Transformasi pendidikan negara catat peningkatan ketara
Kuala Lumpur: Pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, sepanjang tiga tahun lalu memperlihatkan peningkatan ketara dalam semua bidang, sekali gus membina asas kukuh dalam transformasi pendidikan negara.
Lebih membanggakan, pencapaian yang diraih sejajar dengan kandungan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang dilancarkan pada September 2012. Meskipun PPPM mencetuskan wawasan sektor pendidikan yang menyeluruh, namun NKRA Pendidikan fokus kepada matlamat keberhasilan segera sejajar dengan falsafah keseluruhan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Dalam Makmal GTP yang diadakan pada 2009, pencapaian pelajar berpandukan empat agenda penting termasuk memastikan setiap kanak-kanak berjaya, meletakkan tanggungjawab kepada sekolah untuk keberhasilan pelajar, melabur membentuk pemimpin hebat dan membangunkan guru terbaik.
Agenda penting itu kemudian diterjemahkan kepada empat inisiatif utama melalui GTP 1.0 iaitu penambahbaikan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, saringan kemahiran asas literasi (Bahasa Malaysia) dan numerasi (Saringan Literasi dan Numerasi-LINUS), pelaksanaan sekolah berprestasi tinggi dan program pembangunan prestasi sekolah serta pelaksanaan tawaran baru untuk pengetua dan guru besar. Hasil paling jelas dilihat apabila NKRA Pendidikan menyaksikan pembukaan 2,054 kelas prasekolah pada 2012 dengan jumlah enrolmen kanak-kanak meningkat 80.5 peratus.
Saringan kohort ketiga program LINUS juga menunjukkan kadar kemahiran 90 peratus bagi numerasi dan 82 peratus bagi literasi, iaitu pencapaian yang masih tinggi di bawah program ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20