KPM mahu tambah asrama desa di kawasan pedalaman – Bernama


KPM mahu tambah asrama desa di kawasan pedalaman

24/03/2012 9:16pm

 

KOTA KINABALU 24 Mac — Kementerian Pelajaran berharap dapat mewujudkan lebih banyak asrama desa di kawasan pedalaman dalam usaha merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, asrama desa merupakan penyelesaian berkesan bagi mengatasi isu pelajar tidak hadir atau keciciran kerana masalah pengangkutan atau cuaca buruk.

“Apabila tidak ada asrama desa, peratus pelajar tercicir atau ponteng sekolah di luar bandar tinggi, terutama apabila hujan atau air sungai cetek di mana bot tidak bergerak menyebabkan pelajar tidak boleh datang ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konsolidasi Transformasi Pendidikan Vokasional di sini hari ini.

Beliau berkata, asrama desa akan memberi keselesaan dan motivasi kepada pelajar serta guru dalam melaksanakan pembelajaran yang lebih berkesan.

Katanya, pelajar yang ditempatkan di asrama desa akan memberi peluang kepada guru mengadakan kelas tambahan, selain mendapat pemakanan berzat dan mencukupi. — BERNAMA

Pelajar ponteng baca al-Quran – Bernama


Pelajar ponteng baca al-Quran

Hussin Awang (tiga dari kanan, berdiri) memberikan nasihat kepada 28 orang pelajar yang ditahan sewaktu operasi mencegah ponteng di Kota Bharu, semalam.

 

KOTA BHARU 6 Feb. – Seramai 28 pelajar lelaki beberapa sekolah menengah sekitar daerah Kota Baharu yang ditahan kerana ponteng sekolah hari ini, diarah membaca al-Quran.

Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Kelantan, Hussin Awang berkata, kesemua pelajar yang ditahan itu dibawa ke Masjid Mukim Telipot, di sini untuk diberi kaunseling dan diarah membaca al-Quran di bawah bimbingan imam masjid itu, Ahmad Yunus.

Pelajar terbabit yang berumur antara 15 dan 18 tahun, ditahan antaranya di pusat beli-belah, taman perumahan dan surau.

“Ada kalangan pelajar yang ditahan itu sedang merokok,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hussin berkata, pelajar terbabit kemudiannya dibebaskan selepas diambil kenyataan dan latar belakang mereka oleh guru disiplin atau kaunselor untuk tindakan lanjut.

Operasi bersepadu melibatkan lapan agensi kerajaan berkaitan, selama dua jam bermula 9.30 pagi itu, adalah lebih kepada usaha untuk mendidik pelajar agar tidak ponteng sekolah, katanya.

Katanya, terserah kepada pihak sekolah untuk memanggil ibu bapa atau penjaga pelajar terbabit untuk dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukan anak mereka itu.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras penglibatan pelajar dengan kegiatan tidak sihat.

Operasi bersepadu itu melibatkan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Baharu, polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Majlis Perbandaran Kota Baharu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. – BERNAMA

110,218 tak disiplin – Metro


110,218 tak disiplin

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Seramai 110,218 pelajar terbabit dengan salah laku disiplin sepanjang tahun lalu dengan 72,873 daripadanya pelajar sekolah menengah manakala bakinya murid sekolah rendah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Namun, katanya, secara keseluruhan statistik itu menunjukkan penurunan iaitu pada kadar 2.05 peratus berbanding 2.06 peratus pada 2010, malah purata kadar salah laku disiplin murid yang direkodkan dalam tempoh lima tahun ini 2.07 peratus setahun. “Kes disiplin berkenaan termasuk kes berat seperti kelakuan berunsur kekerasan, biadab, kelucahan, ponteng sekolah serta kes disiplin ringan seperti kekemasan diri, tidak pentingkan masa dan kurang sopan.
“Hal ini menunjukkan sekitar dua hingga tiga peratus bilangan murid yang masih perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid, di sini, semalam. Mesyuarat selama tiga jam itu meneliti isu berkaitan disiplin pelajar serta membincangkan strategi dan pelaksanaan program bagi tahun ini. Dr Wee berkata, ponteng sekolah masih isu utama yang diberi perhatian kerana ia antara penyumbang terbesar salah laku disiplin di sekolah.