Guru kor kadet polis mungkin setara PVR – Bernama


Guru kor kadet polis mungkin setara PVR
15 September 2013

DUNGUN – Polis Diraja Malaysia (PDRM)akan meneliti cadangan agar guru kor kadet polis diberi kuasa setara dengan sukarelawan polis (PVR) bagi membantu mengurangkan kadar jenayah di sekolah.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Datuk Ayub Yaakob berkata jika perkara itu dilaksana, guru-guru terbabit akan diberi latihan secukupnya seperti yang dilalui PVR.

“Bila orang ramai melihat kehadiran pihak guru berpakaian uniform, ini dapat meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap usaha polis membasmi jenayah terutama di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Guru-guru SeMalaysia di sini hari ini. – Bernama

PDRM timbang beri kuasa kepada guru kadet polis – Sinar Harian


PDRM timbang beri kuasa kepada guru kadet polis
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 September 2013
 
  • PDRM timbang beri kuasa kepada guru kadet polisAyub menyempurnakan upacara menanam pokok bunga di Pulapol Rantau Abang, pagi semalam.
< 1 / 1 >

DUNGUN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menimbang untuk memberi kuasa kepada guru kadet polis seperti sukarelawan polis dalam usaha pihak berkuasa itu membanteras jenayah.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakub berkata, perkara tersebut masih dalam peringkat kajian dan ia akan dilaksanakan setelah melihat beberapa sudut lain yang difikirkan dapat membantu polis mencegah jenayah terutama membabitkan pelajar sekolah dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, selain melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik, guru kadet juga boleh mewujudkan persekitaran lebih selamat dengan menunjukkan imej polis ketika berada di sekolah dan di tempat awam.

“Bila mereka dah pakai uniform, kenapa kita tidak boleh beri kuasa polis seperti sukarelawan polis (PVR), dengan cara ini mereka ada kuasa untuk buat tugas kepolisan.

“Dengan adanya cikgu pakai uniform polis, masyarakat akan melihat kehadiran polis, situasi ini akan memberi keyakinan kepada ibu bapa dan masyarakat, keselamatan anak-anak juga terjaga,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Guru-guru Kor
Kadet Polis di Pusat Latihan Polis Rantau Abang, dekat sini, pagi semalam.

Ayub berkata, untuk memastikan idea itu dapat dilaksanakan, PDRM akan memberikan latihan dengan kuasa undang-undang bersesuaian agar guru kor kadet polis dapat melaksanakan tugas kepolisan.

“Selain tugas sebagai pendidik, guru kadet polis ini juga dapat merasakan tanggungjawab sebagai polis.

“Mungkin dalam keadaan tertentu, sebagai tambahan mereka dapat bantu buat penugasan lain,” katanya.

‘Tiada aktiviti rekrut pelajar’ – Sinar Harian


‘Tiada aktiviti rekrut pelajar’
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2013
  • 'Tiada aktiviti rekrut pelajar'Hamzah (kanan) dan Mohd Zaki (dua kanan) ketika ditemui media pada Majlis Seiring dan Sejalan serta Sambutan Bulan Kemerdekaan ATM dan PDRM di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.
< 1 / 1 >

KUALA NERUS – Polis mengesahkan tiada aktiviti merekrut pelajar dalam kegiatan gengsterisme, dikesan di negeri ini. Bagaimanapun pemantauan giat dijalankan di semua sekolah dan IPT agar gejala negatif itu tidak menular.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, langkah proaktif diambil dengan menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis.

Selain itu katanya, langkah lain turut diambil antaranya dengan mengukuhkan kesedaran melalui Kelab Pencegahan Jenayah dan Kor Sukarelawan Polis (Kor-Suksis) yang memberi kesan cukup positif bagi membendung pembabitan pelajar dalam kegiatan tidak bermoral tersebut.

“Tumpuan kita bukan sahaja terhadap pelajar, malah turut melibatkan penuntut IPT supaya tiada usaha pihak tertentu yang cuba untuk menjadikan golongan ini sebagai ahli dalam aktiviti jenayah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Seiring dan Sejalan serta Sambutan Bulan Kemerdekaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.

Hadir sama dalam program kolaborasi membabitkan kedua-dua pasukan keselamatan itu ialah Panglima 8 Briged, Brigidier Jeneral Datuk Mohd Zaki Hamzah dan pegawai kanan kedua-dua agensi berkenaan.

