Remaja langgar polis trafik tukar pengakuan tidak bersalah – Bernama


Remaja langgar polis trafik tukar pengakuan tidak bersalah

 

04/09/2013 9:03pm

 

BESUT – Seorang pelajar Tingkatan Enam yang didakwa memandu secara melulu dan membahayakan hingga menyebabkan seorang pegawai polis trafik putus kaki kanan, pada Julai lepas, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Burhanuddin Mohd., 19, dari Jalan Kubur, Kampung Beris Lampu, Kuala Besut, mengaku bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah berkenaan pada 5 Ogos lepas.

Bagaimanapun, apabila dihadapkan semula ke mahkamah untuk mendengar hukuman, tertuduh menukar pengakuannya kepada tidak bersalah.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Mohd. Burhanuddin didakwa melanggar Insp. Farid Hasni Mamat, 33, yang menunggang sebuah motosikal polis jenis Honda VTR800, ketika mangsa menjalankan tugas semasa kempen pilihan raya kecil Deqwan Undangan Negeri Kuala Besut. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_26.htm#ixzz2dvfXdhli
Hakcipta terpelihara

Nekad lari melawan arus – Sinar Harian


Nekad lari melawan arus

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mei 2013
Nekad lari melawan arus
Lima pelajar yang ditahan kerana cuba melarikan diri daripada polis.
Nekad lari melawan arus
Keadaan van yang dipandu suspek selepas terbabas.

KULIM – Polis menahan lima pelajar lelaki berusia antara 15 dan 16 tahun kerana cuba melarikan diri dengan van Nissan Vennete, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan, Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian polis trafik yang membuat rondaan pencegahan jenayah ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti.

Namun, menurutnya, suspek bertindak agresif dengan memandu van dinaiki mereka melawan arus sebelum melarikan diri ke Kulim Hi-Tech.

“Tiba di Kulim Golf Club, suspek membuat pusingan U dan memecut ke Jalan Kilang Lama setelah disekat kereta peronda polis.

“Suspek kemudiannya membelok ke Taman Senangin menuju ke Taman PKNK sebelum membelok masuk ke lorong tikus menuju ke Taman Nilam Baiduri,” katanya.

Memandangkan jalan yang digunakan itu tidak siap sepenuhnya, van dipandu suspek terbabas sebelum terbalik ke dalam semak.

Peronda trafik yang tiba di tempat kejadian mengarahkan semua suspek keluar dari van terlibat sebelum pemeriksaan dijalankan terhadap mereka.

“Siasatan mendapati, pemandu van tidak mempunyai lesen memandu yang sah, manakala van itu milik ibunya,” katanya.

Semua suspek terlibat dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk ujian saringan air kencing sebelum diambil keterangan.

Ghuzlan berkata, pemandu van itu melarikan diri kerana takut disaman atas kesalahan tidak memiliki lesen.

“Jangan mengambil tindakan di luar kawalan sehingga boleh mengakibatkan kemalangan maut atau kecederaan parah kepada pengguna jalan raya lain.

“Sekiranya tidak mahu tindakan saman dikenakan, pengguna dinasihatkan untuk mengambil lesen,” katanya.

Curi motosikal untuk ganti enjin rosak – Metro


Curi motosikal untuk ganti enjin rosak

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Terdesak mencari enjin untuk motosikal yang rosak, seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Setapak sanggup mencuri sebuah motosikal di stesen LRT Taman Melati di sini.

Remaja berkenaan bukan saja menukar enjin motosikal Honda EX5 itu ke motosikal miliknya malah turut meleraikan komponennya untuk dijual kepada pemborong besi buruk dan memperoleh pendapatan bernilai ratusan ringgit.
Bagaimanapun, remaja berusia 17 tahun itu yang menggunakan enjin curi itu sejak September tahun lalu tidak bernasib baik selepas dicekup sepasukan polis dari Unit Kuat Kuasa Khas ketika melakukan rondaan Ops Samseng Jalan raya di Tasik Titiwangsa kira-kira jam 12.10 pagi semalam.

