Pekerja am disyaki liwat tujuh budak – Metro


Pekerja am disyaki liwat tujuh budak

 1  3 Google +0  1  0

Kuala Terengganu: Seorang pekerja am di sebuah sekolah rendah, di sini, yang berusia 56 tahun layak digelar ‘peliwat bersiri’ kerana dipercayai meliwat tujuh budak lelaki berusia 13 tahun dalam kejadian berasingan sejak Januari lalu, selepas membawa mereka ke rumah sewanya di Kampung Pasir Panjang, di sini.

Bagaimanapun, lelaki warga emas itu yang pernah dipenjara 10 tahun dan sebatan kerana jenayah sama sebelum ini, terbongkar dan ditahan, kelmarin, selepas seorang mangsanya mendedahkan peristiwa hitam itu kepada ibu bapanya.
Menurut sumber, ibu bapa mangsa bertambah terkejut dan berang apabila pelajar terbabit turut memaklumkan beberapa rakannya juga diliwat.

 

“Terkejut dengan pendedahan itu, keluarga mangsa bersama beberapa penduduk kampung segera ke rumah suspek bagi mendapatkan kesahihan cerita anaknya jam 6 petang semalam (kelmarin).
“Sebaik sampai di rumah suspek, keluarga mangsa yang gagal mengawal kemarahan menyerang dan membelasah suspek di rumahnya.
“Pada masa sama, polis yang dimaklumkan kejadian berkenaan ke rumah suspek bagi mengawal keadaan dan menahan lelaki itu kira-kira sejam kemudian,” katanya.

 

Sumber berkata, suspek yang masih menjalani parol dipercayai menjadikan pelajar yang sering ponteng sekolah sebagai mangsa dengan mengumpan mereka ke rumahnya untuk makan sebelum memuaskan nafsu serakahnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/20

Budak trauma didera bapa – Kosmo


Budak trauma didera bapa

 

Oleh MULLER ASEN
muller.asen@kosmo.com.my

 


 

KUCHING – Perbuatan kejam dua beranak yang tergamak ‘berganding bahu’ mendera darah daging sendiri hingga menyebabkan mangsa ketakutan dan trauma memakan diri apabila kedua-duanya diberkas selepas tembelang mereka terbongkar Jumaat lalu.

Kes tersebut berlaku di sebuah kampung di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad (gambar) berkata, kedua-dua suspek tersebut diberkas selepas pihaknya menjalankan siasatan sebaik menerima laporan yang dibuat oleh seorang guru sekolah mangsa pada pukul 9 pagi Jumaat lalu.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa yang berusia 11 tahun sering dipukul oleh abang kandungnya itu setiap kali selepas suspek berada dalam keadaan khayal akibat mengambil dadah dan menghidu gam.

“Bapa mangsa turut mendera mangsa dengan memukulnya dengan kayu dan tali pinggang sejak beberapa bulan lalu.

“Kali terakhir mangsa dipukul oleh abangnya beberapa hari lalu dengan sebatang kayu sehingga mengakibatkan tangan kirinya cedera,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ekoran itu, katanya, mangsa pernah ponteng sekolah selama 25 hari kerana sakit perut akibat disepak salah seorang suspek.

Menurut Roslan, guru tersebut menyedari mangsa didera selepas dia hairan melihat mangsa berada dalam ketakutan dan bersembunyi di belakang kelas pada pagi Jumaat lepas. Dia membuat laporan di Balai Polis Batu 10 di sini.

“Ibu mangsa pernah dua kali datang ke sekolah mengadu mengenai nasib mangsa,” katanya.

Ujar Roslan, gambar kecederaan mangsa telah diambil dan terdapat kesan luka lama pada badannya.

