Polis, JKM perlu bertindak – Harian Metro


Polis, JKM perlu bertindak

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Dia kategori kanak-kanak luar kawalan dan memang wajar ditempatkan di pusat pemulihan akhlak kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” kata Ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak, Dr Farah Nini Dusuki.

Beliau mengulas tindakan agresif seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang menyerang ibunya menggunakan kayu dan bertindak memukul adik perempuannya secara bertubi-tubi selepas gagal mendapatkan semula wang RM200 milik datuk yang dicuri.
Katanya, berdasarkan perundangan negara, ibu yang mempunyai anak tidak terkawal boleh membuat laporan polis membenarkan kanak-kanak berkenaan ditahan sebelum mendapat perintah mahkamah bagi ditempatkan ke Sekolah Tunas Bakti.

 

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM), turut menjelaskan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, polis wajib memberitahu pelindung iaitu JKM mengenai kes berkenaan bagi menjalankan prosedur pemulihan dan jagaan ke atas pelaku.
“Kami ada prosedurnya, tidak sekadar buat laporan, kes anggap selesai, tetapi pihak polis perlu memberitahu pelindung yang merujuk kepada JKM wujud kes ini dan JKM pula akan membuat permohonan di mahkamah…menilai kes itu dan kategorikannya sebagai kanak-kanak luar kawalan.
“Di bawah kategori ini, kanak-kanak yang terbabit boleh ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti iaitu institusi pemulihan akhlak yang ditubuhkan di bawah Seksyen 65 (1) Akta Kanak-Kanak 2001, objektifnya mendidik kanak-kanak ini bagi membina sikap lebih positif dan pemulihan.

 

 

“Mahkamah juga boleh memerintahkan kanak-kanak ini untuk berada di sekolah berkenaan maksimum sehingga tiga tahun atau sehingga usia mencapai 18 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.