 

Pegawai Turus Kuat Kuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika anggotanya membuat rondaan, mereka mengesan sekumpulan remaja bermotosikal sedang melepak di kawasan tasik dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah motosikal Honda EX5 warna merah dalam kumpulan itu mendapati nombor enjin kenderaan itu adalah milik sebuah motosikal lain,” katanya.
Menurutnya, motosikal berkenaan bersama penunggangnya iaitu seorang remaja berusia 17 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

 

Katanya, siasatan lanjut mendapati remaja itu mengaku mencuri sebuah motosikal yang diletakkan di stesen LRT Taman Melati kerana terdesak untuk mendapatkan enjin bagi motosikalnya yang rosak ketika itu.
“Siasatan lanjut menggunakan Sistem Kompol mendapati motosikal yang dicuri remaja itu dilaporkan hilang pada 29 September tahun lalu dan ia adalah milik seorang jurutera.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Rekrut rakan sekolah, adik sertai geng samun – Metro


Rekrut rakan sekolah, adik sertai geng samun

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun dikesan merekrut rakan sekolah dan adik kandungnya untuk menyertai kumpulan samun diketuainya sebagai cara mudah mendapat wang belanja harian.

Difahamkan, kumpulan samun yang diketuai remaja bawah umur terbabit bergerak dengan motosikal sebelum menyamun mangsa secara rambang di kawasan gelap sekitar Bandar Tasik Sri Permaisuri.
Lebih mengejutkan, ketua kumpulan samun cilik yang dianggotai tujuh remaja berusia 15 hingga 19 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau membabitkan samun kedai runcit setahun lalu dan masih berada di bawah perintah pengawasan mahkamah yang tamat Julai depan.

 

Mendedahkan mengenai kumpulan samun cilik terbabit, Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kegiatan kumpulan samun remaja itu terbongkar selepas pihaknya menerima maklumat daripada seorang mangsa mereka, awal pagi semalam.
Menurutnya, ketika sepasukan anggota bertugas di kawasan berkenaan, mereka didatangi seorang remaja berumur 14 tahun yang mendakwa disamun tujuh remaja bermotosikal.
“Sebaik menerima aduan, anggota berkenaan membawa mangsa ke kawasan perumahan berhampiran dan ternampak sekumpulan remaja berkumpul dalam keadaan mencurigakan.

 

 

“Anggota itu mendekati kumpulan remaja terbabit dan selepas memperkenalkan diri sebagai polis, mereka cuba melarikan diri namun lima daripada mereka ditahan,” katanya, semalam.
Beliau berkata, sebaik ditahan mangsa membuat pengecaman dan menyatakan kumpulan itu yang menyamunnya sejam sebelum itu dan lima remaja terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

 

Katanya, pemeriksaan dalam poket seluar remaja berusia 16 tahun yang dipercayai ketua kumpulan samun itu membawa kepada penemuan sebuah telefon bimbit milik mangsa.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ketua kumpulan samun itu pernah ditahan atas kesalahan samun kedai runcit di kawasan sama tahun lalu dan dia dikenakan tindakan perintah pengawasan mahkamah selama dua tahun yang tamat pada 18 Julai depan.
“Meskipun, masih berada di bawah perintah pengawasan mahkamah, remaja ini masih meneruskan kegiatan jenayah, malah merekrut ahli baru untuk kumpulan samunnya dari kalangan rakan sekolah dan adik kandungnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/02

Padah tidak pakai topi keledar – Sinar Harian


Padah tidak pakai topi keledar

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Disember 2012
Padah tidak pakai topi keledar
Anggota polis memeriksa mayat remaja yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Sungai Buloh arah Kepong, semalam.

