Cuepacs mahu kakitangan awam sabar, tunggu pengumuman akhir tahun – Sinar Harian


Cuepacs mahu kakitangan awam sabar, tunggu pengumuman akhir tahun

JAMILAH HAMZAH
12 Mac 2013
Cuepacs mahu kakitangan awam sabar, tunggu pengumuman akhir tahun
Intipati Sistem Saraan Transformatif.

SHAH ALAM – Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman mengakui menerima maklum balas kurang menyenangkan daripada kakitangan awam berikutan insentif saraan baru yang diumumkan oleh kerajaan semalam tetapi mahu pihak terbabit bersabar menanti pengumuman susulan akhir tahun ini.

Sehubungan itu kata beliau, Cuepacs akan turun padang untuk memberi penjelasan kepada kakitangan awm mengenai kesan dan implikasi dan langkah susulan yang dikaji oleh kerajaan.

Beliau berkata, ramai yang keliru dengan pengumuman yang dibuat kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya menyentuh kepada dasarnya sahaja.

Cuepacs sebelum ini antara lain menuntut kajian semula bayaran elaun sara diri (cola) dan imbuhan tetap perumahan.

Omar berkata, walaupun elaun cola dan perumahan tidak diumumkan kerajaan, namun kenaikan gaji tahunan (KGT) lebih baik untuk kakitangan awam.
“Saya akan turun padang memberi penjelasan kepada kakitangan awam.

“Ramai yang beritahu dan bagi maklum balas mengenai pengumuman Najib itu, tapi apabila saya beri penjelasan, mereka faham.

“KGT itu lebih penting, akan dinaikkan dari semasa ke semasa, tuntutan dua perkara itu akan diumumkan hujung tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Mengulas lanjut, Omar juga berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenaikan pangkat adalah tepat pada masanya.

Katanya, kerajaan telah menyuntik semangat pasukan keselamatan dan tuntutan yang dibuat oleh kakitangan awam juga akan terus diperjuangkan.

“Ini masa terbaik untuk kerajaan umumkan perkara baik buat pejuang kita, boleh naikkan semangat mereka di sana (Lahad Datu).

“Namun tuntutan kita sebelum ini juga akan terus kita perjuangkan,” katanya lagi.

Tambah beliau, kakitangan kerajaan perlu bersyukur dan menanti pengumuman yang bakal dibuat oleh kerajaan tidak lama lagi kepada 1.4 juta kakitangan awam.

“Bukan mudah kerajaan nak laksanakan kepada hampir 1.4 juta kakitangan awam, kita perlu bersyukur dan menanti dengan sabar,” katanya

1.4 juta penjawat awam dapat kenaikan gaji awal – Kosmo


1.4 juta penjawat awam dapat kenaikan gaji awal

 

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR dan NOR SYARIZA MUHD. TAHIR
berita@kosmo.com.my

 

NAJIB memberi ucapan kepada kira-kira 8,000 penjawat awam yang menghadiri Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 di PICC, Putrajaya semalam.

 

PUTRAJAYA – Kira-kira 1.4 juta penjawat awam bakal menerima faedah pemindahan gaji sebanyak satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai depan.

Selain itu, 102,434 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 131,904 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat nikmat tambahan apabila pangkat dan gaji mereka mereka akan disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan kenaikan gaji awal itu berkata, setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320 bergantung kepada gred gaji mereka.

Beliau berkata, ia melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion.

“Ini dilakukan bagi menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2NJXa4Sbi
Hakcipta terpelihara

87 elaun dikaji semula – Berita Harian


87 elaun dikaji semula

Putrajaya: Nasib kakitangan awam akan lebih terbela berikutan keputusan kerajaan mengkaji semula 87 elaun termasuk elaun bantuan sara hidup (COLA) serentak dengan penambahbaikan 22 skim perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata penambahbaikan itu dijangka siap sebelum hujung tahun ini dan diumumkan sama ada pada akhir November atau awal Disember ini.

Syor skim perumahan khas

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membuat cadangan kepada kerajaan mewujudkan skim perumahan khas kakitangan awam, terutama generasi muda.

Ramai penjawat awam yang mahu memiliki rumah di bandar besar tapi tidak kesampaian kerana kenaikan mendadak harga rumah. Kita akan lihat sama ada skim yang disyorkan ini boleh digabungkan dengan skim perumahan PR1MA. Kita juga akan tambah unit kuarters di tempat yang diperlukan, katanya.

Ali turut menolak tanggapan negatif bahawa insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah buah tangan pilihan raya kerana pelarasan gaji dan jawatan serta penambahbaikan perkhidmatan awam diumumkan setiap tahun.