Hamzah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjadikan pelajar sebagai anggota kongsi gelap atau gengsterisme bagi memperluaskan lagi kegiatan jenayah mereka, malah tindakan tegas akan dikenakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Kita juga berharap agar semua pihak termasuk sekolah dapat menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ada pihak atau individu yang cuba untuk merekrut pelajar menjadi ahli kumpulan mana-mana kongsi gelap,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Ops Cantas Khas, beliau berkata, polis kini giat menjalankan pemeriksaan melalui sekatan jalan raya, pusat hiburan serta rumah bagi membendung penularan gejala gengsterisme daripada bertapak di negeri ini.

Hampir 4,000 kanak-kanak didera tahun lalu: Rohani Karim – Bernama


Hampir 4,000 kanak-kanak didera tahun lalu: Rohani Karim

2013/08/11 – 11:17:12 AMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kes penderaan kanak-kanak di negara ini menunjukkan peningkatan dengan 3,831 dilapor menjadi mangsa tahun lepas, bertambah 403 orang berbanding tahun sebelumnya.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, statistik itu adalah berdasarkan laporan yang diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula, sebanyak 1,023 orang mangsa dilaporkan dan 669 daripada mereka adalah perempuan,” katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.

Menurut Rohani antara kes yang sering diterima pihaknya membabitkan penderaan fizikal, emosi, seksual termasuk kes kanak-kanak dibuang.

Bagi menangani masalah ini, kementerian melaksanakan pelbagai langkah jangka pendek dan panjang, katanya.

“Antara langkah jangka pendek ialah menempatkan kanak-kanak yang didera di rumah perlindungan kanak-kanak atau di bawah jagaan seseorang yang layak dan sesuai selama tempoh dinyatakan oleh mahkamah dengan pengawasan seorang pelindung, iaitu pegawai kebajikan masyarakat,” katanya.

Untuk langkah jangka panjang pula, JKM menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran selain menggalakkan penyertaan komuniti dalam usaha menangani dan mencegah masalah ini
Mengenai faktor penderaan kanak-kanak, beliau berkata, terdapat banyak faktor namun semuanya bermula daripada ibu bapa sendiri yang antaranya mungkin mengalami tekanan seperti tekanan di tempat kerja, masalah kewangan serta sebagainya dan mereka melepaskan tekanan kepada anak-anak.

Justeru, ibu bapa yang mempunyai masalah disaran berjumpa dengan pakar motivasi atau JKM sendiri untuk diberi bimbingan dan kaunseling, katanya.

Individu yang didapati melakukan penderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK) iaitu kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya. – BERNAMA

Teknologi biometrik, poligraf dicadang diguna di sekolah – Utusan


Teknologi biometrik, poligraf dicadang diguna di sekolah

 

Oleh OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 25 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan bercadang melaksanakan penggunaan teknologi biometrik dan poligraf di semua sekolah di seluruh negara bagi membendung kegiatan jenayah dan perlanggaran disiplin dalam kalangan pelajar.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, sebagai permulaan sebanyak 230 buah sekolah menengah dan rendah di negeri ini telah mengguna pakai sistem dikenali sebagai Sistem Pencegahan dan Pemantauan Tingkah Laku Pelajar (SPPTP) itu.

Beliau berkata, SPPTP dibangunkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130625/dn_32/Teknologi-biometrik-poligraf-dicadang-diguna-di-sekolah#ixzz2XDpJwys0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Polis siasat kes buli pelajar – Utusan


Polis siasat kes buli pelajar

Oleh NORAZRIN MARZUKI dan BADRUL HAFIZAN MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

SEDUTAN klip video YouTube semalam menunjukkan seorang pelajar diterajang (gambar kiri), ditendang (gambar tengah) dan disiku (gambar kanan) oleh pelajar lain dalam kejadian di Seberang Jaya, Pulau Pinang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 10 April – Polis Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan berhubung kes buli pelajar di sebuah sekolah menengah di negeri itu pada awal Mac lalu yang klip rakamannya kini tersebar luas di laman sosial YouTube.

Menurut kenyataan laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes itu yang berlaku di Seberang Jaya disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Bagaimanapun, melalui maklumat diterima oleh polis, ketiga-tiga pelajar yang membuli itu telah dibuang sekolah selepas diputuskan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, orang ramai dikejutkan dengan klip video selama 1 minit 32 saat yang tersebar di laman sosial YouTube beberapa hari lalu.

Rakaman itu memaparkan seorang remaja berpakaian seragam sekolah telah dibelasah sekumpulan remaja lain dipercayai rakan sekolahnya di dalam sebuah bilik.

Mangsa dilihat tidak melawan walaupun dia diserang secara bertubi-tubi oleh seorang remaja yang memakai baju T berwarna kelabu.

