Polis tahan tiga pelajar sekolah menengah pukul rakan – Bernama


Polis tahan tiga pelajar sekolah menengah pukul rakan

2013/04/11 – 16:03:01 PMCetakEmel Kawan
BUTTERWORTH: Polis menahan tiga pelajar sekolah menengah di Seberang Jaya, dekat sini yang sebelum ini dikenakan tindakan buang sekolah berhubung kes pukul seorang pelajar di sekolah sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, tiga pelajar berusia 15 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di sekitar Seberang Jaya di sini pada 11 malam tadi.

“Kita tahan mereka semalam untuk ambil keterangan bagi melengkapkan siasatan. Jika polis dapat melengkapkan keterangan hari ini kita akan bebaskan pelajar terbabit.

“Sekiranya masih belum cukup (keterangan), polis akan mendapatkan perintah reman terhadap mereka, semua itu bergantung kepada hasil siasatan kita,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini, polis sudah merakamkan percakapan lapan orang termasuk mangsa, pelajar yang merakamkan video pergaduhan itu dan guru di sekolah berkenaan.

Mazlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

Semalam, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin dipetik sebagai berkata, jabatannya sudah membuang tiga pelajar dari sebuah sekolah menengah di Seberang Jaya di sini selepas didapati bersalah memukul seorang pelajar dalam kejadian 4 Mac lalu.
Kejadian itu dikatakan berpunca apabila tiga pelajar tingkatan tiga terbabit berang dengan tindakan ketua tingkatan yang mahu membuat laporan kepada guru kerana mereka membawa telefon mudah alih ke sekolah.

Perbuatan mereka dirakam dan tersebar luas dalam laman YouTube sejak beberapa hari lalu dan mendapat komen negatif daripada orang ramai. – BERNAMA