Tarik minat jadi tentera
Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, percaya keserataan pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan perkhidmatan awam am akan menarik minat lebih ramai menyertai pasukan keselamatan.

Keserataan gred jawatan dan gaji ini adalah satu lonjakan drastik untuk ATM serta PDRM dan kita amat menghormati peranan mereka.

Saya percaya, inisiatif untuk kakitangan awam am lain juga berupaya menggerakkan mereka supaya lebih produktif, katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan kerana 22 isu berhubung kakitangan awam berjaya diselesaikan sejak lima tahun lalu.

Remaja antara 3 ditahan menyamar polis – Utusan


Remaja antara 3 ditahan menyamar polis

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my

TIGA termasuk dua remaja ditahan selepas menyamar sebagai polis di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Dua remaja antara tiga yang ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis ketika cuba untuk memeras ugut seorang penunggang motosikal warga Pakistan di Jalan Loke Yew di sini awal pagi ini.

Lebih mengejutkan, kesemua mereka mempunyai lebih 10 kelengkapan polis termasuk sijil kepolisan, siren polis, kad e-komuniti polis, wisel, walkie-talkie, but polis, sarung tangan polis dan T-Baton yang boleh dilaraskan.

Ketiga-tiga suspek masing- masing berusia 15, 18 dan 20 tahun itu diberkas semasa sedang menahan lelaki warga asing itu yang berusia 32 tahun.

Semasa kejadian pukul 3.30 pagi, kesemua suspek dikatakan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi yang dilengkapi dengan siren polis.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek menjerit dan memperkenalkan diri sebagai polis serta mengarahkan mangsa berhenti di bahu jalan.

Kesemua suspek yang memakai baju T lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM), kemudian menghampiri penunggang itu lalu mengeluarkan sebuah buku kecil biru juga berlambang PDRM.

Menurut Ketua Unit Penguat Kuasa Khas, Trafik Kuala Lumpur, Asisten Supritendan Azmi Wahid, suspek mengarahkan mangsa menunjukkan lesen memandu, cukai jalan dan pasport.

“Bagaimanapun sebelum sempat mangsa mengeluarkan dompet, lima anggota peronda polis yang secara kebetulan melalui jalan tersebut menghampirinya selepas dilihat dalam situasi mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga suspek menipu warga asing itu dengan menyamar sebagai anggota polis. Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut.

“Siasatan turut mendapati dua remaja berkenaan tidak bersekolah dan bekerja sebagai penjual cakera padat serta pemasang wayar,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121111/je_01/Remaja-antara-3-ditahan-menyamar-polis#ixzz2ByBkfY2j
© Utusan Melayu (M) Bhd

Lantik guru sertai PVR – Utusan


Lantik guru sertai PVR

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang melantik guru sekolah sebagai anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) bagi menangani masalah jenayah di kawasan sekolah terutama kes penculikan pelajar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, dalam pembentangan Bajet 2013, kerajaan telah meluluskan penambahan 10,000 anggota PVR dengan peruntukan berjumlah RM70 juta.

Beliau berkata, penambahan anggota PVR membolehkan pasukan keselamatan itu meningkatkan kehadiran anggotanya di kawasan awam termasuk pusat beli-belah, kawasan perumahan dan sekolah dalam usaha mencegah jenayah.

“Kita mahu anggota polis bersifat omnipresence (terdapat di mana-mana) di lokasi yang menjadi tumpuan awam seperti pusat beli-belah, taman perumahan dan juga sekolah.

 

Lapor rogol gadis bawah umur – Utusan


Lapor rogol gadis bawah umur

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memandang serius dan bersedia menyiasat kes-kes rogol yang dilaporkan terutama membabitkan gadis bawah umur.

Sehubungan itu, ujar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, orang ramai tidak perlu takut untuk membuat laporan jika mereka menjadi mangsa rogol atau mengetahui mengenai jenayah tersebut.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menyiasat semua laporan kes yang diterima tetapi terserah kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dan mahkamah untuk menentukan nasib suspek yang didakwa dalam kes berkenaan.

“Polis ada kuasa untuk menyiasat kes tetapi tindakan selanjutnya seperti pendakwaan dan menjatuhkan hukuman adalah terletak di bawah bidang kuasa DPP dan mahkamah.

