutnya, mereka diselamatkan polis peronda kira-kira jam 7 pagi.

“Kejadian ini sememangnya amat menakutkan dan memberi kesan terhadap emosi. Namun kami bernasib baik tidak diapa-apakan oleh penjenayah terbabit,” katanya.

Manakala bagi, Ismail pula, selain kereta miliknya dilarikan, mereka berdua kempunan menikmati duit gaji bagi bulan ini.

Menurutnya, gaji bulanan baru sahaja masuk dua hari lalu, namun semuanya dikebas perompak itu.

“Kejadian berlaku sememangnya tidak disangka kerana tidak sampai sebulan kami berdua berpindah ke rumah ini. Kami juga masih belum sempat membayar sewa bulanan,” katanya.

Ismail berkata, jumlah kerugian dialami mereka dianggarkan mencecah RM30,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya mengesah­kan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek terlibat dalam kejadian.

“Orang awam mempunyai maklumat diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Susulan kejadian ini, saya menasihatkan penduduk agar peka dengan keadaan persekitaran dan sekiranya ternampak aktiviti mencurigakan, sila lapor kepada balai polis berhampiran dengan segera,” katanya.