Politik di luar sekolah – Metro


Politik di luar sekolah

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: “Tak salah guru nak berpolitik, tetapi biar ia dilakukan di luar waktu sekolah,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya sebahagian besar guru menyokong pembangkang.

Beliau berkata, guru jangan terlalu asyik berpolitik sehingga anak didik di sekolah terabai dan menjadi mangsa taksub guru berkenaan.
Menurutnya, walaupun tiada halangan untuk mereka bergiat aktif dalam bidang berkenaan, ada beberapa garis panduan dan ketetapan perlu dipatuhi bukan saja sebagai pendidik, tetapi lebih besar sebagai penjawat awam.

 

“Kerajaan tidak menghalang, malah membenarkan mana-mana guru terutama yang berijazah bukan saja untuk bergiat aktif, tetapi turut dibolehkan memegang jawatan dalam politik.
“Namun, dua tanggungjawab terbabit tidak boleh dicampur aduk. Ini bermakna setiap urusan berkaitan politik perlu dipastikan tidak dibawa ke kawasan sekolah kerana khuatir ia menjejaskan keutamaan terhadap kualiti pendidikan,” katanya selepas ditemui sempena Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Guru Besar Malaysia Ke-18 dan Persidangan Perwakilan Kakitangan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) ke-30, di sini, semalam.
Pada majlis konvensyen tahunan bertemakan ‘Guru Besar Inovatif’ itu, ia dihadiri 417 guru besar dan pengetua daripada seluruh negara. Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Dun Kasa.

 

 

Mohd Puad berkata, tiada sebab individu berkenaan perlu berpolitik di sekolah sehingga menyebabkan pelajar menjadi mangsa dan lebih penting, guru perlu faham dasar kerajaan terutama kedudukan mereka sebagai penjawat awam.
Katanya, beliau yakin guru hari ini matang dan diharap pembabitan guru berkenaan dalam politik tidak mewujudkan suasana perpecahan terutama di kalangan warga pendidik dan pelajar di sekolah.