PDRM perluas rondaan di sekolah seluruh negara – Bernama


PDRM perluas rondaan di sekolah seluruh negara
2012/06/25

KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperluaskan rondaan di sekolah seluruh negara terutamanya di kawasan berisiko bagi memantau keselamatan pelajar, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, anggota polis dengan bantuan Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) akan melakukan rondaan di kawasan sekolah pada waktu pagi, tengah hari dan petang.
“Kita sudah memperkenalkan program rondaan ini di sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur dan Selangor sejak dua bulan lalu dan selepas ini kita akan melanjutkan program seumpama ini ke semua sekolah berisiko tidak lama lagi.
“Dengan program yang dilaksanakan ini, masyarakat akan menyedari kehadiran pihak berkuasa di kawasan panas dan sering berlaku jenayah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi dan Menutup Majlis Peringatan Hari Polis di Pulau Duyong, di sini, hari ini.

Khalid berkata, dengan inisiatif yang dilakukan itu, masyarakat akan merasa lebih selamat.

Katanya, dua anggota polis dan tiga anggota RELA akan melakukan rondaan itu, namun jumlah tersebut bergantung mengikut kesesuaian sesuatu tempat berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih memantau beberapa sekolah yang dianggap berisiko untuk menempatkan anggota keselamatan bagi memantau keselamatan pelajar.
Sementara itu, beliau berkata kira-kira 100,000 pegawai dan anggota polis digerakkan dalam melakukan rondaan bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan RELA di bawah program Rondaan 1Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara.

Melalui program yang dimulakan tahun lalu itu, indeks kadar jenayah negara berjaya diturunkan sebanyak 10.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei 2012 berbanding tempoh sama tahun lalu. – BERNAMA

3 budak ke CIC bantu siasatan – Metro


3 budak ke CIC bantu siasatan
TANAH MERAH: Tiga kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun dihantar ke pusat temu duga kanak-kanak (CIC) di Pulau Pinang, kelmarin, bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut akibat tertembak pistol bapa saudaranya di Ketereh Jumaat lalu.

CIC diwujudkan sejak 2002 sebagai pusat di bawah kendalian Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi mengambil keterangan kanak-kanak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, tiga kanak-kanak itu berada bersama mangsa ketika kejadian dan maklumat daripada mereka penting untuk melengkapkan siasatan.

“Tiga kanak-kanak itu ialah sepupu dan seorang rakan mangsa berusia antara lima hingga enam tahun.
“Polis akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu walaupun bapa mangsa, (Noor Hisham Abdul Aziz, 50) mendakwa dimaklumkan anggota Bahagian Forensik, bahawa siasatan awal yang dilakukan mendapati tiada kesan cap jari mangsa pada pistol.
“Saya ingin menegaskan bahawa polis tidak akan sewenang-wenangnya menerima sebarang laporan tanpa menjalankan siasatan secara terperinci, malah polis sedang mencari bukti bagaimana pistol itu diletupkan,” katanya kepada pada sidang media selepas selepas program ‘Walk About – High Profile Policing,’ di sini, semalam.

Turut hadir ialah , Pegawai Jajahan Tanah Merah, Zamri Ismail; Penasihat Kelab Sahabat Keselamatan Tanah Merah, Datuk Ir Shaari Hassan dan Ketua Polis Tanah Merah, Deputi Superintendan Abd Aziz Mahmud.

Keselamatan pelajar tugas teras polis: KPN – Bernama


Keselamatan pelajar tugas teras polis: KPN
2012/06/08

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, hari ini menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuk pelajar sekolah adalah tugas dan tanggungjawab teras Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan terus membantu pihak sekolah meningkatkan kawalan dan rondaan di sekolah di sekitar Lembah Klang terutama pada waktu puncak persekolahan.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, semalam bahawa kementerian akan memperluaskan skop rondaan bersama antara PDRM dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekolah termasuk sekolah antarabangsa di Lembah Klang.
PDRM menyambut baik kenyataan itu, kata Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahim turut berkata, langkah itu sebagai meneruskan inisiatif ‘omnipresence’ di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara.

‘Omnipresence’ merujuk kepada kehadiran polis yang dapat mengurangkan perasaan takut menjadi mangsa jenayah dalam kalangan orang ramai, meluaskan pembabitan antara rakyat dan pasukan keselamatan serta menjadi penghalang kepada bakal penjenayah. – BERNAMA

Polis, RELA perluas rondaan ke sekolah – Bernama


Polis, RELA perluas rondaan ke sekolah
2012/06/07

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri akan memperluaskan skop rondaan bersama di antara Polis Diraja Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekolah termasuk sekolah antarabangsa di Lembah Klang.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata rondaan akan dijalankan pada waktu puncak persekolahan.
“Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, langkah itu juga sebagai meneruskan kejayaan inisiatif “omnipresence” di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). – BERNAMA