PETALING JAYA – Padah menunggang motosikal tanpa topi keledar, seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang  sebuah  lori 11 tan di Lebuhraya Sungai Buloh arah Kepong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa Ravind Raj, 16, tercampak selepas  gagal mengelak lori yang mahu membelok ke  kiri  untuk ke Sri  Damansara.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal  Honda EX 5 cedera parah bahagian kepala mati serta merta di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dari rumahnya di Damansara Damai menggunakan lebuh raya untuk ke Kepong.

“Ketika kejadian sebuah kereta Proton  Wira dari arah yang sama cuba mengelak melanggar mangsa turut dilanggar sebuah lagi lori menyebabkan pemandunya gagal mengawal lalu terbabas melanggar pembahagi jalan,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah dapat mengenal pasti lori yang terlibat dalam kemalangan itu bagaimanapun pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita masih menyiasat lagi punca kejadian dan beberapa keterangan dari saksi  sudah diambil,” katanya

Katanya, kes di siasat dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Sementara itu, suasana di tempat kejadian sayu apabila ahli keluarga yang hadir meratapi kematian mangsa.

Kemalangan juga menyebabkan laluan itu sesak sepanjang dua kilometer berikutan sikap pemandu yang memperlahankan kenderaan ketika melalui tempat kejadian dan  keadaan itu terpaksa dikawal oleh anggota polis trafik bertugas.

Krisis keluarga punca gadis 12 tahun liar – Metro


Krisis keluarga punca gadis 12 tahun liar

Oleh KALIDEVI MOGAN KUMARAPPA
kalidevi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Akibat tabiat si bapa yang gemar memukul ibunya, anak perempuan pasangan berkenaan berusia 12 tahun menunggang motosikal tanpa lesen sejauh 40 kilometer (km) untuk mencari hiburan sebelum dicekup dalam Ops Samseng Jalan Raya di sekitar ibu kota, semalam.

Kanak-kanak bawah umur itu juga berhenti sekolah sejak sebulan lalu kerana mendakwa tidak mampu fokus pada pelajarannya akibat krisis keluarganya.
Ketua Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, kanak-kanak itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda bersama seorang rakannya berumur 16 tahun ditahan untuk pemeriksaan.

 

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua remaja berasal dari Kajang itu tidak memiliki lesen memandu dan tidak membawa kad pengenalan.
“Siasatan lanjut mendapati mereka keluar dari rumah pada awal pagi menaiki sebuah motosikal milik ahli keluarga dan menuju ke Kuala Lumpur untuk mencari hiburan.
“Mereka mengaku mencari ketenangan dan mengalami tekanan akibat tabiat bapa yang suka memukul ibu di depan anak-anak,” katanya kepada Metro Ahad, semalam.

 

 

Katanya, kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur sebelum ibu bapa masing-masing diminta hadir untuk diberi amaran.
Azmi berkata, turut ditahan seorang lelaki berumur 24 tahun yang bekerja sebagai pekerja landskap atas kesalahan menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.

 

“Sebanyak 92 saman dikeluarkan selepas memeriksa 230 kenderaan dalam operasi yang dijalankan dari 12 tengah malam hingga 3 pagi,” katanya.

Saksi abang maut depan mata – Metro


Saksi abang maut depan mata

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LIPIS: Seorang gadis hanya mampu menahan linangan air mata selepas melihat abang kandungnya maut di depan mata selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan, di Kilometer 22, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi, mangsa, Amir Shariff Suhaimi, 17, yang tinggal di Merapoh, dekat sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hasan berkata, adik mangsa, Azwani Wan Shazarina, 13, mengalami kecederaan ringan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk menerima rawatan.

 

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa bersama adiknya menaiki motosikal dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Merapoh sambil dipercayai mengekori rapat sebuah motosikal lain dari arah sama.
Bagaimanapun, katanya penunggang motosikal itu dikatakan membrek secara mengejut menyebabkan mangsa bersama adiknya bergesel dengan penunggang berkenaan sebelum mangsa tercampak ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dikatakan datang dari arah bertentangan dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa sambil diperhatikan Azwani yang terjatuh di tepi jalan.