Turut kelihatan di dalam klip itu ialah dua lagi remaja lain yang turut sama membelasah mangsa tanpa rasa belas kasihan dan menggunakan objek keras.

Dipercayai pergaduhan itu disaksikan oleh lebih daripada lima orang dan kebanyakan mereka hanya tertawa dan tidak membantu meleraikan pergaduhan tersebut walaupun mangsa dipukul bertubi-tubi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130411/je_01/Polis-siasat-kes-buli-pelajar#ixzz2Q9NZnOQN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selamat hari jadi – Metro


Selamat hari jadi

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Muhd Izawan Baharin

Sepang: “Sebelum ini hari jadi saya disambut di rumah bersama ahli keluarga saja. Inilah kali pertama hari jadi saya diraikan jauh di Kuala Lumpur,” kata Nur Izzaty Syafiqah Baharin, anak kedua Allahyarham Sarjan Baharin Hamit yang terkorban dalam serangan hendap pengganas Sulu di Kampung Sri Jaya Simunul di Semporna, Sabah, 2 Mac lalu.

Izzaty, 11, ditemani abang, Muhammad Izzat Baharin, 16, dan ibu saudara, Hayati Suarah, 67, bersama Pegawai Pengiring PDRM, Inspektor Noor Sahara Mokhtar dibawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba ke sini bagi menyertai sambutan Hari Polis ke-206 negara hari ini.
Ketibaannya disambut kejutan dengan nyanyian ‘Selamat Hari Jadi’ oleh kira-kira 20 kakitangan Media Prima Bhd (MPB) sebaik melangkah masuk ke Bilik Kemuning, Balai Ketibaan VIP, sejurus tiba dari Sabah semalam.

 

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial MPB Datuk Ahmad A Talib, Ketua Komunikasi Korporat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Wan Abdillah Wan Nawi dan Pengarang Berita Suara Komuniti BH Sariha Mohd Ali.
“Saya tak sangka sama sekali akan ada orang yang mahu menyambut hari jadi saya. Saya berterima kasih dan kalau boleh, saya ingin melawat KLCC,” katanya yang berada di Kuala Lumpur selama lima hari.
Menurutnya, perancangan sebelum ini untuk menyambut hari jadi bersama arwah bapanya dengan keluar makan bersama keluarga, tetapi tidak kesampaian berikutan tragedi di Lahad Datu.

 

Sementara itu, Sariha berkata, kejutan sambutan hari jadi itu terpaksa diawalkan berikutan tarikh sebenar hari lahir Izzaty jatuh pada hari ini, bersamaan Hari Polis ke-206 negara.
“Kami dapat tahu Izzaty datang ke Kuala Lumpur mewakili ibunya (Sumiati Suarah, 51) yang uzur untuk menerima sijil penghargaan daripada PDRM atas pengorbanan bapanya yang gugur di Semporna, baru-baru ini.

 

“Mengikut rancangan awal, majlis ini dijadualkan disambut di Kota Kinabalu, namun diubah selepas dapat tahu Izzaty turun ke sini,” katanya selepas menyampaikan sebuah kamera sebagai hadiah hari jadi sumbangan BH kepada Izzaty.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Kenaikan gaji tingkat kualiti perkhidmatan awam – Utusan


Kenaikan gaji tingkat kualiti perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR 12 Mac – Kenaikan gaji baharu bagi 1.4 juta penjawat awam, polis dan tentera seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, mampu meningkatkan kualiti sektor perkhidmatan awam di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata insentif Sistem Saraan Transformatif (SST) yang diterima warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu untuk meningkatkan lagi prestasi dan keberhasilan pasukan itu.

“Pelarasan gred jawatan dan gaji ini amat disanjung tinggi oleh warga PDRM kerana mampu menyemarakkan sema ngat serta komitmen secara pasukan.

“Malah faedah ini mampu mening katkan lagi produktiviti ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada masyara kat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu semalam memberitahu, Sistem Saraan Transformatif baharu memberi faedah kepada 1.4 juta penjawat awam melibatkan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) yang bermula Julai ini dengan kenaikan antara RM80 dan RM350 melibatkan RM1.5 bilion.

Pelaksanaan itu turut melibatkan penyelarasan gred gaji pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM dengan Perkhidmatan Awam Am.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri pula berkata, langkah itu merupakan inisiatif kerajaan dalam membela nasib mereka selain meningkatkan produktiviti perkhidmatan ke arah mencapai negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.

“Kenaikan itu mampu menjadikan mereka lebih bersemangat dalam menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan iaitu rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (UiTM), Zulkifli Mohamed berkata, pengumuman Najib itu disifatkan antara langkah dalam menyelesaikan masalah gred gaji maksimum bagi penjawat awam.

