Kementerian, polis tangani isu peralat anak yatim – Utusan


Kementerian, polis tangani isu peralat anak yatim

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menggunakan sepenuhnya peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menangani isu eksploitasi golongan itu dalam aktiviti mengutip dana awam.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, satu perbincangan dengan PDRM termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diadakan Selasa lalu bagi tujuan tersebut.

“Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menangani isu ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat wakil khas Amerika Syarikat (AS) ke negara-negara Islam, Farah Anwar Pandith di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan berhubung penggunaan kanak-kanak dalam menjalankan aktiviti meminta sedekah yang berselindung di sebalik nama institusi atau rumah anak-anak yatim yang didapati kembali aktif sejak kebelakangan ini.

Malah dalam tinjauan yang dilakukan Utusan Malaysia di sekitar Lembah Klang turut mendapati sebuah pusat tahfiz anak-anak yatim di Kedah yang pernah diarah menghentikan operasi serta-merta oleh pihak berkuasa masih menjalankan aktiviti itu.

Shahrizat berkata, antara persetujuan yang dicapai dalam perbincangan dengan beberapa agensi itu termasuklah mengadakan operasi bersepadu bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelamatkan kanak-kanak yang didapati digunakan bagi aktiviti mengutip derma.

“PDRM pula akan menahan, menyiasat dan mendakwa pihak yang dikesan mengeksploitasi kanak-kanak,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang diselamatkan pula boleh dikenakan bon oleh pihak mahkamah di bawah Seksyen 30 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memastikan mereka tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan golongan itu.

Menurutnya, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali terhadap sesiapa yang didapati bersalah mengeksploitasi kanak-kanak untuk mendapatkan dana.