“Gambar kecederaan pada badan mangsa telah diambil dan terdapat kesan luka lama pada badannya. Mangsa kini dirawat di hospital dan kes telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2MYCOE2Fz
Hakcipta terpelihara

Enggan pulang takut dibelasah bapa, abang – Metro


Enggan pulang takut dibelasah bapa, abang

 28  4 Google +0  0  1

Oleh Alias Abd Rani

Kuching: Rahsia seorang murid perempuan bersembunyi di belakang bilik darjah sebaik tamat sesi persekolahan membongkar perbuatan kejam bapa serta abangnya yang didakwa sering membelasahnya termasuk menggunakan kayu selain menendang perut kanak-kanak malang itu sehingga cedera sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan murid tahun lima sebuah sekolah di Kota Padawan itu takut pulang ke rumah berikutan sering dipukul oleh bapanya berusia 56 tahun serta abangnya 19 tahun sehingga meninggalkan kesan parut pada badan dan tangan.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, mangsa adalah anak keempat daripada lima beradik membuat laporan polis Jumaat lalu, selepas didesak guru yang menemuinya bersembunyi di belakang bilik darjah.

 

Menurutnya, seorang guru bertanyakan mengenai masalahnya sebelum dia menceritakan kejadian sebenar yang menimpanya sejak sekian lama.
“Mangsa memberitahu guru itu dia sering dipukul bapa dan abangnya tanpa sebab menggunakan kayu serta tali pinggang. Dia juga tidak diberi makan kerana makanan disediakan dimakan kedua-dua mereka.
“Lebih menyedihkan mangsa terpaksa ponteng sekolah selama 25 hari kerana sakit perut akibat ditendang abangnya. Kejadian semalam (kelmarin), mendedahkan kekejaman mereka apabila mangsa dipukul abangnya menggunakan kayu sehingga cedera di tangan kiri,” katanya.

 

Roslan berkata, siasatan awal mendapati abang mangsa terbabit dengan salah guna dadah termasuk menghidu gam.
Menurutnya, polis menemui kesan luka lama pada badan mangsa.

 

“Sebelum ini, ibu mangsa sudah dua kali datang ke sekolah mengadu mangsa yang sering menjadi mangsa belasahan,” katanya. “Susulan itu, polis menahan dua beranak itu untuk siasatan lanjut manakala mangsa dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan.
“Polis masih menjalankan siasatan terhadap kedua suspek sama ada turut melakukan jenayah lain terhadap mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Tonton kawan kena perkosa – Metro


Tonton kawan kena perkosa

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Termakan pujukan rakan ponteng sekolah, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila dikurung dua hari dan dirogol dalam kedai mencuci kereta di Sungai Pelong, di sini.

Dalam kejadian jam 7 pagi, 24 September lalu, mangsa yang berjalan ke ke sekolahnya di Kundang dikatakan dipujuk rakan sebaya dengannya ponteng sekolah pada hari berkenaan.

Menurut sumber, mangsa dibawa ke kedai mencuci kereta sebelum dirogol dan dikurung di kawasan berkenaan hampir dua hari.

“Mangsa meloloskan diri dan tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelong, di sini, jam 8 pagi (kelmarin),” kata sumber itu kepada Harian Metro semalam.

 
Menurutnya, di dalam aduannya mangsa mendakwa dia dibawa ke sebuah kedai mencuci kereta dengan motosikal dinaiki dua lelaki tidak dikenalinya berusia awal 20-an.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01

Juruelektrik Terlepas Hukuman Penjara Selepas Mahkamah Perintah Berkelakuan Baik – mStar


Juruelektrik Terlepas Hukuman Penjara Selepas Mahkamah Perintah Berkelakuan Baik

 

Hukuman yang dikenakan ke atas juruelektrik berusia 22 tahun, Chuah Guan Jiu (gambar), Selasa, adalah sama seperti yang dikenakan terhadap bekas pemain boling skuad kebangsaan Noor AfizAL Azizan yang melakukan kesalahan sama dua tahun lalu.

 

GEORGE TOWN: Seorang lagi telah dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik atas atas kesalahan merogol. Kali ini ialah seorang juruelektrik yang didapati bersalah merogol teman wanitanya berusia 12 tahun sebanyak dua kali pada tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Sitarun Nisa Abdul Aziz mengarahkan Chuah Guan Jiu, 22, dibebaskan dengan ikat jamin RM25,000 dengan bon jaminan berkelakuan baik.