“SST yang diumumkan Perdana Menteri dilihat membela nasib penjawat awam khususnya yang berada gred maksimum. Dengan sistem ini, mereka menerima tiga kenaikan gaji baharu,” katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengumuman Perdana Menteri semalam merupakan bonus dalam menghargai pengorbanan penjawat awam.

“Pengumuman kenaikan gaji itu menaikkan semangat pasukan ATM dan PDRM dan seterusnya memberi motivasi kepada mereka untuk memberikan komitmen kepada negara,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor (Cassa), Datuk Dr. Jacob George pula berkata, beliau berharap tiada tanggapan negatif terhadap kenaikan gaji itu memandangkan tarikh pilihan raya umum semakin hampir.

“Kenaikan harga barang mungkin akan berlaku dan saya harap tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan di sebalik kenaikan gaji ini,” tambahnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130313/dn_20/Kenaikan-gaji-tingkat-kualiti-perkhidmatan-awam#ixzz2NP5bRMrG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Cuepacs mahu kakitangan awam sabar, tunggu pengumuman akhir tahun – Sinar Harian


Cuepacs mahu kakitangan awam sabar, tunggu pengumuman akhir tahun

JAMILAH HAMZAH
12 Mac 2013
Cuepacs mahu kakitangan awam sabar, tunggu pengumuman akhir tahun
Intipati Sistem Saraan Transformatif.

SHAH ALAM – Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman mengakui menerima maklum balas kurang menyenangkan daripada kakitangan awam berikutan insentif saraan baru yang diumumkan oleh kerajaan semalam tetapi mahu pihak terbabit bersabar menanti pengumuman susulan akhir tahun ini.

Sehubungan itu kata beliau, Cuepacs akan turun padang untuk memberi penjelasan kepada kakitangan awm mengenai kesan dan implikasi dan langkah susulan yang dikaji oleh kerajaan.

Beliau berkata, ramai yang keliru dengan pengumuman yang dibuat kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya menyentuh kepada dasarnya sahaja.

Cuepacs sebelum ini antara lain menuntut kajian semula bayaran elaun sara diri (cola) dan imbuhan tetap perumahan.

Omar berkata, walaupun elaun cola dan perumahan tidak diumumkan kerajaan, namun kenaikan gaji tahunan (KGT) lebih baik untuk kakitangan awam.
“Saya akan turun padang memberi penjelasan kepada kakitangan awam.

“Ramai yang beritahu dan bagi maklum balas mengenai pengumuman Najib itu, tapi apabila saya beri penjelasan, mereka faham.

“KGT itu lebih penting, akan dinaikkan dari semasa ke semasa, tuntutan dua perkara itu akan diumumkan hujung tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Mengulas lanjut, Omar juga berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenaikan pangkat adalah tepat pada masanya.

Katanya, kerajaan telah menyuntik semangat pasukan keselamatan dan tuntutan yang dibuat oleh kakitangan awam juga akan terus diperjuangkan.

“Ini masa terbaik untuk kerajaan umumkan perkara baik buat pejuang kita, boleh naikkan semangat mereka di sana (Lahad Datu).

“Namun tuntutan kita sebelum ini juga akan terus kita perjuangkan,” katanya lagi.

Tambah beliau, kakitangan kerajaan perlu bersyukur dan menanti pengumuman yang bakal dibuat oleh kerajaan tidak lama lagi kepada 1.4 juta kakitangan awam.

“Bukan mudah kerajaan nak laksanakan kepada hampir 1.4 juta kakitangan awam, kita perlu bersyukur dan menanti dengan sabar,” katanya

1.4 juta penjawat awam dapat kenaikan gaji awal – Kosmo


1.4 juta penjawat awam dapat kenaikan gaji awal

 

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR dan NOR SYARIZA MUHD. TAHIR
berita@kosmo.com.my

 

NAJIB memberi ucapan kepada kira-kira 8,000 penjawat awam yang menghadiri Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 di PICC, Putrajaya semalam.

 

PUTRAJAYA – Kira-kira 1.4 juta penjawat awam bakal menerima faedah pemindahan gaji sebanyak satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai depan.

Selain itu, 102,434 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 131,904 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat nikmat tambahan apabila pangkat dan gaji mereka mereka akan disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan kenaikan gaji awal itu berkata, setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320 bergantung kepada gred gaji mereka.

Beliau berkata, ia melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion.

“Ini dilakukan bagi menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2NJXa4Sbi
Hakcipta terpelihara