 

 

“Susulan kejadian terbabit, pemandu pacuan empat roda berkenaan bertindak melarikan diri dari tempat kejadian sebelum mayat mangsa dibawa ke HKL untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, adik mangsa bersama seorang lagi penunggang turut dibawa ke HKL bagi mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang.

 

Katanya, sehingga kini pemandu kenderaan pacuan empat roda yang melanggar mangsa masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit dan polis meminta saksi bebas tampil di Balai Polis Trafik bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 18/08/2012

Remaja maut, motosikal rempuh kereta ketika merempit – Bernama


Remaja maut, motosikal rempuh kereta ketika merempit

24 Julai 2012
BUKIT MERTAJAM – Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal yang ditunggang memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Merah, Permatang Pauh, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ASP S. Manogaran berkata Aqmar Azwar Zulkifli, 16, dari Taman Ara Indah di sini, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pukul 10.40 malam itu.

Remaja itu dipercayai menunggang dengan laju bersama sekumpulan rakan apabila motosikalnya memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta tersebut, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Manogaran berkata pelajar itu juga tidak memiliki lesen memandu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 41 (1)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Bernama

Kasihmu ibu… – Metro


Kasihmu ibu…

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang wanita yang mahu menukar kasut di kedai sebelum menghantar bekalan makanan anaknya di sekolah bertukar tragedi selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kepong-Jinjang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian selepas kepalanya hancur digilis kenderaan berat.
Mangsa, K Punitha, 39, dipercayai dalam perjalanan ke kedai kasut selepas kasut baru yang dibelikan untuk anak keduanya yang berusia 16 tahun tidak sepadan dengan kaki.

 

Sumber polis trafik berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan sebelum diseret beberapa meter menyebabkan mangsa terjatuh.
“Sebuah kenderaan berat yang tidak dikenal pasti dipercayai mengekori motosikal mangsa dari belakang tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala mangsa sebelum pemandu kenderaan itu melarikan diri,” katanya.
Katanya, tempurung kepala mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci dan pembantu rumah bertaburan dan terpaksa dikutip anggota polis trafik yang tiba di lokasi kejadian.

 

 

“Kasut sekolah dan bekalan makanan anaknya turut ditemui di lokasi kejadian berhampiran motosikal mangsa,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta saksi kejadian tampil di mana-mana balai polis untuk membantu siasatan.

 

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Anggota polis dituduh cabul – Sinar Harian


Anggota polis dituduh cabul

ROSMIZA KASIM
3 Mei 2012

 KOTA BHARU – Seorang anggota polis trafik berpangkat Cif Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan seks di luar tabii dan mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di dalam sebuah kereta peronda, dua tahun lalu.

Tertuduh Ishak Mahmud, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azman Mustapha dan minta dibicarakan selepas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Ishak didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan luar tabii dengan menyuruh seorang remaja perempuan berusia 15 tahun melakukan perbuatan tidak senonoh tanpa kerelaan mangsa di dalam sebuah kereta peronda polis jenis

Proton Perdana di kawasan Kampung Air Terjun, Pasir Puteh pada jam 2 pagi, 2 Oktober 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pada tarikh, waktu dan tempat sama, Ishak yang berasal dari Pasir Puteh turut didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul mangsa yang sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Intan Nur Hilwani Mat Rifin tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh membabitkan kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam bela, Rosmizan Sulaiman memohon tertuduh dibenarkan dilepas dengan jaminan yang munasabah dengan mengambil kira latar belakang keluarga, kesihatan tertuduh serta rekod bersihnya sepanjang berkhidmat.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh serta ahli keluarga terdekat tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 12 Jun depan untuk sebutan semula kes.