Polis tahan dua budak giat curi motosikal – Bernama


Polis tahan dua budak giat curi motosikal


2011/04/28

BALIK PULAU: Seorang budak lelaki berumur 11 tahun dan rakan perempuannya berumur 12 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian motosikal di sekitar kawasan Teluk Kumbar di sini sejak sebulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Far Hin berkata, kedua-dua mereka dipercayai giat menjalankan kegiatan mencuri motosikal bagi tujuan berseronok dan bersiar-siar.

“Polis menahan kedua-duanya pada petang semalam ketika mereka sedang meronda (bersiar-siar) di kawasan flat di Teluk Kumbar dan siasatan mendapati motosikal yang ditunggang itu dilaporkan hilang pada Selasa lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan lanjut, polis menemui tiga buah motosikal yang disembunyikan di kawasan semak berhampiran rumah mereka tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

Beliau berkata, mereka dipercayai akan menyembunyikan motosikal yang dicuri setelah kehabisan minyak selepas bersiar-siar.

Lai berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua budak itu akan merayau-rayau di sekitar kawasan flat berkenaan selepas waktu persekolahan dan melakukan kegiatan mencuri dengan menggunakan pisau kecil bagi menghidupkan enjin motosikal.

Katanya, kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam kes berlainan, katanya, polis menahan tiga lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah pejabat dan mencuri 23 unit komputer riba dianggarkan bernilai RM35,000 di Krsytal Point di Bayan Baru dekat sini pada Isnin lalu.

Lai berkata, ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 23 hingga 30 tahun itu ditahan pada kira-kira jam 2 pagi di rumah masing-masing di George Town selepas polis menerima maklumat daripada pemilik pejabat itu berhubung kes kecurian terbabit.

“Setelah mengeledah rumah salah seorang daripada lelaki terbabit, polis menemui semula sebanyak 11 unit komputer riba berbagai jenama dan peralatan pecah rumah,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki itu yang bekerja sebagai mekanik audio kereta, tukang paip dan penjual aksesori telefon bimbit di pasar malam telah menjual 12 buah komputer riba dengan harga RM200 hingga RM500 seunit. – BERNAMA