Kanak-kanak 8 tahun terselamat meskipun kereta dinaiki dilarikan penjenayah – Bernama


Kanak-kanak 8 tahun terselamat meskipun kereta dinaiki dilarikan penjenayah

22 Mac 2012

MELAKA — Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun melalui pengalaman getir apabila kereta yang dinaikinya dilarikan seorang penjenayah, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, mangsa, Nor Abdullah Afiq Abdullah sedang tidur di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Gen-2 milik datuknya, Abu Samah Othman, 62.

Kenderaan itu diparkir di Jalan Melaka Raya 8 di sini apabila datuk mangsa berhenti di sebuah syarikat insurans, yang terletak kira-kira 20 meter dari situ, untuk menjelaskan bayaran bulanan.

Abu Semah ketika ditemui berkata dia tidak membawa Nor Abdullah Afiq bersama kerana cucunya itu sedang tidur.

“Saya meninggalkannya dalam kereta dengan keadaan enjin dimatikan tetapi tidak berkunci kerana membuka pendingin hawa dan radio,” katanya.

Bagaimanapun, tidak sampai lima minit berurusan di syarikat itu, dia terkejut apabila mendapati keretanya tidak ada di tempat yang diparkir.

Abu Semah berkata kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada kerani wanita di syarikat insurans tersebut yang kemudian membantu membawanya ke Balai Polis Bandar Hilir untuk membuat laporan.

Ketika dalam perjalanan, mereka terlihat seorang anggota polis trafik dan memberhentikan kenderaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepadanya.

Abu Semah berkata dia diarah membuat laporan selepas anggota polis itu mengambil nombor pendaftaran serta jenis kereta miliknya.

“Kira-kira enam minit menunggu di balai polis, saya dimaklumkan bahawa kereta dan cucu saya berjaya ditemui di Jalan Parameswara, tidak sampai dua kilometer dari tempat saya parkir,” katanya.

Sementara itu, Nor Abdullah Afiq berkata dia terkejut apabila kenderaan dinaiki dipandu seorang lelaki tidak dikenali setelah terjaga daripada tidur selepas bola besbol yang berada di bahagian belakang kereta terjatuh atas kepalanya. Katanya, dia hanya mendiamkan diri kerana ketakutan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an hasil tindakan pantas anggota trafik tersebut yang  melakukan hebahan dan rondaan sehingga berjaya mengesan kenderaan terbabit.

“Turut ditemui, beg pinggang suspek yang mengandungi beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya.

Salehhudin berkata siasatan polis turut menahan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 25 tahun dan seorang perempuan warga Thailand berusia 20-an di sebuah hotel bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 363 kanun sama kerana menculik. — Bernama

Kanak-kanak orang asli terbunuh dalam kemalangan di Tapah – Bernama


Kanak-kanak orang asli terbunuh dalam kemalangan di Tapah

30 Januari 2012

IPOH – Seorang kanak-kanaK Orang Asli berumur 12 tahun terbunuh dalam kemalangan di Km48, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Tapah
semalam.

Motosikal yang ditunggang Jesez Kial a/l Pandak dikatakan bergesel dengan sebuah kereta di hadapannya, menyebabkan dia terjatuh di atas jalan sebelum dirempuh sebuah kereta dari belakang.

Menurut Pemangku Ketua Polis Trafik Negeri, DSP Mohamad Roy Hashim, mangsa dari Kampung Batu Berangkai, Kampar meninggal di tempat kejadian yang berlaku kira-kira 6.45 pagi.

Beliau berkata mangsa dalam perjalanan dari rumahnya untuk ke pekan Tapah.

Dalam satu lagi nahas kira-kira 3.50 petang semalam, seorang warga emas Hwang Huai Hoi, 74, terbunuh selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan di Jalan Muzium, pekan Taiping.

Sementara itu seorang pemuda G. Munesh Paran, 24, turut terbunuh selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Jalan Batu 7, Sitiawan pada pukul 9.30 malam.

Seorang penunggang motosikal Andrew Tan Swee Choong, 32, juga terbunuh apabila motosikalnya terbabas ketika melalui selekoh di Km337, Jalan Gerik-Jeli pada pukul 11 pagi semalam. – Bernama

Murid Tahun Enam antara 30 disaman – Berita Harian


Murid Tahun Enam antara 30 disaman
Oleh Junita Mat Rasid

2012/01/29

SEBAHAGIAN daripada 30 penunggang motosikal yang disaman di Kulaijaya, semalam.

SEBAHAGIAN daripada 30 penunggang motosikal yang disaman di Kulaijaya, semalam.

KULAIJAYA: Tindakan dua murid Tahun Enam menunggang motosikal sejauh 40 kilometer, dari Pontian ke Pekan Kelapa Sawit, di sini kononnya untuk membeli alat ganti, menerima padah apabila masing-masing disaman, manakala kenderaan mereka disita polis trafik, pagi semalam.

Dua kanak-kanak terbabit adalah antara 30 penunggang motosikal yang disaman manakala kenderaan mereka disita dalam operasi Polis Trafik Kulaijaya, bermula jam 9 pagi semalam.

Dalam operasi selama tiga jam itu, dua murid terbabit, bersama seorang pelajar Tingkatan Satu yang membonceng, turut tidak memakai topi keledar sepanjang perjalanan, selain menunggang laju.

Operasi diketuai Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Kulaijaya, Asisten Superintendan Gurbindir Singh, bersama 26 anggota itu dijalankan selepas kempen keselamatan jalan raya dan agihan topi keledar percuma dijalankan, selain pemerhatian mendapati ramai remaja bawah umur di kawasan itu menunggang motosikal tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap dua murid terbabit.

“Mereka mendakwa membeli alat ganti motosikal berupa fairing dan lampu daripada seorang rakan di sebuah kedai tetapi tiada resit rasmi dikeluarkan, kita bimbang kemungkinan itu barangan curi,” katanya.

Zulkefly berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan seorang lagi murid Tahun Enam yang menunggang motosikal dengan alasan membeli barang di kedai berhampiran rumahnya di pekan terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan murid sekolah dan remaja bawah umur menunggang motosikal dengan pengetahuan ibu bapa atau penjaga mereka dan seolah-olah mengambil mudah peraturan jalan raya hingga mengabaikan keselamatan diri sendiri, serta pengguna lain,” katanya.

Beliau berkata, semua penunggang itu dibawa ke IPD Kulaijaya untuk siasatan lanjut, termasuk pemeriksaan ujian air kencing, manakala ibu bapa penunggang motosikal bawah umur turut dipanggil kerana kesalahan membiarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan dikenakan saman.