Tiada Perjanjian Hadkan Bilangan Sekolah Cina – Dr Chua – mStar


Tiada Perjanjian Hadkan Bilangan Sekolah Cina – Dr Chua
Oleh LIM WEY WEN

KAJANG: MCA membidas Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia atau Dong Zong yang tidak henti-henti membuat dakwaan mengenai perjanjian pada tahun 1995 antara parti itu dengan kerajaan mengehadkan bilangan sekolah bebas Cina.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, beliau telah berjumpa dengan Perdana Menteri dua kali bagi membincangkan isu tersebut dan memberi jaminan bahawa tiada perjanjian seumpama itu.

“Saya percaya ia merupakan cubaan untuk menjejaskan reputasi MCA,” kata beliau kepada pemberita di majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C) Kajang 2 di sini, Jumaat.

MCA jumpa TPM berhubung kekurangan guru – Bernama


MCA jumpa TPM berhubung kekurangan guru

19/02/2012 5:11pm

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi berhubung isu kekurangan guru di sekolah vernakular Cina.

Beliau berkata, data mengenai jumlah guru sekolah SJK(C) yang diberikan kepada Kementerian Pelajaran mungkin tidak menggambarkan kekurangan yang sebenar.

“Sehingga hari ini, masalah itu masih wujud. Saya akan berjumpa Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyddin Yassin untuk membincangkan perkara ini kerana kami mahu ia diselesaikan segera,” katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, dilaporkan bahawa sekolah rendah Cina menghadapi kekurangan hampir 2,000 guru di seluruh negara.

Isu itu pertama kali ditimbulkan sebelum sesi persekolahan bermula awal tahun ini dan Kementerian Pelajaran dilaporkan berusaha menangani masalah itu.

Hari ini, kekosongan jawatan di sesetengah sekolah telah diisi tetapi masalah baru timbul berikutan guru-guru yang dihantar ke sana tidak memahami bahasa Cina. – BERNAMA