Beliau berkata mahkamah mengambil kira faktor Chuah yang masih muda dan kesalahan pertama.

“Kami juga megambil kira hakikat bahawa perbuatan seksual adalah persetujuan bersama dan dia juga seorang murid tercicir,” katanya.

Sitarun Nisa berkata pertimbangan lain ialah masa depan Chuah.

Chuah, yang memakai kemeja dan seluar jeans biru, tidak menunjukkan sebarang emosi apabila hukuman itu dibacakan.

Pada 20 Julai, mahkamah mendapati dia bersalah merogol gadis berusia 12 tahun dan 10 bulan, di flat kediamannya di Air Itam antara 7 pukul pagi dan 1.00 petang pada 18 Julai tahun lepas, dan 2.25 hingga 2.45 keesokan harinya.

Kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pada Isnin, DPP Lim Cheah Yit berkata Chuah telah memujuk gadis itu supaya ponteng sekolah dan mengikuti dia kembali ke flat atas alasan dia sakit.

“Mereka telah bertemu dan tertuduh sepatutnya melindungi gadis itu tetapi sebaliknya telah mengambil kesempatan.

Gadis tersebut banyak kali meminta tertuduh menghantarnya ke sekolah tetapi dia memberikan alasan tidak sihat dan membawanya ke rumahnya,” kata Lim.

Bagi meringankan hukuman, peguam Yusuf Idris berkata anak guamnya memperoleh RM30 sehari dan tinggal bersama ibu bapa dan adik.

“Ini adalah kesalahan pertama. Dia mempunyai pekerjaan tetap sekarang dan pada masa akan datang,” katanya.

Yusuf berkata anak guamnya telah insaf dan menggesa mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara memandangkan umur Chuah yang masih muda.

Hukuman ini dibuat selepas kes bekas pemain tenpin boling kebangsaan Noor Afizal Azizan yang dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikat jamin RM25,000 selepas dia mengaku bersalah merogol seorang gadis berusia 13 tahun.

Kemaruk memadu kasih, sanggup panjat tingkap – Sinar Harian


Kemaruk memadu kasih, sanggup panjat tingkap
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Ogos 2012
Superintendan-Wooi-Kooi-Cheang
$entry.content.caption.value

TAMPIN – Hanya kerana mahu memadu kasih, seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di bandar ini ponteng sekolah.

Tujuannya hanya kerana mahu menemui kekasihnya berusia 17 tahun di Kampung Keru, dekat sini, 13 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, pelajar perempuan itu sanggup memanjat tingkap rumah kekasihnya bagi melampiaskan nafsu ketika   umat Islam lain berpuasa.

Menurut sumber, ketika kejadian ibu remaja lelaki terbabit sedang tidur selepas bersahur dan langsung tidak menyedari kehadiran remaja perempuan itu yang masuk secara sembunyi melalui tingkap.

“Namun, perbuatan terkutuk remaja berkenaan disedari jiran tetangga setelah dia keluar dari rumah kekasihnya dari tingkap sama sekitar jam 1.30 petang.

“Susulan kejadian tersebut, ibu remaja perempuan berkenaan yang dimaklumkan mengenai perbuatan terkutuk anaknya itu mendesak anaknya menceritakan perkara sebenar sebelum akhirnya remaja perempuan itu menyatakan dirinya telah dirogol tetapi atas dasar suka sama suka,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan  ibu mangsa membuat laporan polis pagi 23 Ogos lalu.

Katanya, siasatan polis telah membawa kepada penahanan suspek lelaki di rumahnya di Kampung Keru.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 13 Ogos lalu antara jam 7 pagi hingga 1.30 petang di rumah suspek dan mangsa pula dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk menjalani pemeriksaan.

“Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam (kelmarin). Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

“Oleh itu, saya tegaskan kepada mana-mana individu yang melakukan persetubuhan dengan remaja bawah umur walaupun atas dasar suka sama suka atau dengan kerelaan ia adalah satu kesalahan,” katanya.

Telefon bimbit di sekolah boleh beri kesan negatif kepada pelajar – Bernama


Telefon bimbit di sekolah boleh beri kesan negatif kepada pelajar

27 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Persatuan Pemilik-pemilik Telefon Bimbit (Perbit) Malaysia berpendapat kebenaran bagi pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah lebih banyak memberi kesan negatif daripada positif.

Presiden Perbit, Ali Ibrahim berkata selain mengganggu pelajaran, telefon bimbit yang menyediakan pelbagai akses internet akan memberi peluang kepada pelajar mengakses laman-laman pornografi di sekolah, yang mana akan menggalakkan aktiviti sumbang dan membawa implikasi negatif kepada masyarakat.

“Pelbagai perkara yang tidak baik boleh berlaku termasuk mencuri, merompak, rogol, berzina, terlibat kegiatan samseng dan ponteng sekolah. Yang paling parah perkara ini banyak berlaku kepada remaja Islam,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ali berkata pelajar akan berpendapat mereka bebas melayarai internet dan juga menghubungi sesiapa sahaja kerana tiada siapa tahu apa yang mereka buat selain tiada siapa yang memantau aktiviti mereka.

“Ini memberi satu impak negatif kepada pelajar, terutama pelajar Islam kerana kebanyakan mereka, walaupun di peringkat tingkatan lima, masih lagi belum matang,” katanya.

Ali berkata penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar akan hanya mendatangkan pembaziran wang kerana terpaksa menjelaskan bil yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang lebih perlu.

“Pelajar juga akan terleka dengan hiburan yang tersedia dalam telefon bimbit hingga mengabaikan pelajaran,” katanya.

Walaupun kebenaran untuk penggunaan telefon bimbit bagi pelajar adalah atas faktor keselamatan, Ali tetap bimbangkan penyalahgunaannya oleh pelajar.

Beliau berkata seharusnya setiap sekolah perlu menyediakan satu bilik telefon khas untuk pelajar membuat panggilan kecemasan kepada ibu bapa mereka bagi menggelakkan perlunya pengunaan telefon bimbit di sekolah.

Katanya, Perbit akan menjalankan kempen kesedaran penggunaan telefon bimbit kepada pelajar di seluruh Malaysia pada bulan hadapan. – Bernama

JKM beri kaunseling – Metro


JKM beri kaunseling
JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan khidmat kaunseling kepada tiga beradik dan kakak mereka yang ponteng sekolah hampir 100 hari akibat kepenatan menjual nasi lemak di Kempas di sini, dalam tempoh terdekat.

Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim (gambar) berkata, ia akan diberi terutama kepada anak sulung keluarga itu dikenali sebagai Nazirah, 16, yang berhenti sekolah kerana malu diejek selepas keluarganya gagal melangsaikan yuran sekolah.
Selain itu, kaunseling juga akan diberikan kepada tiga adik Nazirah iaitu Hamirul, 11, Nabila, sembilan, serta Alyah, lapan tahun, bagi memberikan semangat dan keyakinan dalam diri mereka.

“Kami akan cuba memujuk Nazirah kembali memulakan persekolahannya. Dia hanya perlu menghabiskan setahun lagi untuk menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Peperiksaan itu amat penting dan kami harap Nazirah setuju menyambung pelajaran demi masa depannya,” katanya.
Menurut Manayi, selain itu, pemeriksaan susulan dan lawatan akan dilakukan ke atas keluarga berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kehidupan mereka terjamin.

“Kami memandang serius kes ini terutama nasib kanak-kanak berkenaan dan berharap nasib keluarga itu akan berubah selepas ini.
“Pelajaran adalah satu perkara yang amat penting dan kami akan berusaha untuk memastikan mereka berempat dapat menamatkan pelajaran dengan cemerlang,” katanya.

Laporan muka depan Harian Metro, Isnin lalu mendedahkan kesukaran hidup empat beradik itu dan ibu mereka yang hanya dikenali sebagai Noraini, 35.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/25

Mereka berpotensi tinggi: Guru besar – Metro


Mereka berpotensi tinggi: Guru besar

JOHOR BAHRU: Tiga beradik yang kerap ponteng sekolah akibat terpaksa menjual nasi lemak bagi membantu ibu mereka mencari rezeki, disifatkan pelajar berpotensi tinggi dan mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Cempaka, Shafiee Omar berkata, tiga kanak-kanak itu masing-masing berada di tahun lima, tiga dan dua sekolah berkenaan sering menunjukkan potensi tinggi dalam pelajaran.
Menurutnya, bagaimanapun, prestasi tiga beradik itu semakin merosot disebabkan mereka sering ponteng sekolah menyebabkan pihaknya menjalankan siasatan dengan melawat rumah mereka.

“Anak lelaki keluarga itu yang kini menuntut di tahun lima, seorang murid cemerlang dalam kelas. Tetapi, disebabkan kerap ponteng sekolah dan menghidap tonsil pelajarannya semakin merosot.
“Saya yakin sekiranya diberikan peluang belajar dalam keadaan selesa dan baik, dia mampu mengubah nasib keluarganya pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di rumah kanak-kanak itu di Kempas di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/23

Remaja dirogol kenalan Facebook – Berita Harian


Remaja dirogol kenalan Facebook
Oleh Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my
2012/06/06
PELAJAR Tingkatan Satu dirogol remaja berusia 16 tahun yang ditemui di Pusat Khidmat BN, Ipoh semalam.
Mangsa terpedaya pemberian barang kemas

IPOH: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun menjadi mangsa rogol seorang kenalan yang dikenali dari laman sosial Facebook selepas terpedaya dengan janji manis serta pemberian barang kemas daripada remaja lelaki terbabit.
Pelajar Tingkatan Satu itu mula mengenali remaja berusia 16 tahun dan sering berhubung menerusi Facebook sebelum membuat keputusan mengadakan pertemuan kali pertama pada 25 Mei lalu.
Adik saya turut akui menerima pelbagai barang kemas, termasuk rantai dan cincin. – Lee, Abang mangsa Malah, mangsa ponteng sekolah beberapa hari dan bersembunyi dua hari di rumah keluarga pasangannya itu untuk melepaskan rindu sebaik berjumpa sehingga menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis, kira-kira jam 3 petang, 25 Mei kerana anak mereka tidak pulang ke rumah.

Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, mangsa ditemui selamat selepas dihantar ibu teman lelakinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Lee, 29, berkata dia mengesyaki perubahan sikap ketara pada adiknya selepas menjalinkan perkenalan dengan teman lelakinya itu, termasuk sering ponteng sekolah, mengabaikan pelajaran dan berubah sikap.

“Adik saya turut mengakui pernah menerima pelbagai barang kemas, termasuk rantai dan cincin emas dihadiahkan remaja itu.
“Saya percaya lelaki itu memperdayakan adik saya dengan pelbagai hadiah sebelum bertindak merogolnya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) di sini, semalam.

Katanya, dia dan keluarga meminta polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap remaja lelaki terbabit, termasuk ahli keluarga lelaki itu kerana bersubahat menyembunyikan adiknya selama dua hari di rumah mereka.

Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah, berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kes rogol yang berpunca daripada perkenalan di laman sosial sejak tahun lalu.

Katanya, empat daripada kes berkenaan membabitkan kes rogol di mana kebanyakan mangsanya berusia lingkungan antara 13 hingga 20 tahun.

“Justeru, saya meminta ibu bapa dan penjaga supaya dapat mengawasi tingkah laku anak masing-masing. Selain itu, pihak polis juga perlu memandang serius tingkah laku pelajar mereka dan segera memaklumkan kepada ibu bapa pelajar bagi mengelak masalah terus berlarutan,” katanya.